#3582: Kekeliruan Berlakunya Judi Dalam Sebuah Pertandingan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah baca tentang hukum haram masuk pertandingan memancing yang mewajibkan yuran penyertaan dari semua peserta, dan memberikan hadiah kepada pemenang serta mungkin ada cabutan bertuah yang menggunakan Dana dari kutipan yuran penyertaan dari semua peserta. Soalan saya, bagaimana pula hukum menyertai pertandingan marathon / larian / fun run yang menggunakan konsep sama? Iaitu mewajibkan yuran penyertaan semua peserta, memberikan hadiah kepada pemenang dan memberikan hadiah cabutan bertuah menggunakan dana dari kutipan yuran semua peserta tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Definisi Judi

Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.

Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)

Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:

  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 2/200)
  • Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
  • Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
  • Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)

Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:

  • Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
  • Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
  • Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1793: Yuran Penyertaan Pertandingan Dikira Judi?[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan suatu permainan / aktiviti itu menjadi judi adalah kerana adanya pertaruhan diantara peserta. Begitu juga, hasil kutipan dari yuran peserta dan membeli hadiah dari duit yuran berkenaan menjadikan ia judi. Hal ini kerana ia menyebabkan pihak yang menang memperolehi hadiah dari hasil yuran mereka yang kalah. Oleh itu, jauhilah perbuatan tersebut bagi menjadikan suatu permainan itu bebas dari unsur-unsur perjudian.

Semoga Allah SWT kurniakan kita sentiasa istiqamah dalam agama-Nya dan menjauhkan kita dari sebarang syubhah serta apa-apa yang diharamkan-Nya. Amin.

Saya tutup dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

[1] https://maktabahalbakri.com/1793-pertandingan-yuran-penyertaan-dikira-judi/

 

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445