Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada seorang kawan yang telah melancong ke Siam dan singgah di sebuah tokong buddha lalu berperilaku seperti menyembah berhala. Alasannya hanya bergurau dan setakat untuk mengambil gambar. Soalan saya apakah dia boleh jatuh syirik kepada Allah kerana berperlakuan sedemikian?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ﴿٦٥﴾ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَائِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ
Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”. Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
Surah al-Taubah (65-66)
Bahkan, perbuatan mempersendakan agama merupakan salah satu dosa besar sebagaimana firman Allah SWT:
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
Maksudnya: Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).
Surah al-An’am (70)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat tersebut menegaskan umat islam yang lain agar berpaling dan tidak duduk bersama-sama mereka yang terlibat dalam penipuan dan persendaan terhadap agama, al-Quran dan hadis. (Lihat Tafsir Ibn Kathir,3/249)
Menurut imam al-Nawawi, perbuatan mempersendakan agama bagi seorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/293)
Seterusnya menurut Ibn Hajar al-Haitami, perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan” atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama. (Lihat al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/48)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan meskipun ia merupakan perbuatan olok-olok atau gurauan, namun ia tetap suatu perbuatan yang menyalahi syarak kerana berbuat perkara syirik. Oleh itu, tegas kami di sini, banyakkanlah istighfar dan janganlah mengulangi perbuatan sedemikian kerana perbuatan syirik salah satu dosa. Kami yakin bahawa kawan anda tidaklah berniat sehingga mempersendakan agama dan hanya niat bergurau memandangkan bergambar di tokong buddha. Namun, ingatlah gurauan itu mempunyai batasan dan perkara berkaitan agama ini, tidak boleh dibuat main/ gurauan.
Justeru kami nasihatkan agar berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman kita agar tidak terjatuh ke lembah kesyirikan dan Ingatlah bahawa perbuatan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh menyerongkan akidah dan pegangan kita. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445