Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sekiranya seseorang itu pada masa lampaunya pernah mencuri barang-barang di pusat membeli belah, dan sekarang dia telah bertaubat dan ingin membayar semula nilai barangan yang diambil. Apakah cara yang terbaik untuk dia melunaskan segala hutangnya itu? Bagaimana cara untuk membayar balik semula jika dia juga tidak mengetahui dengan tepat jumlah nilai sebenar barang-barang yang pernah diambil dulu? Mohon pencerahan dari ustaz ya.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, kami mengucapkan syabas kepada saudara yang bertanya kerana berusaha untuk bertaubat dan mengganti semula hak orang lain yang telah diambil. Beginilah sebenar-benar taubat yang harus dicontohi, dengan menyesali perbuatan lampau kita dan mengembalikan semula hak kepada pemilik asalnya. Allah SWT berfirman di dalam kitab-Nya:
كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ ۖ أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوءًا بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابَ مِن بَعْدِهِ وَأَصْلَحَ فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “‘Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.”
(Surah al-An‘am: 54)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 110)
Taubat nasuha itu adalah dengan menghindari diri dari mengulanginya kerana takut kepada Allah SWT dan mengagungkan-Nya serta mengharapkan keredhaan-Nya. Ia juga perlu disulami dengan rasa penyesalan terhadap apa yang telah dilakukan, berazam dengan kesungguhan untuk tidak mengulangi semula perbuatan tersebut selamanya, dan yang terpenting sekali adalah mengembalikan semula hak orang yang dizalimi tersebut. Ini berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لأَحَدٍ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ الْيَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Barangsiapa melakukan kezaliman kepada saudaranya, baik terhadap kehormatannya ataupun yang lainnya, maka hendaklah dia minta dihalalkan (maaf) saat ini sebelum tiba masa di mana dinar mahupun dirham tidak laku lagi. Apabila dia memiliki amal baik, maka sebahagian amal baiknya itu akan diambil sesuai dengan kadar kezaliman yang telah dilakukannya. Sedangkan jika tidak memiliki amal baik, maka dosa temannya akan diambil dan dibebankan (ditambahkan) ke atas dosanya.”
Riwayat al-Bukhari (2449)
Sebelum membuat bayaran semula, cubalah saudara berusaha memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak yang bertanggungjawab ke atas kedai di pasaraya tersebut atas kecurian yang pernah dilakukan. Lakukanlah rundingan sebaik mungkin dengan pihak mereka untuk membuat proses membayar semula ganti rugi yang ditanggung oleh pihak pasaraya itu.
Sekiranya sukar untuk berhubung dengan pihak bertanggungjawab bagi pasaraya tersebut, saudara boleh bersedekah dengan niat bagi pihak pasaraya tersebut pada masjid, surau atau sesiapa sahaja yang memerlukan. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Sesuatu harta itu, jika sukar untuk tahu pemiliknya, gunakanlah harta tersebut untuk maslahat kaum muslimin umumnya menurut pandangan majoriti ulama’, seperti Imam Malik, Imam Ahmad dan selainnya. Jika terdapat pada seseorang hamba itu barang yang dicuri, hutang, simpanan atau gadaian, dan dia telah berputus asa untuk mencari semula pemiliknya, maka dai perlu bersedekah sahaja bagi pihak mereka.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 29/321)
Dikeluarkan dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, berusaha terlebih dahulu untuk mencari pemilik asalnya, jika tidak boleh bersedekah dengan nilai yang bersamaan dengan barang tersebut kepada faqir miskin, atau memberikan kepada khidmat kebajikan dengan meniatkan pahalanya kepada pemilik asal. Sekiranya selepas itu pemilik asalnya atau warisnya datang semula, beritahulah apa yang telah dibuat (bersedekah). Jika dia redha dengan perkara tersebut, maka tidak menjadi masalah. Jika dia tidak redha, maka perlu bayar semula ganti rugi tersebut, dan semoga dengannya orang yang bertaubat itu akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 15/406)
Ini bertepatan dengan sunnah sahabat, Abdullah Ibn Mas‘ud R.A seperti yang dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, bahawa ketika Ibn Mas‘ud R.A ingin membeli seorang hamba, lalu dia masuk sebentar ke dalam rumah untuk mengambil wang, tetapi apabila beliau keluar beliau mendapati bahawa tuan kepada hamba tersebut telah pergi. Ibn Mas‘ud R.A pun pergi mencari orang-orang miskin dan memberikan sedekah kepada mereka (dengan jumlah harga hamba tersebut) seraya berkata:
اللَّهُمَّ عَنْ رَبِّ الْجَارِيَةِ، فَإِنْ قُبِلَ فَذَاكَ، وَإِنْ لَمْ يُقْبَلْ فَهُوَ لِي، وَعَلَيَّ لَهُ مِثْلُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Ya Allah, sedekah ini untuk tuan kepada hamba itu, sekiranya diterima maka begitulah, jika ia tidak diterima maka sedekah ini untuk diriku, dan ke atasku nilai harga yang bersesuaian pada hari kiamat kelak.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 29/321)
Sebaiknya jika ingin bersedekah dengan meniatkan pahala bagi pemilik asal hak tersebut, bersedekahlah dengan jumlah anggaran harga yang tertinggi sebagai langkah berhati-hati. Ini kerana dikhuatiri sedekah yang diberikan itu tidak mencukupi atau kurang dari nilai kerugian yang ditanggung oleh pemilik asal.
Semoga dengan usaha ini, ia termasuk dalam bentuk taqwa kepada Allah SWT yang telah saudara usahakan semampu mungkin. Ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan kaum muslimin agar menjauhkan diri dari perbuatan mengambil hak orang lain, meskipun orang tersebut bukan orang Islam kerana ia merupkan perbuatan zalim. Ini berdasarkan riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Allah SWT dalam hadith qudsi, firman-Nya:
يَاعِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا
Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Akupun jadikan kezhaliman itu diantara kalian sebagai sesuatu yang haram.”
Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)
Semoga Allah SWT menerima taubat kita semua atas kesilapan yang telah lalu, serta meneguhkan kita di atas jalan ketaqwaan kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445