#3591: Memakai Pakaian Lusuh ketika Solat Istisqa’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah untuk solat istisqa’ seboleh-bolehnya memakai pakaian lusuh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan istisqa’. Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585).

Seterusnya, berkenaan hukumnya pula Ibn ‘Abd al-Barr ada menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini. (Lihat al-Tamhid, 17/172).

Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, solat istisqa’ ketika adanya sebab untuk melakukannya adalah sunat muakkad dengan ijma‘ ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/77).

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

خَرَجَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مُتَوَاضِعًا مُتَبَذِّلًا مُتَخَشِّعًا مُتَرَسِّلًا مُتَضَرِّعًا فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَمَا يُصَلِّي فِي اَلْعِيدِ  لم يَخطبْ خطبتَكم هذه

Maksudnya: “Nabi SAW keluar dalam keadaan tawaduk (merendah diri), memakai pakaian yang kasar, khusyuk, berjalan perlahan-lahan dan tunduk patuh (menyerah diri kepada-Nya). Kemudian Baginda mendirikan solat dua rakaat sebagaimana Baginda solat hari raya tetapi Baginda tidak menyampaikan khutbah sebagaimana khutbah kamu ini.

Riwayat Ahmad (3321); Abu Daud (1165); al-Tirmizi (558); al-Nasa’i (2521); Ibn Majah (1266)[1]

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan lafaz “مُتَوَاضِعًا” bermaksud pada zahirnya bersikap merendah diri dan tunduk patuh di hadapan Allah SWT. Oleh itu, sifat tawaduk ini lawan kepada sikap takbur atau berbangga diri. Manakala lafaz “مُتَبَذِّلًا” pula merujuk kepada perbuatan meninggalkan perhiasan kerana bersikap tawaduk. Jadi, seseorang itu memakai pakaian kerja (yang biasanya lusuh dan tidak megah). Seterusnya, lafaz “مُتَخَشِّعًا” bermaksud menzahirkan kekhusyukkan dalam diri dan juga luarannya melalui suara yang rendah atau perlahan, menundukkan pandangan dan tunduk patuh (kepada Allah SWt) dalam hati dan tubuh badan. Kemudian, lafaz “مُتَرَسِّلًا” merujuk kepada perbuatan berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Seterusnya, lafaz “مُتَضَرِّعًا” bermaksud tunduk patuh (merendah diri) dan menghinakan diri. Dalam erti kata lain, berlebih-lebihan dalam meminta dan mengharapkan (agar permohonan dikabulkan), dengan menzahirkan sikap rendah diri dan kehinaan diikuti dengan zikir dan doa. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/78).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ketika memohon hujan atau doa istisqa’ kita digalakkan atau seboleh-bolehnya memakai pakaian yang lusuh yang tidak menunjukkan kemegahan. Apatah lagi istisqa’ itu, tujuannya adalah berdoa, tunduk merendah diri di hadapan Allah SWT dalam keadaan merasakan dirinya serba kekurangan dan lemah, menzahirkan kefakiran dan ketergantungan dirinya kepada Allah SWT, di samping pengharapan kepada-Nya agar hajat dan permohonannya itu dikabulkan. Oleh sebab itu, seseorang itu keluar untuk pergi menghadapn-Nya (yakni solat istisqa’) dalam keadaan tawaduk pada badan, khusyuk di dalam hati, berasa hina dan merendah diri dalam percakapan (doa yang diungkapkan), begitu juga dari segi pakaian dan penampilannya. Ini kerana keadaan seperti ini lebih dekat dengan pengabulan doa dan penerimaan permohonan. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, di mana Baginda keluar menuju kepada-Nya (dalam keadaan sedemikian) agar ia menjadi contoh tauladan kepada umatnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/78).

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445