#3578: Solat Ayat (صلاة اللآيات)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah terdapat solat ayat (صلاة اللآيات) sebagaimana dalam riwayat hadith dan apa maksudnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, ayah (آية) atau ayat (آيات) di sini bermaksud tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Surah Ali ‘Imran: 190)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.”

(Surah Fussilat: 37)

Dalam menjawab soalan di atas, maksud solat ayat (صلاة اللآيات) ialah apabila berlakunya gempa bumi atau tanah runtuh, maka ketika itu para ulama menyatakan boleh melakukan solat ayat. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin al-Harith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

 أَنَّهُ صَلَّى فِي زَلْزَلَةٍ سِتَّ رَكَعَاتٍ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ، وَقَالَ: هَكَذَا صَلَاةُ الْآيَاتِ

Maksudnya: “Beliau (Ibn Abbas) menunaikan solat ketika gempa bumi sebanyak enam rukuk dan empat sujud, dan beliau berkata: ‘Beginilah solat ayat.’

Riwayat al-Baihaqi (6382)[1]

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa Ibn ABbas R.Anhuma melakukan solat ketika berlakunya gempa bumi sebanyak enam rakaat dan empat sujud. Dalam erti kata lain, setiap rakaat terdapat di dalamnya tiga rukuk — menjadikan jumlah rukuk sebanyak enam kali. Selain itu, dalam hadith ini, Ibn Abbas ingin mengajarkan kepada mereka untuk melakukan sedemikian. Oleh itu, mereka sepatutnya menunaikan solat ini setiap kali berlakunya tanda-tanda kekuasaan Allah SWT seperti gempa bumi, banjir, angin kuat, atau berlakunya bencana, dan perkara seumpamanya dalam alam semesta ini.

Syeikh al-Islam menyebutkan, seseorang itu dibolehkan untuk mendirikan solat setiap kali berlakunya tanda-tanda kebesaran Allah SWT sebagaimana perkara itu ditunjukkan melalui hadith-hadith dan athar-athar. Para muhaqqiq dalam kalangan ashab Imam Ahmad dan selainnya menyatakan, solat ini adalah solat dalam keadaan seseorang takut atau cemas seperti mana solat istighfar merupakan solat dalam keadaan seseorang menginginkan pengampunan dan mengharapkannya. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk memohon kepada-Nya dengan perasaan takut (kalau-kalau permohonan tertolak) dan mengharapkan (moga-moga permohonannya itu dikabulkan).

Begitu juga Ibn al-Qayyim turut menyebutkan, perasaan takut itu terjadi disebabkan oleh perkara yang membawa bahaya (mudarat) dan ketakutan, seperti gempa bumi dan angin kencang. Oleh sebab itu, Nabi SAW bersabda:

 إِذَا رَأَيْتُمْ آيةً فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Apabila kamu melihat tanda-tanda (kebesaran Allah), maka sujudlah.

Riwayat Abu Daud (1197) dan al-Tirmizi (3891)

Ini menunjukkan bahawa sujud disyariatkan ketika melihat tanda-tanda kebesaran tersebut.

Sekalipun begitu, sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh seseorang mendirikan solat gerhana disebabkan berlakunya ribut petir, angin taufan, atau kilat dan guruh yang menakutkan. Hal ini kerana semua perkara itu juga berlaku pada zaman Nabi SAW tetapi Baginda tidak mendirikan solat disebabkan oleh peristiwa tersebut. Sebaliknya, Baginda hanya mendirikan solat kerana berlakunya gerhana. Justeru, sebaik-baiknya (afdhal) adalah berpada dengan nas yang thabit meskipun takhwif atau “ketakutan” itu tidak syak lagi ia merupakan ‘illahnya.  Namun, tidak boleh menggunakan qiyas apabila sudah adanya hadith yang jelas. Maka, meninggalkan solat ketika adanya sebab (yakni ketakutan tersebut) dan tiadanya halangan (untuk melakukannya) adalah sunnah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/74-75).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Beliau menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan beliau mensahihkan riwayat yang mauquf daripada Ibn Abbas. Selain itu, ia turut diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah secara ringkas bahawasanya Ibn Abbas mendirikan solat dengan mengimamkan mereka ketika berlakunya gempa bumi sebanyak empat sujud dan melakukan rukuk di dalamnya sebanyak enam kali. Secara zahir lafaz menunjukkan beliau mendirikan solat bersama mereka secara berjemaah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/74).

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445