#3565: Menyertai Aktiviti Berkumpulan (Team Building) Melibatkan Lelaki dan Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menyertai team building yang bercampur antara  lelaki dan perempuan dalam satu kumpulan, ada aktiviti yang dibuat dalam keadaan rapat dan bersentuhan sesama  mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.”

Riwayat Muslim (1341)

Hadith ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah sesuatu yang dilarang di dalam agama.

Imam al-Nawawi berkata: “Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun atau tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut sama seperti tiada.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/243-244)

Antara hikmah larangan seorang lelaki berdua-duaan bersama seorang perempuan yang bukan mahramnya ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka.

Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa: “Dan begitu juga, sekiranya ramai lelaki berhimpun dengan seorang perempuan ajnabiyyah, hukumnya adalah haram berbeza sekiranya seorang lelaki berhimpun dengan ramai perempuan ajnabiyyah kerana menurut pendapat yang sahih hukumnya adalah harus.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/244)

Ibnu Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa di sana ada kelonggaran yang diberikan iaitu boleh bersendiri bagi seorang lelaki yang thiqah (dipercayai) bersama dua orang perempuan (atau lebih) yang thiqah yang mana perempuan berkenaan dihormati oleh lelaki tersebut dan bukan sebaliknya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/107)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan melibatkan dalam aktiviti team building tidaklah berdosa dan diharuskan, namun yang menjadi masalahnya apabila pencampuran antara lelaki perempuan yang mana sehingga rapat dan bersentuhan sesama mereka. Maka, perbuatan begitu jelas diharamkan oleh Allah SWT. Saidatina A’ishah R.Anha berkata:

وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ، مَا يُبَايِعُهُنَّ إِلاَّ بِقَوْلِهِ

Maksudnya: Demi Allah, tangan Rasullullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekali pun dalam baia’h (perjanjian, Mereka hanya membaia’h dengan ucapan sahaja

Riwayat Imam Bukhari (4891)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam syarahnya melarang bersalaman di antara lelaki dan perempuan:

فَلَا يُصَافِحُ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ وَلَا عَكْسُهُ

Maksudnya: Dilarang bersalaman lelaki dan perempuan dan begitu juga sebaliknya (Lihat Tuhfatul al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/56)

Oleh itu, nasihat kami jika ingin melakukan aktiviti berkenaan perlu ada garis panduan dalam menjaga batas pergaulan seperti aurat dijaga, batasan dijaga, pandangan dijaga, dan dilakukan secara terbuka serta perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah, tohmahan buruk, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445