Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu situasi. Di mana, adik ipar saya telah mengandung selama 6 minggu. Ia adalah hasil daripada hubungan persetubuhan yang haram(berzina). Dia hanya dapat tahu selepas dia pergi cek di klinik/hospital. Dalam waktu yang sama, lelaki tersebut sekarang telah pun bertunang dengan perempuan lain. Dan lelaki dan adik ipar saya tidak mahu berkahwin. Setelah berbincang dengan kedua-dua pihak (pelaku zina dan adik ipar saya), mereka bersetuju untuk menggugurkan bayi tersebut. Apakah hukum menggugurkan bayi ini? Adakah dibolehkan untuk mengelak dari fitnah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Anak-anak merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sebagaimana yang difirmankan-Nya:
يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ
Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”
(Surah al-Syura: 49)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)
Menggugurkan anak atau janin yang berada di dalam kandungan sebelum ia berusia empat bulan adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya di sisi para fuqaha. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran. Kami cenderung kepada pendapat majoriti fuqaha berkenaan keharaman menggugurkan janin yang berusia kurang daripada empat bulan.
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#1820: Perkara Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Mengandung Anak Zina[1]
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami cenderung kepada pandangan majoriti yang mana hukum menggugurkan janin yang berusia kurang dari 4 bulan adalah haram kecuali dalam keadaan darurat yang dibenarkan syarak seperti mengancam nyawa si ibu. Kami juga nukilkan kenyataan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut:
Menggugurkan kandungan pada masa awal bergantungnya nutfah pada dinding rahim seorang wanita atau dari masa pertama kehamilannya adalah haram dan termasuk pembunuhan kerana jika dibiarkan, tentu janin tersebut akan menjadi seorang manusia.
Kecuali, jika dalam keadaan yang sangat darurat seperti hasil pemeriksaan doktor yang menyatakan bahawa janin tidak dapat hidup disebabkan tidak sempurnanya pembentukan otaknya, atau disebabkan penyakit misalnya, atau kehamilan itu sendiri akan membahayakan nyawa si ibu.
Manakala dalam keadaan selain daripada itu, maka tidak boleh menggugurkan kandungan kerana pada saat janin memulakan pembentukannya, dia telah memiliki hak untuk hidup. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 43)
Akhir kalam, marilah kita berdoa semoga dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa”
(Surah al-Furqan:74)
[1] https://maktabahalbakri.com/1820-perkara-yang-perlu-dilakukan-sekiranya-mengandung-anak-zina/
Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445