#3562: Bolehkah Suami Meletakkan Kedua-dua Isteri Dalam Satu Bilik?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah  dibolehkan suami mengumpulkan dua isterinya dalam satu bilik? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkahwinan merupakan suatu sunnah yang dituntut di dalam Islam. Bahkan Islam membenarkan untuk berkahwin lebih daripada satu dan tidak melebihi empat orang isteri dengan syarat boleh berlaku adil dan mampu memberikan nafkah yang secukupnya kepada semua isterinya. Firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.

(Surah al-Nisa’: 3)

Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada satu, iaitu dua, tiga atau empat, namun kalau ditakuti membawa kepada kezaliman jika berpoligami, maka cukuplah berkahwin satu sahaja. Kezaliman ini juga perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal.

Terdapat satu hadith yang diriwayatkan mengenai ancaman bagi sesiapa yang tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua isteri lalu dia cenderung kepada salah seorangnya, maka dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan senget sebelah”

Riwayat Abu Dawud (2133), al-Tirmidzi (1141), al-Nasaie (3942), Ibn Majah (1969) dan Ahmad (7936).

Keadaan yang digambarkan dalam hadith ini menunjukkan balasan kerana meninggalkan sikap adil kepada isteri-isterinya. Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِى فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِى فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ

Maksudnya: Nabi SAW membuat giliran dalam kalangan isterinya dan berlaku adil. Baginda bersabda: “Ya Allah, inilah pembahagian yang mampu aku lakukan. Janganlah kamu mencela aku tentang pembahagian yang kamu miliki yang tidak mampu aku lakukan.

Riwayat al-Tirmizi (1140) dan Abu Dawud (2134)

Al-Mubarakfuri berkata: Maksud “apa yang Kamu milik dan tidak aku miliki” adalah dari sudut menambah kasih sayang dan kecenderungan hati. Ibn al-Humam berkata, zahirnya bahawa selain daripada itu adalah termasuk di bawah kemampuannya yang wajib disamaratakan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/247)

Berdasarkan persoalan di atas, terdapat beberapa kemungkinan yang dimaksudkan, iaitu:

  • Jika yang dimaksudkan adakah dibenarkan dalam Islam untuk mengumpulkan dua orang isteri daripada satu suami dalam satu bilik kerana terdapat hajat seperti berehat dan makan minum, maka itu dibenarkan. Ini kerana tiada dalil daripada Syara’ yang menghalangi hal sedemikian.
  • Jika yang dimaksudkan ialah mengumpulkan isteri-isteri dalam satu bilik sebagai nafkah tempat tinggal bagi keduanya, maka hal ini kami berpendapat dimakruhkan bagi suami kerana bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW yang menyediakan rumah atau bilik yang berbeza bagi isteri-isterinya.

Ibn Qudamah menyatakan:“Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk mengumpulkan dua orang isterinya dalam satu (ruang) tempat tinggal yang sama melainkan dengan keredaan keduanya, sama ada ruang itu kecil atau besar, kerana akan menyebabkan mudarat keatas kedua mereka. Mungkin akan berlaku kebencian dan cemburu, pertemuan keduanya akan membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan. (Begitu juga) salah seorang daripada mereka mendengar dengusan (seksual) salah seorangnya didatangi suami, atau juga melihat mereka sedang bersama.” (Lihat al-Mughni, 7/300-301)

  • Jika yang dimaksudkan ialah menghimpun dua orang isteri bagi tujuan persetubuhan suami dalam satu bilik, maka yang demikian adalah haram berdasarkan nas syara’.

Mengumpulkan dua isteri untuk bersetubuh secara jelas membawa kepada pendedahan aurat yang berat antara kedua isteri lantaran Syariat tetap meletakkan batas aurat antara wanita-wanita yang bermadu, sekalipun suaminya sama, namun perkahwinan yang diiktiraf di dalam Islam hanyalah antara lelaki dan perempuan. Maka wanita-wanita yang bermadu tiada hubungan apa-apa yang boleh menghalalkan aurat dilihat antara satu sama lain. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: Janganlah seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki (yang lain), dan jangan juga seorang wanita melihat aurat wanita (yang lain).

Riwayat Muslim (338)

Imam Nawawi menyebutkan: “Dalam hadith ini menunjukkan haramnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki lain dan juga haram bagi seorang wanita melihat aurat wanita lain dan ini tiada perbezaan pandangan padanya.” Beliau juga menyebut bahawa aurat antara wanita dan wanita yang Muslim adalah antara pusat dan lutut. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/30-31)

Tambahan lagi, perbuatan ini membawa kepada dosa musahaqah, seperti yang dilakukan oleh golongan lesbian pada zaman ini. Diriwayatkan daripada Wathilah bahawa Rasululllah SAW melarang sihaq:

السِّحَاقُ بَيْنَ النِّسَاءِ زِنًا بَيْنَهُنَّ

Maksudnya: Perbuatan sihaq antara wanita-wanita itu dikira berzina dalam kalangan mereka.

Riwayat al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir (153).  Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (4784) menyatakan hadith ini dhaif.

Ibn Qudamah juga menyebut: “Sekalipun kedua isteri itu reda suami itu tidur bersama kedua mereka dalam satu selimut, dan reda seorang daripada mereka berjimak sedangkan yang satu lagi melihatnya, itu tidak dibenarkan. Ini kerana hal demikian merupakan lambang rendah akhlak, kehinaan, dan menjatuhkan maruah, maka tidak boleh sekalipun dengan redha keduanya. Namun jika dalam rumah yang sama tetapi bilik berbeza maka dibolehkan dengan syarat saiz bilik itu sama.”

Merujuk kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/251), para penulisnya menyebut: “Tiada perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha bahawa perbuatan lesbianism adalah dilarang berdasarkan sabda Rasulullah SAW bahawa sihaq itu adalah zina dalam kalangan wanita. Dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengiranya sebagai dosa besar.”

Lantaran keburukan perbuatan ini, sewajarnya seseorang itu, sama ada suami atau isteri itu, malu daripada berfikir mahupun melakukan perkara ini sekalipun jika hubungan seksual itu berlaku antara suami dan salah seorang isterinya, namun isteri yang lain mendengar dan melihat berlakunya persetubuhan itu. Itu adalah perkara yang amat memalukan. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu enam puluh lebih cabang, dan sifat malu itu salah satu cabang daripada Iman.

Riwayat al-Bukhari (9) dan Muslim (35)

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan meletakkan isteri-isteri untuk tinggal sebilik walaupun dengan persetujuan mereka adalah makruh, dan ianya menjadi HARAM sekiranya melibatkan persetubuhan suami dengan salah satu isterinya ataupun kedua-duanya. Hal ini kerana ianya boleh membawa kepada ketidakharmonian dalam rumah tangga dan kecemburuan dalam kalangan isteri sekiranya diletakkan di dalam satu bilik. Ianya juga menyalahi sunnah kerana Rasulullah SAW meletakkan isteri-isteri baginda di dalam rumah yang berbeza yang dikenali sebagai al-Hujurat. Namun sekiranya isteri-isteri bersetuju dan redha untuk tinggal serumah dengan bilik-bilik yang berbeza yang sama saiz bagi setiap orang, maka hal ini dibenarkan oleh syara’. Akan tetapi sekiranya isteri tidak redha dan bersetuju untuk tinggal serumah, maka suami wajib menyediakan rumah lain yang sesuai untuk isterinya yang lain.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama dan memelihara kita daripada melibatkan diri daripada perkara fahisyah. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445