#3553: Hukum Mengambil Upah dengan Hasil Perisian (Software) Cetak Rompak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan seorang graduan senibina dan bekerja di firma seni bina, dan dalam usaha untuk memperbaiki kemahiran dan mencari kerja baru, saya perlu menggunakan perisian (software) tertentu seperti AutoCad, Revit, SketchUp, Lumion dan seumpamanya. Semuanya menelan belanja lebihan ribu (annual subscription) untuk satu perisian saja, yang mana saya tidak mampu untuk membayarnya melainkan menggunakan cracked version. Apakah hukum jika saya mengambil upah menghasilkan lukisan dan model 3D menggunakan perisian tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, perbahasan mengenai cetak rompak ini bertitik tolak daripada hak cipta terpelihara, iaitu apabila sesebuah pihak melakukan perniagaan dengan menjual sesuatu dengan harga yang tertentu, sama ada untuk manfaat pada jangka masa yang tertentu seperti sewaan, atau untuk pindah milik barang tersebut seperti jual beli biasa. Hak cipta merupakan hak eksklusif yang mengawal penggunaan sesuatu pernyataan idea atau maklumat. Ia boleh wujud dalam berbagai-bagai karya kreatif, intelektual, atau berseni, termasuklah perisian (software) dalam dunia teknologi pengkomputeran kini.

Diriwayatkan daripada Abu Harrah al-Raqasyi R.A, daripada pakciknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبٍ مِنْ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak halal harta seseorang Muslim kecuali dengan keizinan daripadanya (pemilik harta).”

Riwayat Ahmad (20695)

Berdasarkan hadith di atas, jelas bahawa sesuatu yang menjadi hak cipta terpelihara bagi seseorang itu merupakan harta miliknya, maka tidak halal ke atas orang lain mengambil atau menggunakan manfaat apa saja jenis perisian (software) yang mempunyai hak cipta terpelihara kecuali dengan keizinan dari pemiliknya.

Sebaik-baik muslim itu adalah mereka yang sentiasa menepati setiap syarat yang telah diletakkan. Sekiranya disyaratkan ke atas mereka yang ingin mengambil manfaat daripada sesebuah perisian (software) dengan imbal balas sejumlah bayaran yang tertentu, maka wajib ke atasnya untuk memenuhi syarat-syarat tersebut. Ini bertepatan dengan hadith daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: “Dan kaum muslimin itu harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati, kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)

Hadith di atas menerangkan ciri-ciri yang yang terkandung di dalam akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Oleh itu para ulama menggariskan bahawa hukum bagi kedua-dua belah pihak yang berjanji seharusnya meredhai satu sama lain dengan isi kandungan perjanjian itu selagi ia tidak menyalahi hukum syara‘.

Syeikh Mustafa al-Zuhaili mengatakan bahawa yang diambil kira dan keharusan sesebuah akad pada berlakunya ia dan lazimnya setiap perkara yang ditetapkan di dalamnya, adalah redha antara dua pihak yang melakukan akad.  Hal ini kerana syara‘ menetapkan halalnya suatu muamalat apabila kedua-dua pihak redha dan berkeinginan untuk melaksanakan akad, serta melazimi setiap ketetapan yang disebutkan di dalam akad tersebut. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/818)

Mengambil manfaat daripada hak orang lain tanpa izinnya, dan menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri dengan mendapatkan hasil jualan daripadanya merupakan satu bentuk kezaliman yang jelas. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

 إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.”

(Surah al-Syura: 42)

Ayat ini menyatakan balasan yang berat dan berdosa besar bagi mereka yang menzalimi orang lain. Maka, perkara ini amatlah dilarang, ditegah dan juga dibenci dalam Islam dan semestinya kita selaku Muslim tidak bersifat dengan sikap dan perbuatan zalim tersebut. Abu Bakar al-Jaza’iri berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT: (عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ), yakni orang-orang yang mencabuli kehormatan orang lain, mencederakan tubuh badan mereka, atau mengambil kesempatan terhadap harta mereka. (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/518)

Kesimpulan

Perbincangan yang kami bawakan di atas telah jelas membawa kepada natijah, bahawa menggunakan perisian (software) yang mempunyai hak cipta terpelihara untuk mengambil upah darinya tanpa keizinan pemilik asal adalah dilarang oleh Islam. Hal ini kerana ia adalah perbuatan mengambil hak orang lain tanpa keredhaan, kemudian disertakan dengan mengambil kesempatan terhadap harta orang tersebut.

Kami menasihatkan sekiranya saudara telah terlanjur melakukan yang demikian, bersegeralah memohon ampun daripada Allah SWT dan bayarlah ganti rugi semula kepada pihak yang dizalimi itu. Kami juga berharap agar kemahiran yang diperoleh itu tidaklah dihukumkan sebagai haram sekiranya diaplikasikan dan dimanfaatkan. Ini berbetulan dengan riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan bagi umatku daripada perbuatan disebabkan oleh tersilap, juga terlupa, dan perbuatan yang dipaksakan untuk mereka melakukannya”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Dengan kesempatan ini juga, kami menyeru agar umat Islam di Malaysia lebih berusaha untuk bersikap jujur walaupun pada sekecil-kecil perkara atau seremeh-remeh isu. Ketahuilah, sifat jujur inilah yang akan membentuk peribadi seorang muslim yang baik, seterusnya menjadi suri tauladan pada generasi yang akan datang. Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2608)

Imam al-Nawawi menghuraikan hadith ini bahawa ia merupakan galakan bagi setiap insan untuk bersifat dengan sifat jujur dan melaziminya, serta larangan dari berdusta dan juga bersikap mudah-mudah dengannya, kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, maka lama kelamaan menjadi kebiasaan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445