Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum membaca ayat sajadah dalam solat sirriyyah di bekalang Imam? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah merupakan sujud yang yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud Tilawah Wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)
Sujud tilawah membawa definisi yang sama dengan sujud sajadah. Akan tetapi perbezaan antara keduanya adalah sujud sajadah dilakukan di dalam sembahyang, manakala sujud tilawah dilakukan di luar solat.
Amalan ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”
Riwayat Muslim (575)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan situasi ini berlaku di luar solat yang mana thabitnya sujud tilawah dan ia telah disepakati oleh para ulama’ dan juga di sisi kami serta jumhur ulama’ bahawa ia disunatkan dan bukannya wajib. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/74)
Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran diperintahkan kita untuk sujud tilawah atau jika dalam solat disebut sebagai sujud sajadah. Antaranya:
- Surah al-A’raf ayat 206
- Surah al-Ra’d, ayat 15
- Surah al-Nahl, ayat 49-50
- Surah al-Isra’, ayat 109
- Surah Maryam, ayat 58
- Surah al-Hajj, ayat 18
- Surah al-Hajj, ayat 77
- Surah al-Furqan, ayat 60
- Surah al-Naml, ayat 25-26
- Surah al-Sajdah, ayat 15
- Surah Fussilat, ayat 38
- Surah al-Najm, ayat 62
- Surah al-Insyiqaq, ayat 21
- Surah al-’Alaq, ayat 19
Manakala dalam sujud sajadah ketika bacaan surah al-Sajadah pada solat subuh hari jumaat adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةُ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ
Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat, “الم تَنْزِيلُ” (iaitu Surah al-Sajdah) dan “هَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ” (iaitu Surah al-Insan).”
Riwayat al-Bukhari (1068)
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Pada hadith ini menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat subuh pada hari tersebut (Jumaat). Ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melaziminya atau banyak melakukannya.” (Lihat Fath al-Bari, 2/378)
Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan dibolehkan bagi makmum membaca ayat-ayat sajadah atau tilawah dalam solat sirriyyah bersama imam akan tetapi tidak boleh baginya untuk sujud kerana setiap perbuat dalam solat hendaklah mengikut imam. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayat oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ
Maksudnya: “Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya) maka katakanlah ربنا لك الحمد (Tuhan kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk.”
Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (962)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam,rukuk, sujud dan lain-lain. Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)
Dalam isu ini Dar al-Ifta al-Misriyyah telah mengeluarkan fatwanya dengan menyatakan bahawa: Tiada halangan syarak untuk membaca satu ayat yang mengandungi Sujud Tilawah semasa solat sunat secara peribadi di belakang imam. Namun, dalam situasi ini, Sujud Tilawah tidak diwajibkan dan tidak ada dosa atas tindakan tersebut.[1]
Begitu juga Ibn Uthaimin menyatakan bahawa: tidak dibolehkan sujud kerana mengikuti imam adalah wajib, manakala sujud tilawah adalah sunat. Dalam keadaan seseorang berkedudukan sebagai makmum, dia tidak seharusnya sujud. Jika seseorang sengaja sujud dengan pengetahuannya bahawa ini adalah tidak dibenarkan, maka solatnya menjadi batal.(Lihat Fatawa Islamiyyah,1/290)
Sebagai kesimpulannya kami ingin menjelaskan bahawa tidak ada kesalahan bagi makmum untuk membaca ayat-ayat sujud dalam solatnya ketika berada di belakang imam dalam solat sirriyyah. Namun, penting untuk diingat bahawa makmum tidak boleh melakukan sujud secara sendiri, kerana dia wajib mengikuti semua tindakan imam dari permulaan hingga tamat solat. Jika makmum melakukan sujud secara tidak sah, maka solatnya akan menjadi batal kerana dia telah melanggar peraturan dengan bertentangan dengan tindakan imam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam
:
[1] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/19415/%D8% – Diakses pada 12 Oktober 2023
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445