#3577: Adakah Perlu Menggantikan Balik Solat Yang Ditinggalkan Ketika Tempoh Haid?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah wajib bagi perempuan menggantikan solat fardu yang ditinggalkan sewaktu haid. Contohnya,jika seorang perempuan datang haid selama 7 hari,adakah beliau wajib menggantikan solat fardu untuk 7 hari tersebut selepas haid tamat?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A bahawa rasulullah SAW bersabda:

إذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلاَةِ أَوْ غَفَلَ عَنْهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَقُولُ أَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu meninggalkan solat kerana tertidur atau terlupa, hendaklah dia menggantikannya apabila teringat, kerana Allah SWT telah berfirman: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Riwayat Muslim (684)

Begitu juga dalam hadith yang lain  Anas Bin Malik R.A bahawa nabi Muhammad SAW bersabda :

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).

Riwayat al-Bukhari (597)

Dapat difahami daripada hadith-hadith di atas  sekiranya seseorang itu meninggalkan solat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat tersebut sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja ataupun dengan keuzuran.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan wanita yang datang haid tidak dibolehkan mendirikan solat sepanjang tempoh haid. Ini kerana haid merupakan perkara yang menghalang dari kewajipan solat. Begitu juga wanita yang kedatangan haid tidak diwajibkan baginya menggantikan balik solat yang ditinggalkan sepanjang tempoh haid. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Fatimah binti Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Apabila datang haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan para ulama bersepakat bahawa wanita haid dan nifas tidak ditaklifkan (diwajibkan) menunaikan solat dan juga menggantikannya.(Lihat  Syarh Sahih Muslim, 4/30)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha :

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kami (kaum wanita). Maka kami diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).”

Riwayat Bukhari(321) dan Muslim(335)

Berdasarkan hadis di atas Imam al-Nawawi dalam karyanya menyatakan bahawa wanita tidak perlu menggantikan solat kerana perkara tersebut akan memberatkan dirinya. Walau bagaimanapun berbeza dengan ibadat puasa yang wajib digantikan kerana ia boleh digantikan pada bila-bila masa dalam setahun.” (Lihat  Syarh Sahih Muslim,4/36)

Namun, terdapat beberapa keadaan yang dikehendaki bagi wanita menggantikan solatnya iaitu  sekiranya haid tamat pada waktu asar maka wajib ke atasnya menunaikan solat asar dan menggantikan solat zohor. Sekirannya haid tersebut tamat pada waktu Isya, makwa wajib ke atasnya mengantikan solat Maghrib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah(1/196-197)

Sebagai kesimpulan, kami ingin menegaskan bahawa wanita yang sedang haid hendaklah meninggalkan pelaksanaan solat ketika dalam tempoh haid. Tidak perlu baginya untuk menggantikan semua solat yang telah ditinggalkan, kecuali dalam situasi-situasi tertentu yang telah dijelaskan sebelum ini.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445