Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dikira sama seperti bersumpah dengan nama Allah sekiranya menyebut perkataan sumpah sahaja tanpa diikuti dengan nama Allah? Contohnya: sumpah aku tak nak tolong kau lagi dah.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)
Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213; Taudhih al-Ahkam, 7/105)
Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”
Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, sumpah hendaklah dilakukan dengan nama Allah. Sesiapa yang bersumpah selain daripada nama Allah, maka dia telah jatuh kedalam lembah kesyirikan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa beliau pernah mendengar seorang lelaki berkata: “Tidak, demi Ka’bah.” Ibn ‘Umar R.Anhuma pun berkata: “Jangan bersumpah dengan yang lain selain daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah dengan yang selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kafir atau syirik.”
Riwayat Abu Dawud (3251), al-Tirmizi (1535) dan Ahmad (6072). Hadith ini dinilai sahih dalam Irwa’ al-Ghalil (8/189).
Al-Syaukani menjelaskan bahawa ungkapan ‘kafir’ atau ‘syirik’ dalam hadis di atas adalah bagi menjelaskan kesungguhan dari segi celaan dan teguran dalam hal bersumpah itu. (Lihat Nail al-Autar, 8/261)
Ibnu al-Qayyim perkata:”Salah satu dosa besar adalah bersumpah dengan selain Allah, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah bersekutu.’ Seseorang mungkin mengatakan bahawa ini adalah makruh, tetapi menurut hukum syariat, ini adalah bentuk syirik. Kedudukannya lebih tinggi dari dosa-dosa besar.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 6/571-572)
Adapun dalam isu ini kami katakan sebarang sumpah yang dilakukan tanpa menyebut nama Allah SWT adalah tidak sah. Ini kerana antara syarat sah sumpah ialah dengan menyebut nama Allah . Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa sesiapa yang bersumpah hendaklah bersumpah dengan dengan salah satu daripada yang berikut:
- Zat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Zat Allah SWT atau aku bersumpah demi Allah SWT.
- Nama Khas bagi Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Tuhan Penjaga (الرب) seluruh alam atau demi Tuhan Pemerintah (المالك) hari Kiamat atau Aku bersumpah demi Tuhan yang Maha Pemurah.
- Sifat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi kemuliaan Allah atau demi ilmu-Nya atau demi kehendak-Nya atau demi kekuasaan-Nya. (Lihat Fiqh al-Manhaji,3/13)
Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Tidak dikira sumpah kecuali dengan zat Allah SWT atau dengan sifat-Nya seperti : Demi Allah Tuhan sekelian alam, Demi tuhan yang Maha hidup dan tidak mati, Demi jiwaku yang berada di tanganNya dan setiap nama yang dikhususkan bagi Allah SWT.(Lihat Minhaj al-Talibin,hlm.326)
Sebagai kesimpulannya kami katakan sebarang sumpah yang dilakukan tanpa menyebut nama Allah adalah tidak dikira kerana tidak memenuhi syarat sah sumpah. Di sini sekali lagi kami ingatkan sabda Rasulullah SAW:
مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”
Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445