Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah menuduh seseorang melakukan liwat tanpa membawakan empat saksi sebagaimana tuduhan zina termasuk dalam qazaf yang dilarang dalam agama? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan liwat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, liwat diertikan sebagai hubungan jenis melalui dubur.[1] Ringkasnya, liwat merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut disebabkan tidak ada yang melakukan perbuatan jenayah ini sebelum kaum Lut. Ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?’”
(Surah al-A‘raf: 80)
Al-Maraghi menyebutkan, perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu pada mana-mana zaman pun tetapi perbuatan itu termasuk dalam perkara baru yang kamu buat dalam soal kerosakan sehingga kamu merupakan contoh dan teladan dalam perbuatan yang jahat. Oleh itu, kamu akan menerima dosa dan dosa daripada sesiapa sahaja yang mengikut kamu dalam melakukan perbuatan-perbuatan jahat itu sampai hari kiamat.
Ini merupakan keterangan bahawa keburukan-keburukan yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan tuntutan-tuntutan fitrah. Keadaan ini sememangnya tidak diingini oleh hati sesiapa pun daripada umat sebelum mereka, malah hal itu bertentangan dengan petunjuk agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2279).
Seterusnya, para ulama telah bersepakat akan pengharaman liwat dan menyatakan bahawa ia termasuk antara sebesar-besar perbuatan yang keji. Di antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada pengharaman liwat adalah seperti riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ
Maksudnya: “Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut, Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut, Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.”
Riwayat al-Nasa’i (7297)
Hadith ini menunjukkan bahawa pelaku perbuatan liwat dilaknat oleh Allah SWT dan lafaz “laknat” yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam perkara haram dan dosa-dosa besar.
Bahkan terdapat pendapat yang menyatakan bahawa mereka boleh dibunuh. Ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ
Maksudnya: “Bunuhlah peliwat dan yang diliwat.
Riwayat al-Tirmizi (1456); Abu Daud (4462); Ibn Majah (2561); Ahmad (2727)[2]
Begitu juga Ibn Abd al-Barr turut menyebutkan:
اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ يَعْنِي فِي اللُّوطَةِ
Maksudnya: “Bunuhlah pelaku dan yang dilakukan (yang diliwat) yakni dalam amalan liwat atau homoseks.” (Lihat al-Istizkar, 7/495).
Berdasarkan hadith di atas, jelas bahawa menunjukkan kepada pengharaman liwat apabila disertakan hukuman bunuh ke atas pelaku perbuatan tersebut. Ini menunjukkan betapa perbuatan tersebut dianggap jenayah dalam Islam dan ditentang dengan sekeras-kerasnya seperti hukuman Tuhan terhadap kaum Nabi Luth yang telah dirakamkan dalam al-Quran.
Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, perbuatan qazaf atau membuat tuduhan zina kepada orang Muslim lain tanpa mendatangkan empat orang saksi termasuk dalam salah satu dosa besar. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar). Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling).’”
Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)
Bahkan pesalah boleh dikenakan hukuman hudud qazaf iaitu disebat sebanyak 80 kali sebatan, jika memenuhi syarat-syarat hukuman. Selain itu, hak pesalah untuk menjadi saksi juga akan digugurkan, kecuali sekiranya dia bertaubat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٤﴾ إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik (4). Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nur: 4-5)
Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan ataupun lelaki. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 22/94).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang termasuk dalam kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa sesiapa yang menuduh seseorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau orang yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman hudud, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakha‘i, al-Zuhri, Malik, al-Syafi‘i, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan dan Abu Thaur. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/9).
Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, pendapat kami (mazhab al-Syafi‘i), tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalamnya ialah perbuatan liwat, yang merupakan salah satu daripada perbuatan keji dan dosa besar. Jika seseorang meliwat seorang lelaki, maka tentang hukuman pelakunya ada dua pendapat. Pendapat yang azhar adalah hukumannya sama seperti hukuman zina. Maka direjam sekiranya dia seorang yang muhsan, atau disebat serta dibuang negeri sekiranya bukan muhsan. (Lihat Raudhah al-Talibin, 10/90).
Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, jika seseorang menuduh orang lain mendatangi seseorang pada dubur, seperti dia berkata: “Engkau telah meliwat” atau “Seseorang telah meliwat engkau,” maka itu adalah qazaf, sama ada jika ia ditujukan kepada lelaki atau wanita. (Lihat Raudhah al-Talibin, 8/311).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa tuduhan liwat kepada seseorang, tidak kira lelaki atau wanita tanpa membawa empat orang saksi termasuk dalam qazaf dan boleh dikenakan hukuman hudud qazaf apabila memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan, jika orang yang dituduh itu tidak pernah sabit melakukan perbuatan zina, liwat ataupun persetubuhan seumpamanya.
Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan dan mengingatkan agar kita menjaga lidah kita dan tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan liwat mahupun zina kepada seseorang Muslim. Hal ini kerana dalam Islam tuduhan zina atau liwat memerlukan kepada empat orang saksi dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan orang yang menuduh itu dikenakan hukum hudud qazaf. Bukan itu sahaja, pelakunya juga dianggap melakukan dosa besar dan kesaksian mereka tidak lagi diterima. Di antara tujuan hukuman qazaf ini adalah bagi menyekat mereka yang suka menjadikan zina atau liwat dan celaan berbentuk tuduhan seksual dalam menjatuhkan dan memalukan sesama orang Islam.
Ia juga bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup pintu kemudaratan yang lebih besar, di mana jika ia tidak dikawal dan dibendung, maka orang yang berniat jahat boleh sewenang-wenangnya menuduh zina, liwat atau menjadikan celaan berbentuk seksual kepada orang lain bagi menjatuhkan maruahnya, lalu seterusnya timbullah huru hara dan keharmonian dalam sebuah masyarakat tidak akan dapat dicapai.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=liwat. Diakses pada 13 Oktober 2023.
[2] Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir (202) menilai sanadnya sebagai hasan. Manakala Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma‘ad (5/37) menilai sanadnya sebagai sahih. Begitu juga al-Syaukani dalam al-Fath al-Rabbani (5/2438) menyebutkan, ia boleh dijadikan sebagai hujah.
Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445