Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanyakan tentang perkara yang tular di media sosial berkenaan dengan seorang lelaki memukul seorang pemandu food panda. Apakah hukum dari segi perundangan Islam berkenaan rakan yang tidak membantu meleraikan pergaduhan mengakibatkan lelaki tersebut didapati bersalah dah dipenjarakan. Samada rakan tersebut provok atau membiarkan rakannya mencederakan orang lain. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Surah al-Hujurat:10)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 800)
Begitu juga firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksudnya: Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”.
(Lihat al-Anfal:1)
Dalil-dalil di atas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya mendamaikan dua orang yang bertelingkah kerana muslim itu adalah bersaudara. Pertelingkahan sesama muslim boleh membawa kepada perpecahan dan putusnya silaturrahim yang terbina. Oleh yang demikian wajib keatas setiap muslim menjaga tali persaudaraan agar tidak berlaku perpecahan yang merugikan kita jua.
Dalam menjawab soalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa sebagai seorang muslim dan rakan yang baik, apabila kita menyaksikan pertelingkahan di kalangan rakan-rakan kita, adalah kewajipan kita untuk cuba meredakan konflik tersebut agar keadaan tidak menjadi lebih buruk. Tidak sepatutnya seorang rakan memprovokasi yang lain, kerana tindakan memprovokasi ini seumpama menambahkan lagi bara ke dalam api, yang akhirnya boleh merosakkan hubungan baik dan menyebabkan terputusnya silaturrahim di antara sesama muslim. Oleh itu, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berusaha untuk memastikan hubungan dan persaudaraan sesama muslim sentiasa terjaga dan harmoni.
Firman Allah SWT:
لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ
Maksudnya: Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia.
(Surah al-Nisa:114)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat).”
(Surah al-Ra’d:21)
Diriwayatkan Daripada Jubair bin Mut’im RA bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim).”
Riwayat al-Bukhari (5984)
Al-Auza’i menyatakan bahawa: Tiada langkah yang lebih dicintai oleh Allah Yang Maha Kuasa daripada langkah dalam memperbaiki perselisihan, dan sesiapa yang merukunkan dua orang yang berselisih, Allah membebaskannya dari neraka. (Lihat Kitab al-Din al-Muamalah,hlm.225)
Telah dinyatakan dalam Syarh al-Qawaid al-Sadiyyah bahawa: Pendamaian adalah salah satu daripada pintu-pintu besar dalam undang-undang Islam yang dianjurkan oleh syarak, sehingga terdapat dalil tentang kebolehan mendamaikan dua individu atau dua kelompok yang berselisih, walaupun melibatkan kebohongan, kerana pendamaian membawa manfaat besar yang lebih besar daripada mudarat yang ditimbulkan oleh kebohongan. Ini adalah salah satu prinsip mengenai manfaat dan mudarat di mana manfaat yang lebih besar diberikan keutamaan berbanding dengan mudarat yang kecil. (Lihat Syarh al-Qawaid al-Sa’diyyah,hlm.172 )
Justeru, kami tegaskan bahawa sikap tidak melakukan pengislahan atau pendamaian antara dua orang yang bertelingkah, dan sebaliknya menambahkan lagi ketegangan dengan memprovokasi di antara mereka yang berselisih faham, adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai seorang muslim, kita diberi tanggungjawab untuk mendamaikan dua pihak yang sedang bertelingkah dan meneruskan silaturrahim, sejajar dengan nilai-nilai keharmonian yang digalakkan dalam agama Islam. Ini adalah satu langkah penting dalam memelihara hubungan dan kasih sayang dalam kalangan umat Islam, serta memastikan bahawa hubungan sesama muslim kekal kukuh dan saling membantu satu sama lain dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi’ Bin Harith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِثْلُ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
Maksudnya: “Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga di samping yang sedang menantinya di Hari akhirat dibanding dengan dosa menzalimi manusia dan dosa memutuskan silaturrahim.”
Riwayat Abu Daud (4902), al-Tirmizi (2511) dan Ibnu Majah (4211)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445