Soalan:
Assalamualaikum ,Datuk Dr. Zulkifli. Saya ingin bertanya adakah wajib bagi perempuan yang bersalin untuk menggantikan solat fardu ketika ia bersalin?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Sabda Nabi SAW:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”
Riwayat al-Bukhari (7)
Perkataan solat adalah diambil daripada bahasa Arab. Ia adalah merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi’il); solla, yusolli, solatan yang membawa maksud doa, al-istighfar, al-maghfirah, al-Islam, al-din. (Lihat al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi, 1/746)
Allah SWT berfirman:
وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ
Maksudnya: “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Dari sudut istilah Fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/257)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan solat merupakan tiang agama yang merupakan tanggungjawab harian sebagai seorang muslim walau dalam keadaan macaman sekalipun. Oleh yang demikian meninggalkan solat boleh menyebabkan seorang itu jatuh dalam kekufuran.
Diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)
Dalam isu ini kami katakan wanita yang tidak sempat mendirikan solat fardhu selepas masuknya waktu solat kerana bersalin wajib ke atasnya mengadha balik solat yang tidak sempat dilaksanakan tersebut. Kewajipan menunaikan solat ini tetap berlaku, bahkan jika wanita tersebut dalam keadaan kontraksi, selagimana darah nifas belum keluar. Ini juga termasuk bagi wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan; dia tetap diwajibkan untuk mengqadha solat yang tertinggal semasa proses kelahiran. Hal ini disebabkan darah yang keluar akibat pembedahan tidak dianggap sebagai darah nifas.
Syeikh Ibn Baz dalam fatwanya menyatakan bahawa: Jika sakit bersalin disertai dengan keluarnya darah, maka wanita tersebut tidak diwajibkan untuk menunaikan solat dalam keadaan ini. Hal ini ini kerana darah tersebut merupakan darah nifas, Oleh kerana itu tidak ada kewajiban untuk mengqadha solat. Namun, jika wanita tersebut mengalami sakit bersalin, darah keluar, dan tidak mampu menunaikan solat, maka ini juga termasuk nifas, dan kewajiban solat tidak berlaku.
Namun, jika tidak keluar darah, maka ini hanya dianggap sebagai rasa sakit tanpa ada kelahiran atau darah. Dalam hal ini, wanita tersebut hendaklah menqadhakan solat. (Lihat Fatawa Nur ala Darb,7/215)
Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A bahawa rasulullah SAW bersabda:
إذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلاَةِ أَوْ غَفَلَ عَنْهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَقُولُ أَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu meninggalkan solat kerana tertidur atau terlupa, hendaklah dia menggantikannya apabila teringat, kerana Allah SWT telah berfirman: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
Riwayat Muslim (684)
Begitu juga dalam hadith yang lain Anas Bin Malik R.A bahawa nabi Muhammad SAW bersabda :
مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).
Riwayat al-Bukhari (597)
Dapat difahami daripada hadith-hadith di atas sekiranya seseorang itu meninggalkan solat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat tersebut sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja ataupun dengan keuzuran
Justeru kami katakan wanita yang melahirkan anak selepas masuknya waktu solat dan tidak sempat baginya melaksanaka solat disebabkan kelahiran maka diwajibkan baginya menggantikan solat tersebut. Ini kerana solat yang ditinggalkannya itu merupakan hutang kepada Allah SWt. Oleh itu hutang hendaklah dilangsaikan. Yang demikian sebagaomana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasululllah SAW bersabda:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148).
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445