#3586: Mengucap Rujuk Berulang Kali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa kesannya apabila si isteri meminta si suami berulang kali ucap kata rujuk kerana si isteri mempunyai penyakit was-was. Adakah memberi kesan kepada baki talak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Rujuk

Rujuk berasal dari bahasa Arab iaitu ‘رَجَعَ يَرْجِعُ رَجْعًا وَرُجُوعًا’ yang bermaksud kembali atau mengembalikan. Rujuk menurut istilah adalah mengembalikan status hukum perkahwinan secara penuh setelah berlaku talaq raj‘i yang dilakukan oleh bekas suami terhadap bekas isterinya dalam tempoh iddahnya dengan ucapan tertentu. (Lihat Fiqh Munakahat, hlm. 174)

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan: ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’. (Lihat Al-Mu’tamad, 4/185 – 190).

Perkahwinan ialah ikatan syarie antara pasangan suami dan isteri. Dengan hanya akad dan kalimah yang ringkas ini, telah mengubah berbagai macam hukum antara pasangan tersebut. Allah SWT menyebutnya sebagai (ميثاقاً غليظاً) yang bermaksud ikatan yang kuat, ini sebagaimana firman-Nya:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”

(Surah an-Nisa’: 21)

Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, menjadi adat dalam berumahtangga, pasti boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan, yang mana ia mungkin membawa kepada kesukaran untuk dipertahankan ikatan perkahwinan tersebut. Maka Islam mensyariatkan talak (penceraian) sebagai jalan keluar untuk sekalian umatnya.

Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah. Firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.”

(Surah Al-Baqarah: 228)

Dalam tempoh tersebut, suami mempunyai hak untuk merujuk kembali isterinya yang telah diceraikan. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam sambungan ayat di atas:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ

Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”

(Surah Al-Baqarah: 228)

Imam al-Syafi‘e ketika mengulas ayat di atas, beliau berkata: “Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan rujuk.” (Lihat Al-Umm, 5/260)

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan ucapan rujuk berulang kali tidaklah menjadikan bilangan talak bertambah (tidak menjejaskan baki talak). Oleh itu, usahlah saudari was-was lagi dan bersama-samalah dengan pasangan saudari dalam menjaga hubungan rumahtangga agar lebih utuh dan harmoni. Jadikanlah apa yang berlaku sebelum ini sebagai salah satu pengajaran dan iktibar dalam menjalani bahtera kehidupan. Kami yakin dengan semangat dari kedua-dua belah pihak, rumah tangga akan bertambah kukuh. Ingatlah nasihat Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Perkataan imsakun bil ma’ruf memberi makna rujuk yang dilakukan hendaklah dengan nawaitu, tekad, azam dan cita-cita untuk menjadikan rumah tangga dalam keadaan makruf lagi baik.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami syorkan supaya banyak membaca surah al-Nas:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‎﴿١﴾‏ مَلِكِ النَّاسِ ‎﴿٢﴾‏ إِلَٰهِ النَّاسِ ‎﴿٣﴾‏ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ‎﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Surah al-Nas (1-6)

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445