#359 Bukan Muslim Bersih Masjid

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah orang bukan Islam membantu kita membersihkan masjid, terutamanya dalam situasi banjir besar yang melanda negara kita baru-baru ini? Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.

(Surah al-Taubah: 28)

Jumhur ulama menyatakan bahawa najis dalam ayat di atas bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35)

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #230 Non-Muslim Tidak Dianggap Najis.[1]

Orang bukan Islam memasuki masjid

Persoalan yang diajukan berkait rapat dengan hukum orang bukan Islam memasuki masjid. Mengenai hal ini terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

بَعَثَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ، فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ: ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ، فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ

Maksudnya:Rasulullah SAW mengutus pasukan berkuda ke Najd. Lalu pasukan itu kembali dengan membawa seorang (tawanan) lelaki daripada Bani Hanifah yang dipanggil Thumamah bin Uthal. Setelah itu, mereka mengikat lelaki itu di salah satu tiang daripada tiang-tiang masjid.”

Riwayat al-Bukhari (469); Muslim (1764)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith ini menunjukkan kepada keharusan untuk mengikat tawanan perang dan menahan mereka, serta keharusan untuk memasukkan orang kafir ke dalam masjid. Namun, menurut mazhab al-Syafi‘i keharusan orang kafir untuk memasuki masjid mestilah dengan keizinan orang Islam, tidak kira orang kafir itu termasuk dalam kalangan ahli kitab ataupun tidak. Manakala Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, Qatadah dan Malik berpendapat bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid. Adapun Abu Hanifah pula membolehkan perkara itu kepada mereka yang dalam kalangan ahli kitab dan bukan selainnya.

Kemudian, ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai kenajisan orang musyrikin dan larangan supaya tidak menghampiri Masjidil Haram adalah dikhususkan hanya untuk Masjidil Haram. Justeru, tidak dibolehkan untuk memasukkan mereka — yakni orang bukan Islam — ke dalam Masjidil Haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/87)

Orang bukan Islam membersihkan masjid

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami berpendapat bahawa orang bukan Islam diharuskan untuk memasuki masjid dan membersihkannya, tetapi mestilah dengan syarat mendapat keizinan daripada orang Islam — yakni pihak pentadbir masjid berkenaan.

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh[2] pernah ditanya mengenai hukum orang bukan Islam memasuki masjid untuk membaiki atau membaik pulih sebahagian perkara dalam masjid. Beliau menjawab dengan menyatakan, tidak mengapa untuk orang kafir masuk ke dalam masjid bagi membaik pulih apa-apa yang ada di dalamnya. Akan tetapi mestilah berwaspada dengannya. Dalam erti kata lain, kita hendaklah melantik seorang musyrif dalam kalangan orang Islam — bagi memantaunya. Kemudian, beliau menyimpulkan bahawa tidak mengapa untuk mereka memasuki masjid bagi suatu kemaslahatan. Adapun, jika tujuan masuk ke dalam masjid itu hanya untuk duduk di dalamnya semata-mata, maka ia tidak dibolehkan. Namun, jika dia berada dalam masjid untuk minum air yang ada di dalamnya, maka tidak mengapa.[3]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang bukan Islam diharuskan untuk memasuki masjid bagi membersihkannya, tetapi dengan syarat perlulah mendapat keizinan daripada pihak pentadbir masjid terlebih dahulu. Hal ini kerana padanya terdapat kemaslahatan yang jelas buat masjid dan kaum Muslimin itu sendiri, lebih-lebih lagi ketika banjir besar yang melanda negara kita di beberapa tempat sehingga mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, termasuklah masjid.

Oleh itu, orang Islam seharusnya menyambut baik perkara ini — yakni sumbangan tenaga daripada orang bukan Islam — dalam sama-sama membantu untuk membaik pulih dan membersihkan masjid. Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan dan usaha baik pulih orang bukan Islam terhadap masjid yang ditimpa bencana banjir ini hendaklah dipantau oleh pihak pentadbir masjid atau mereka yang dilantik dalam kalangan orang Islam, agar kesucian masjid mahupun lembaran ayat-ayat suci al-Quran daripada mashaf yang rosak atau sebagainya dapat dipelihara dan dilupuskan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/230-non-muslim-tidak-dianggap-najis/.

[2] Beliau pernah menganggotai Hai’ah Kibar al-‘Ulama’ dan pensyarah Universiti al-Imam Muhammad bin Su‘ud al-Islamiyyah.

[3] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/76039/ حكم-دخول-الكافر-المسجد