#3581: Juruteknik Mesin Kilang Meninggalkan Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tidak dapat keluar solat Jumaat kerana menjaga sistem operasi kilang. Untuk pengetahuan tuan, saya bekerja sebagai penjaga jentera dan memastikan tiada gangguan bekalan elektrik pada sistem operasi kilang. Apa hukum perbuatan saya ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, sekiranya peranan juruteknik mesin di kilang ini menjadi teramat penting sehingga melibatkan keselamatan awam, yang mana ia merupakan suatu bentuk keuzuran syar‘i, dan mesin di kilang tersebut juga tidak boleh atau sukar untuk dihentikan, maka hukumnya sama dengan polis atau tentera yang meninggalkan solat Jumaat bagi tujuan keselamatan awam. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah membincangkan isu Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas dan telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syar‘i kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, hlm. 36)

Keharusan meninggalkan solat Jumaat ini diikat dengan syarat khusus, iaitu juruteknik mesin di kilang ini tidak boleh dengan sengaja meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut. Jika dia melakukannya tanpa keuzuran yang dibolehkan syara‘, maka hukumnya adalah berdosa besar. Diriwayatkan daripada Abu al-Ja‘d al-Dhamri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya.”

Riwayat Abu Dawud (1052)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

Riwayat Al-Nasa’ie (1370)

Syeikh Badruddin al-‘Aini menyatakan bab ini menjelaskan tentang kerasnya ancaman bagi perbuatan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran. Beliau menambah, perkataan (تَهَاوُنًا بِهَا) membawa maksud, meninggalkannya kerana malas serta culas dalam melakukannya. (Lihat Syarh Abi Dawud, 4/371)

Meskipun begitu, saudara wajib untuk mencari rakan bukan Islam sekerja yang sudi menggantikan tempat saudara untuk menjaga mesin kilang tersebut terlebih dahulu. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu perkara yang mana tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengan perkara tersebut, maka hukumnya juga adalah wajib.”

Oleh yang demikian, jika kewajiban menunaikan solat Jumaat itu dapat ditunaikan dengan mencari pengganti terlebih dahulu, maka hukum mencari pengganti itu juga adalah wajib.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ ketika ditanya berkenaan hal ini, mereka menjawab: “Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu. Akan tetapi, jika wujud keuzuran syara‘ ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat, seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, yang mana menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya. Keadaan mereka ini tidak kurang uzurnya seperti mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama’ sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur tersebut. Tetapi ini tidaklah menghilangkan kefardhuan solat Zohor, maka wajib baginya untuk menunaikan solat pada waktunya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 18/188)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa solat jumaat adalah wajib kepada semua orang lelaki yang cukup syarat seperti yang ditetapkan oleh syara‘, termasuk mereka yang bekerja sebagai juruteknik mesin di kilang. Alternatif untuk tidak meninggalkan solat jumaat wajib dicari bagi mengatasi masalah ini, seperti waktu Jumaat digantikan giliran dengan juruteknik mesin yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti orang perempuan atau orang yang bukan Islam.

Keharusan meninggalkan solat Jumaat bagi juruteknik mesin di kilang dan mereka yang seumpamanya adalah tertakluk kepada 3 syarat yang berikut:

  • Adanya kepentingan yang menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat.
  • Berusaha mencari alternatif lain terlebih dahulu.
  • Tidak meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan, agar saudara berunding dengan majikan terlebih dahulu agar diberikan keringanan pada waktu solat Jumaat. Moga usaha yang saudara lakukan itu mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Semoga dengan penjelasan ringkas yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445