Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kebiasaannya bila saya naik kereta, saya akan membaca doa naik kenderaan dan kemudiannya saya membaca doa di bawah sebanyak tiga kali:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلاَ فِي السّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Selepas itu, saya ada mendengar dalam satu kuliah di mana ustaz tersebut melarang seseorang yang naik kereta untuk membaca doa itu kerana dikhuatiri akan berlaku kemalangan disebabkan kemungkinan jin atau syaitan yang berada berdekatan dengannya akan berasa terganggu lalu menyebabkannya kemalangan. Betulkah hal itu? Sebabnya saya membaca doa itu tujuannya adalah untuk memohon perlindungan kepada Allah daripada semua hal yang buruk. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu di sini riwayat yang berkaitan dengan doa di atas. Di antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitabnya melalui jalur Uthman R.A, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَن قَال صَبَاح كُل يَومٍ ومَساءَ كُل لَيلةٍ ثَلاثاً ثَلاثاً: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلاَ فِي السّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، لم يضره شَيءٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang pada setiap waktu pagi dan petangnya mengucapkan kalimah berikut masing-masing sebanyak tiga kali: ‘بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلاَ فِي السّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ’ (Dengan nama Allah, yang tiada sesuatu dapat memudaratkan bersama dengan nama-Nya di bumi dan langit; dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui), nescaya tiada sesuatu pun yang dapat memberikan kemudaratan kepada seseorang itu.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (660)
Kemudian Imam al-Bukhari menyambung selepas riwayat di atas dengan menyatakan, Aban bin Uthman (iaitu salah seorang perawi riwayat di atas) telah ditimpa lumpuh separuh badan, lalu dia mula menilai keadaan itu. Dia menyedarinya seraya berkata, “Sesungguhnya, hadith sebagaimana yang aku sampaikan kepadamu tetapi aku tidak ucapkan pada hari itu agar berjalannya ketentuan Allah.” (Lihat al-Adab al-Mufrad, hlm. 345-346).
Bahkan Sa‘id bin Ali Wahf al-Qahtani juga turut memasukkan doa ini di dalam kitabnya, Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah (hlm. 63), sebagai bacaan zikir pagi dan petang. Seterusnya, Majdi bin ‘Abd al-Wahhab telah mensyarahkannya dengan menyebutkan, di dalam hadith dinyatakan bahawa sesiapa yang mengucapkannya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali lagi pada waktu petang, maka tiada sesuatu pun yang dapat memberikan kemudaratan kepadanya.
Lafaz “بِسْمِ اللَّهِ” bermaksud dengan nama Allah aku memohon perlindungan.
Lafaz “مَعَ اسْمِهِ” bermaksud bersama-sama disertakan nama Allah.
Lafaz “وَلاَ فِي السّمَاءِ” bermaksud tiada sesuatupun dapat memberi mudarat bersama dengan nama-Nya di langit. Dalam erti kata lain, sebagaimana penduduk bumi berada dalam keamanan dan kesejahteraan disebabkan oleh keberkatan nama Allah dan kebersamaan nama Allah itu, begitulah juga keadaannya penduduk langit. Orang yang bersamaan dengan nama Allah dan tetap dengannya, tidak ada sesuatu apapun dapat memudaratkannya. Atau maknanya juga ialah tidak ada sesuatu apapun yang dapat memudaratkannya bersama nama Allah itu, tidak kira ia datang dari arah bumi mahupun dari arah langit.
Lafaz “وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ” bermaksud Allah Maha Mendengar setiap doa yang diperdengarkan kepada-Nya dan Maha Mengetahui segala sesuatu. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 174-175).
Justeru, jelaslah bahawa di samping ia sebagai zikir bacaan pagi dan petang, ia juga merupakan permohonan perlindungan kita kepada Allah SWT daripada segala keburukan, kecelakaan dan bahaya sama ada ia datang dari bumi mahupun dari langit.
Keduanya, Nabi SAW juga telah mengajarkan kepada kita untuk sentiasa mengiringi setiap tindak-tanduk dan perbuatan kita dengan doa dan basmalah. Ringkasnya, basmalah dari sudut bahasa dan istilah merujuk kepada ucapan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” (Bismillahirrahmanirrahim). Dikatakan: Basmal “بَسْمَل” Basmalah “بَسْمَلَةً”, apabila seseorang mengucapkan atau menulis: Bismillah “بِسْمِ اللَّهِ”. Dikatakan juga: “Perbanyakan basmalah,” bermaksud “Perbanyakan ucapan Bismillah.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83).
Seterusnya, al-Qurtubi menukilkan pula bahawa sebahagian ulama berpendapat makna ucapan Bismillah “بِسْمِ اللَّهِ” ialah aku mulakan dengan mengharapkan pertolongan Allah, taufiq-Nya dan keberkatan daripada-Nya. Ini adalah pengajaran daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya agar mereka menyebut nama-Nya ketika memulakan pembacaan dan selainnya, supaya permulaan mereka diiringi dengan keberkatan daripada Allah ‘Azza wa Jalla. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/98).
Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan kepada manusia agar memulakan setiap amalan dengan lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Setiap perbuatan yang dimulai dengan basmalah sudah pasti mendapat keberkatan daripada Allah SWT sebagai Pemberi nikmat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/58).
Di samping itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ
Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.”
Riwayat Ahmad (8712)[1]
Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73).
Tuntutan untuk melazimi setiap tindak-tanduk dan perbuatan kita dengan doa dan basmalah dapat dilihat melalui hadith-hadith, antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya: “Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam ketika membuka pakaian adalah membaca bismillah.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2504)
Selain itu, terdapat riwayat lain daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya: “Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam, ketika memasuki kanif — yakni tempat buang air — adalah membaca bismillah.”
Riwayat Ibn Majah (297); al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan
Mengenai hal ini, al-Mubarakfuri menukilkan pendapat al-Munawi yang menyatakan, sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184). Selain itu, Sa‘id bin Ali Wahf al-Qahtani juga ada menyebutkan bahawa bacaan basmalah ketika mahu masuk ke dalam tandas, ketika hendak menanggalkan pakaian atau menyelaknya bagi menunaikan suatu hajat di dalam tandas adalah menepati syariat sebagaimana di dalam riwayat Ali R.A. Hikmahnya adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat anak-anak Adam ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian atau seumpamanya. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103).
Demikian juga dituntut oleh seorang suami itu untuk membaca basmalah meskipun dalam soal mengadakan hubungan intim dengan isterinya. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ
Maksudnya: “Sekiranya salah seorang dari kamu mendatangi isterinya lalu dia membaca: ‘بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا’ (Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami), maka apabila ditetapkan buat mereka berdua lahirnya seorang anak, maka syaitan tidak akan memberi kemudaratan kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (141)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, antara faedah yang terdapat dalam hadith ini adalah anjuran membaca basmalah, berdoa, dan menjaga hal tersebut dalam perkara-perkara yang melazatkan seperti hubungan suami isteri. Selain itu, ia memberikan isyarat bahawa syaitan itu sentiasa melazimi anak-anak Adam dan tidak akan berpaling daripada mereka melainkan setelah dibaca zikrullah. Di samping itu, ia juga menunjukkan suatu tuntutan ke atas seseorang itu sentiasa memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada segala bentuk kejahatan dalam urusan dunianya dan juga urusan akhirat. (Lihat Fath al-Bari, 9/136).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu menjadikan doa: “بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلاَ فِي السّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ” sebagai bacaan zikir atau doa selepas menaiki kereta mahupun kenderaan lain. Ini kerana tidak terdapat dalil yang melarang untuk membacanya ketika menaiki kenderaan, bahkan menaiki kenderaan seperti kereta dan lain-lain termasuk dalam perbuatan yang diharuskan, maka ia kembali kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu diharuskan. Apatah lagi bacaan tersebut juga termasuk dalam bacaan yang mathur dalam usaha seseorang memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada sebarang kemudaratan di bumi mahupun langit sebagaimana yang ditegaskan akan fadhilatnya dalam hadith di atas yang kami telah sebutkan.
Selain daripada itu, di samping memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada sebarang bahaya sama ada yang zahir mahupun tersembunyi, ia juga sebagai satu usaha seseorang dalam mengharapkan pertolongan Allah, taufiq-Nya dan keberkatan daripada-Nya dalam setiap perbuatan dan tindak-tanduknya. Ini adalah pengajaran daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya agar mereka menyebut nama-Nya ketika memulakan pembacaan, pemanduan, dan selainnya, supaya permulaan mereka diiringi dengan keberkatan daripada Allah ‘Azza wa Jalla.
Adapun berkenaan dakwaan seseorang yang melarang daripada membacanya di dalam kereta disebabkan khuatir atau risau ia mengganggu jin atau syaitan yang berada berdekatan dengannya lalu menyebabkan kecelakaan, kami tidak menemui asalnya mahupun dalil yang menyokongnya. Sebaliknya, bacaan basmalah itu yang akan menjamin keselamatannya daripada sebarang kemudaratan sebagaimana jelas disebutkan dalam hadith. Insya-Allah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
[1] Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445