#3590: Wanita Memakai Wangian Kerana Mudah Berpeluh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada masalah bau badan sebab cepat berpeluh. I’ve tried so many products especially those that work for other people but none of them worked for me. The only way out is using perfume to cover my body odour (Saya telah cuba pelbagai produk yang dikatakan berkesan oleh orang lain tetapi tidak berkesan untuk saya. Satu-satunya caranya adalah memakai minyak wangi untuk menutup bau badan saya). Tapi katanya orang perempuan nanti berdosa pulak ajnabi terhidu bau perfume. Niat bukan nak letak banyak tapi kalau sikit sangat tidak hilang bau busuk itu. Bagaimana ya Dato? Saya amat tertekan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian, kemudian berjalan melalui sekumpulan kaum lelaki dengan tujuan agar mereka mencium bau harum yang dipakainya, maka perempuan tersebut adalah seorang pelacur.”

Riwayat Abu Daud (4173), al-Tirmizi (2786), al-Nasa’ie (5126), Ahmad (19711) dan Ibn Hibban (4424). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya kuat dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4424)

Imam al-Munawi menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. ( Lihat Faidh al-Qadir, 3/147)

Perlu difahami di sini bahawa jenis wangian yang disebutkan di sini adalah dari jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertempu kepadanya. Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki-lelaki yang mana hati mereka telahpun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk.

Jika begini keadaannya, maka perbuatan tersebut adalah haram dan al-Imam Ibn Hajar al-Haithami menyebutkan bahawa ia termasuk di dalam dosa besar meskipun si suami mengizinkan berpenampilan sedemikian. (Lihat al-Zawajir, 2/71)

Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talcum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.

Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ

Maksudnya:Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.”

 Riwayat al-Tirmizi (2788). Dinilai sahih oleh al-Albani.

Kesimpulan

Justeru itu menjawab persoalan di atas, kami nyatakan memakai wangian bagi wanita dalam kadar bagi menghilangkan bau badan adalah dibolehkan, namun dalam kadar yang tidak berlebih-lebihan. Oleh itu, dalam situasi saudari dibolehkan untuk mengenakan wangian dalam kadar yang diperlukan disebabkan saudari mengalami situasi sebegitu (mudah berpeluh). Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya.

Nasihat kami juga, elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajanib yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina.

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445