Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin penjelasan hadith khususnya Ramadhan. Ada riwayat menyatakan فَاقْدُرُوا, dan ada riwayat menyatakan فَأَكْمِلُوا?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ
Maksudnya: Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;
(Surah al-Baqarah: 185)
Ibn Kathir berkata: “Ayat ini adalah kewajipan yang pasti bagi seseorang yang menyaksikan hilal bulan Ramadan, iaitu mereka yang berada di wilayah tersebut ketika bulan Ramadan bermula dan dalam keadaan sihat untuk berpuasa tanpa sebarang keraguan. Ayat ini memansuhkan kebolehan sebelumnya bagi individu yang sihat dan berada di wilayah tersebut untuk berbuka puasa dan memberi fidyah dengan memberi makanan kepada orang miskin setiap hari, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Apabila berpuasa menjadi wajib, kebenaran kembali diberikan kepada orang sakit dan orang yang bermusafir untuk berbuka puasa, dengan syarat bahawa mereka akan menggantikannya pada masa yang akan datang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/503)
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا، وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَه
Maksudnya: “Apabila kamu semua melihatnya (anak bulan), berpuasalah, dan apabila kamu semua melihatnya (anak bulan) berbukalah, dan jika awan menutupi kamu, maka hendaklah kamu menghitungnya.”
Dalam riwayat Muslim:
فَإِنْ أُغْمِيَ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ ثَلَاثِينَ
Maksudnya: “Jika awan menutupi kalian maka perkirakanlah tiga puluh hari.”
Dalam riwayat al-Bukhari:
فَأَكْمِلُوا العِدَّةَ ثَلَاثِينَ
Maksudnya: “Maka sempurnakanlah hitungannya menjadi tiga puluh hari.”
Riwayat al-Bukhari (1900;1907) dan Muslim (1080)
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan pendapat tentang perbahasan tentang maksud “فَاقْدُرُوا” ini . Pertama , pendapat yang memahami bahawa perkataan itu bertujuan untuk membezakan antara keadaan cerah dan keadaan mendung. Setiap satu cara untuk menentukan awal bulan. Rukyah hendaklah digunakan dalam keadaan cerah dan qadru digunakan dalam keadaan mendung. Pendapat ini dikemukakan oleh kebanyakan ulama’ mazhab Hanbali. Kedua , tiada perbezaan antara dua syarat di atas. Perkataan “فَاقْدُرُوا” dalam hal ini bermaksud penegasan kalimah sebelumnya. Pendapat ini disokong oleh kebanyakan ulama dan bermaksud “انْظُرُوا فِي أَوَّلِ الشَّهْرِ وَاحْسِبُوا تَمَامَ الثَّلَاثِينَ” (Lihatlah awal bulan dan kiralah sehingga sempurna 30 hari). (Lihat Fath al-Bari, 4/121)
Imam al-Nawawi menyatakan: Ulama’ berbeza pendapat mengenai maksud “ فَاقْدُرُوا لَهُ”, sebahagiannya menyatakan maksudnya ialah pembatasan baginya dan kiraannya (al-Hisab). Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan selainnya yang mengharuskan berpuasa pada hari yang malamnya terlindung (daripada kelihatan anak bulan Ramadhan). Ibn Suraij dan kumpulannya, Mutarrif bin Abdullah, Ibn Qutaibah dan selainnya menyatakan maksudnya ialah untuk memastikan dengan mengira kedudukan bulan (hisab al-manazil). Manakala mazhab Malik, al-Syafi’ie, Abu Hanifah dan Jumhur salaf dan khalaf berpandangan bahawa maksud “قَدِّرُوا لَهُ” ialah menyempurnakan 30 hari. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/186)
Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Antara mufradat hadith ini:
- “إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا” Apabila kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, iaitu apabila ada di antara kamu yang melihat dapat mengithbatkan dengan penglihatannya sendiri, maka diwajibkan berpuasa.
- ” أُغْمِيَ عَلَيْكُمْ”: Dengan huruf “غ” yang disukunkan dan tanda kasrah pada huruf “م” yang bermaksud dan kalimahnya dalam bentuk yang majhul. Iaitu, anak bulan telah tersorok dan disembunyikan dari kamu. Kalimah dari perkataan “إغماء”, dikatakan “أغمي عليه الخبر” disembunyikan khabar apabila ia tertutup daripada kamu; Hal ini berlaku apabila awan menutupi anak bulan atau apabila mendung, maka lengkapkanlah bilangan hari bagi sebulan. Dan dalam beberapa riwayat lain: ‘فإن غُمَّ’ “Jika kabur” dengan baris depan pada huruf ghain dan disabdukan mim, dalam bentuk kata yang majhul – iaitu, bulan itu telah disembunyikan dan dilindungi oleh awan dan seumpamanya.
- فَاقْدُرُوا لَهُ – sebagaimana yang disebut dalam al-Misbah: iaitu, tentukan bilangan hari bagi bulan tersebut dan lengkapkan bulan Sya’ban sehingga mencapai tiga puluh hari.
- فَاقْدُرُوا لَهُ وَأَكْمِلُوا العِدَّةَ ثَلَاثِينَ: Syuraih berkata: Khitab pertama (فَاقْدُرُوا لَهُ) adalah berkaitan dengan orang yang dikhususkan oleh Allah dengan pengetahuan ini, dan khitab yang kedua (وَأَكْمِلُوا العِدَّةَ ثَلَاثِينَ) adalah khitab untuk umum.
(Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/449-450)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445