Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum meminum air keluaran syarikat Arak yang tidak ada alkohol? Bahkan sebahagiannya memasarkannya dengan memanggilnya sebagai “soju halal” atau “arak halal” dan seumpamanya. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan ia kepada beberapa perbahasan. Pertamanya, pada asasnya, arak diharamkan buat umat Islam dan berdosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15). Jelas sepertimana firman Allah SWT dalam ayat di atas sebagaimana yang kami telah nyatakan.
Bahkan, Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menyebutkan, hukum bagi arak adalah haram diminum dalam kuantiti banyak atau sedikit kecuali dalam keadaan darurat kerana arak itu adalah haram secara zatnya. Begitu juga tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada bagi tujuan perubatan atau selainnya kerana Allah tidak menjadikan penawar (ubat) buat kita daripada sesuatu perkara yang diharamkan ke atas kita. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5474).
Selain itu mengikut mazhab Imam al-Syafi‘i, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini jelas dalam ayat yang di atas pada perkataan Rijzun (رِجْسٌ), di mana dari segi bahasa ia bermaksud kotor atau najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/78).
Berkenaan kenajisan arak ini juga, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa arak adalah najis di sisi kami (mazhab al-Syafi‘i) dan di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad serta seluruh ulama melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya daripada Rabi‘ah guru kepada Imam Malik dan Daud bahawa kedua-duanya berpendapat ia adalah suci sekalipun dihukumkan sebagai haram seperti racun yang merupakan tumbuhan dan begitu juga seperti ganja yang memabukkan.
Namun, al-Syeikh Abu Hamid menukilkan bahawa telah berlaku ijma‘ ulama berkenaan kenajisannya. Begitu juga para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berhujah berdasarkan kepada ayat di atas — iaitu ayat 90 Surah al-Ma’idah. Mereka menyebutkan bahawa tidaklah menjejaskan dengan meletakkan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah setara dengan arak, dalam keadaan benda-benda itu dihukumkan sebagai suci. Hal ini kerana ketiga-tiga benda itu sudah terkeluar daripada dihukumkan sebagai najis berdasarkan ijma‘. Maka yang berbaki atau tinggal lagi hanyalah arak sebagaimana yang telah disebutkan — iaitu dihukumkan sebagai najis. Begitu juga (sebagaimana pendapat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi) arak dihukumkan sebagai najis bagi tujuan menampakkannya sebagai berat (taghlizan) dan menjauhkannya daripada manusia sebagaimana diqiyaskan ke atas anjing dan apa yang dijilatnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/563-564).
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa arak haram diminum sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit kerana ia adalah najis dan begitu juga kerana sebab-sebab yang lain sebagaimana yang disebutkan oleh ulama. Malah, ia juga bertepatan dengan hadith daripada riwayat Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”
Riwayat Abu Daud (3681); al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)
Keduanya, berkenaan air keluaran syarikat Arak, ia terbahagi kepada dua jenis. Jenis pertama, air yang dibuat atau diproses dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling. Air dalam kategori ini tetap dihukumkan sebagai haram untuk diminum sekalipun alkoholnya sedikit dan tidak memabukkan ataupun alkoholnya sudah disuling. Hal ini kerana arak tetap diharamkan sekalipun tidak memabukkan atau ia diambil dalam kuantiti yang sedikit berdasarkan hadith yang kami telah sebutkan sebelum ini. Begitu juga kerana proses penyulingan alkohol daripadanya semata-mata tetap tidak dapat menjadikannya suci dan bebas daripada dianggap sebagai najis.
Jenis kedua, air yang dibuat atau diproses bukan dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak atau bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak. Maka, secara umumnya ia adalah harus untuk diminum berdasarkan kepada hukum asal air itu sendiri.
Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan bahawa hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Selain itu, hal ini juga bertepatan dengan kaedah:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan (atau minuman) yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Tambahan lagi, ini juga selari dengan keputusan yang diputuskan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011. Mereka telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
- Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
- Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
- Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
- Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
- Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Ketiganya, berkenaan air keluaran syarikat arak sekalipun ia bukan air yang diproses bukan dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak atau bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak. Sekalipun pada asalnya ia adalah diharuskan, tetapi hukumnya boleh berubah menjadi haram disebabkan oleh penghasilannya di syarikat arak atau melibatkan bermuamalat dengan syarikat arak atau bentuknya yang menyerupai arak yang sebenar.
Hal ini kerana arak itu bukan sahaja diharamkan pada zatnya — yakni untuk diminum, bahkan juga terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1295)
Al-Marhum Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr ketika ditanya tentang orang yang bekerja di sektor yang membantu penjualan arak beliau menjawab bahawa orang yang memberi minum arak kepada orang lain mendapat dosa yang sama sepertimana yang telah diberitahu oleh nas hadith. Sama ada dia redha dengan perbuatan tersebut dan orang yang redha dengan maksiat maka akan dihukum dengan hukuman yang sama orang yang melakukannya. Ataupun dia hanya membantu dalam perkara maksiat. Orang yang membantu dalam perkara maksiat maka dia turut serta mendapat dosa disebabkan maksiat tersebut. (Lihat Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 3/186).
Di sana terdapat kaedah menyebutkan:
كُلُّ مَا أَدَّى إِلَى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.”
Berdasarkan kaedah di atas, maka membantu dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT adalah dikira sebagai berdosa. Bahkan perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Di samping itu, kita juga dituntut supaya tidak menunjukkan sikap redha dan bersetuju dengan golongan yang meminum arak. Ini bersandarkan hujahan dan nas yang menunjukkan kepada larangan ke atas perbuatan tersebut. Di antaranya nas umum berdasarkan firman Allah SWT:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.”
(Surah al-Nisa’: 140)
Abu Jaafar al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, dalam ayat ini mengandungi dalil yang jelas mengenai larangan duduk bermajlis bersama golongan kebatilan dari segenap jenis lapisan daripada kalangan ahli bidaah dan juga golongan fasik, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 9/320).
Selain itu, terdapat juga riwayat yang jelas daripada Nabi SAW berkenaan larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَشْرَبِ الْخَمْرَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُشْرَبُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.”
Riwayat al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/120); riwayat al-Tabarani (11462) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (5585) dengan sedikit perbezaan lafaz.[1]
Justeru, konteks hadith di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk kita berkompromi dengan majlis yang di dalamnya terdapat hidangan arak. Berasaskan kaedah ini, jika kita membeli sebarang produk syarikat arak, walaupun produk itu berstatus bukan arak, ia tetap dikira bersubahat atau berkompromi dengan arak kerana menyumbang kepada kelangsungan syarikat arak tersebut.
Keempatnya, dalam isu ini, kita juga hendaklah melihatnya dari skop yang lebih luas dan pelbagai, terutamanya isu yang melibatkan penyerupaan bekas minuman halal yang menyerupai bekas minuman arak, di samping syarikat yang mengeluarkannya merupakan syarikat arak.
Atas dasar tersebut, kami berpendapat bahawa minuman yang dihasilkan oleh syarikat arak dan dibotolkan (packaging) sebagaimana rupa bentuk botol arak sekalipun ia dihasilkan bukan melalui proses pembuatan arak adalah haram untuk diminum. Bagi hal ini, kami mengambil pendekatan Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati produk arak tersebut, penyerupaan budaya arak, tidak sensitif terhadap isu pengharaman arak dan sebagainya. Seterusnya ia boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak dengan meminum air arak yang sebenar dengan sangkaan ia adalah “soju halal”, “arak halal” atau seumpamanya.
Selain daripada itu, berkemungkinan besar penghasilan air arak tanpa alkohol atau arak 0% alkohol atau seumpamanya, lalu ia dibotolkan dalam rupa bentuk arak, tujuannya adalah sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan arak yang sebenar. Maka, dengan membenarkan hal itu secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan meminum arak serta tidak lagi sensitif dengannya mahupun menganggapnya sebagai suatu larangan yang keras dalam agama.
Tambahan lagi, dalam kalangan ulama ada menyebutkan beberapa perkara, yang mana orang kafir zimmi tidak boleh menzahirkannya kepada orang Islam. Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa termasuk dalam perkara yang ditegah adalah menzahirkan kemungkaran dalam kalangan orang Islam seperti arak, babi dan loceng gereja. Menurut beliau lagi, di antara sebab perkara-perkara itu ditegah adalah kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemungkaran yang lain. Selain itu, perkara yang turut dilarang sama sekali dan tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/301).
Di samping itu, umat Islam juga diperintahkan supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya. Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).
Justeru, perbuatan minum arak dan mengadakan majlis minum arak bukan merupakan amalan dan tradisi biasa bagi bagi orang Islam, bahkan terdapat larangan keras mengenainya dalam agama Islam. Bukan itu sahaja, umat Islam turut dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang meminum arak seperti perbuatan mengedarkan gelas-gelas arak, dituang air dan dilagakan gelas antara satu sama lain sebelum minum. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa wajib dikenakan hukuman takzir kepada orang yang mengadakan majlis seperti gaya majlis minum arak. (Lihat Raudhah al-Talibin, 10/174).
Hal ini juga adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Ruhaibani bahawa diharamkan menyerupai golongan peminum arak, bahkan ditakzir pelakunya walaupun minuman itu sendiri adalah halal. Jika berkumpul suatu kumpulan, diadakan majlis, dibawakan alat-alat minuman dan bekas-bekasnya, lalu dituangkan padanya minuman al-sakanjabin[2] (bukan arak) atau seumpamanya, dengan dilantik seorang pelayan untuk melayani mereka. Di samping mereka saling mengucapkan perkataan-perkataan yang biasa diucapkan oleh peminum arak (seperti “cheers”), maka hukumnya adalah haram walaupun minuman itu halal kerana majlis tersebut menyerupai majlis peminum arak. (Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 6/219).
Hal ini sama dengan status minuman tidak beralkohol yang dikeluarkan oleh syarikat arak. Ini kerana, selain daripada syarikat yang mengeluarkannya adalah syarikat arak, ia dipakejkan dalam bentuk botol arak dan mempamerkan jenama arak. Oleh itu, kami amat bersetuju dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-19 pada tahun 1987 berkenaan produk Malta Guiness yang antara lain menetapkan bahawa:
“Jawatankuasa fatwa tidak wajar mengisytiharkan minuman Guiness Malta ini halal, walaupun pada hakikatnya (kandungan) minuman ini halal kerana ditakuti menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.”
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan pendapat dan jawapan kami sebagaimana berikut:
Kami berpendapat bahawa air minuman yang diproses/dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. Ini adalah sebagaimana keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang kami telah sebutkan sebelum ini.
Begitu juga kami berpendapat bahawa air minuman yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak tetapi ia dihasilkan oleh syarikat arak dan dibotolkan (packaging) sebagaimana rupa bentuk arak juga adalah dilarang untuk diminum, sekalipun pada asalnya ia adalah harus. Dalam hal ini, kami mengambil pendekatan Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati arak, penyerupaan budaya arak, tidak sensitif terhadap isu pengharaman arak dan sebagainya. Seterusnya ia boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak dengan meminum air arak yang sebenar dengan sangkaan ia adalah “soju halal”, “arak halal” atau seumpamanya.
Selain daripada itu, kita juga sama sekali tidak boleh melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan arak khususnya kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dengan label “soju halal”, “arak halal” atau seumpamanya. Perbuatan itu hanya akan menimbulkan lagi kekeliruan, di samping menyentuh sensitiviti umat Islam. Jadilah seorang pengguna Muslim yang bijak dengan menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk yang meragukan. Lebih-lebih lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak mahupun syarikat arak.
Kami juga mengambil kesempatan di sini, mencadangkan jika benar air minuman itu adalah benar-benar halal dan bukan melalui proses atau cara penghasilan arak, maka gunakanlah jenama lain yang langsung tidak ada kaitan dengan arak dan syarikat arak. Begitu juga elakkanlah ia daripada dibotolkan (packaging) sebagaimana rupa bentuk arak kerana tegasnya pengharaman dan larangan arak ini bukan sahaja kepada peminumnya, bahkan turut dilarang kepada orang Islam untuk menyerupai golongan peminum arak dari sudut gerak-geri, pakaian dan lain-lain seumpamanya, sehinggakan sebahagian ulama menyatakan, mereka juga boleh dikenakan hukuman takzir disebabkan oleh hal itu.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
[1] Al-Haithami menyebutkan dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/283) bahawa di dalamnya terdapat perawi yang bernama Yahya bin Abu Sulaiman al-Madani. Dia telah dinilai sebagai dha‘if (lemah) oleh Imam al-Bukhari dan Abu Hatim, tetapi dinilai sebagai thiqah oleh Ibn Hibban. Begitu juga pengarang Sahih al-Targhib (2350) menilainya sebagai sahih li ghairihi.
[2] Minuman yang mengandungi masam dan manis sepertimana yang dinyatakan dalam Mu‘jam al-Wasit (1/440)
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445