Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mempunyai beberapa kedai yang disewakan. Bolehkah saya mengenakan denda terhadap penyewa yang melambat-lambatkan pembayaran sewa? Ini kerana penyewa-penyewa ini sentiasa bayar lewat.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, sewaan dikenali sebagai akad al-ijarah (الإِجَارَةُ) berdasarkan fiqh Islam. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sewaan merujuk kepada penggunaan atau peminjaman sesuatu dengan membayar sejumlah wang. Manakala takrif sewa menurut istilah syara‘ pula ialah sebuah akad perjanjian bagi mendapatkan manfaat (khidmat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)
Pensyari‘atan akad al-ijarah ini adalah jelas berdasarkan nas syara‘ yang memerintahkan suami untuk memberi upah kepada isteri yang menyusukan anak. Firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”
(Surah al-Talaq: 6)
Akad sewa secara asasnya mempunyai 4 rukun:
- Pihak yang melakukan akad, iaitu penyewa dan yang memberi khidmat sewa.
- Lafaz akad, iaitu lafaz ijab dan lafaz terima.
- Manfaat yang ditawarkan.
- Bayaran sewa atau upah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/139-148)
Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, kami menasihatkan agar sauda tidak terburu-buru untuk terus mengenakan denda kepada penyewa yang terlewat melakukan pembayaran pada setiap bulan. Sebaiknya, saudara memperbaharui kontrak perjanjian sewa yang dibuat antara saudara dan juga penyewa rumah kedai tersebut. Kontrak yang dipersetujui segala pra syaratnya itulah yang akan menjadi penentu sama ada denda tersebut wajar dikenakan atau tidak.
Hal ini kerana mana-mana akad dalam Islam, tidak akan termeterai melainkan dengan persetujuan dan keredhaan kedua-dua belah pihak yang menunaikan akad. Ini berdasarkan nas syara‘ yang jelas seperti firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Dan juga hadith riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
Maksudnya: “Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.”
Riwayat Ibn Hibban (4967)
Adapun mengenakan denda tanpa meletakkan syarat terlebih dahulu di dalam kontrak yang dipersetujui bagi penyewa yang sengaja melewatkan pembayaran dikhuatiri akan termasuk di dalam larangan yang disebutkan oleh syara‘. Dalam sebuah riwayat daripada Abu Harrah al-Raqasyi R.A, daripada pakciknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبٍ مِنْ نَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak halal harta seseorang Muslim kecuali dengan keizinan daripadanya (pemilik harta).”
Riwayat Ahmad (20695)
Bukanlah bermaksud denda itu tidak wajar dikenakan, sedangkan penyewa sewenang-wenangnya menggunakan kedai tersebut tanpa memberikan wang bayaran pada waktu yang telah ditetapkan. Akan tetapi, kita tidak ingin membalas suatu kemudharatan yang orang telah buat pada kita dengan mudharat yang lain kepadanya. Ini berbetulan dengan hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh memudharatkan orang lain, dan tidak boleh membalas mudharat (yang dilakukan oleh orang lain dengan mudharat yang lebih besar).”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Sekiranya berkelapangan, cuba bertanyakan sebab mengapa sering berlakunya tunggakan pembayaran sewa. Boleh jadi penyewa tersebut betul-betul berada di dalam kesempitan wang, maka alangkah baiknya jika kita sebagai pemilik boleh menunjukkan sifat rahmah sesama manusia yang pasti tidak terlepas dari sebarang ujian kehidupan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi ini. Jika persetujuan berkenaan denda ini telah dibuat sejak dari mula menyewa, ia lebih adil bagi pihak saudara dan juga penyewa kerana kedua-dua belah pihak telah maklum akan kesan yang akan diterima apabila bayaran denda lambat dilunaskan.
Kami menasihatkan, jika ingin mengambil sejumlah wang sebagai denda, biarlah dengan nilai yang munasabah dan sesuai dengan kemampuan penyewa tersebut, dan janganlah sehingga menindas mana-mana pihak. Ingatlah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَحِمَ اللهُ رَجُلًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرى، وَإِذَا اقْتَضَى
Maksudnya: “Allah mengasihi lelaki yang bertoleransi ketika menjual, membeli, dan meminta hutang.”
Riwayat al-Bukhari (2076)
Dalam masa yang sama, penyewa sepatutnya tidak mengambil kesempatan ke atas pemilik kedai yang mungkin menunjukkan sifat toleransi dan lemah lembut dengan sengaja melewatkan bayaran sewa kerana ia dianggap sebagai penindasan yang disengajakan. Islam telah mengharamkan kita berbuat zalim ke atas orang lain. Ini berdasarkan riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Allah SWT dalam hadith qudsi, firman-Nya:
يَاعِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا
Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Akupun jadikan kezaliman itu di antara kalian sebagai sesuatu yang haram.”
Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)
Kesimpulan
Meletakkan nilai tertentu sebagai denda ke atas penyewa yang sengaja melewatkan bayaran tidak salah jika ianya dibuat berladaskan akad yang sah menurut syara‘. Akan tetapi, biarlah ianya bersesuaian dan tidak melampau batas sehingga menindas mana-mana pihak.
Kami juga mencadangkan, cuba alternatif lain yang mungkin kebiasaan pemilik rumah atau kedai sewa lakukan, seperti:
- Meminta wang deposit untuk 2 atau 3 bulan sebagai jaminan sekiranya penyewa sengaja tidak membayar sewa.
- Mengambil bayaran 2 kali sebulan. Dalam erti kata lain, bayaran sebulan itu dipecahkan kepada 2 agar ia menjadi lebih ringan bagi penyewa dan tidak berat.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445