#3592: Orang Dewasa Menjadi Anak Susuan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah terbaca, ada ulama’ yang menyatakan jika orang dewasa menyusu dengan ibu susuan, dia boleh dianggap sebagai anak susuan. Boleh berikan pencerahan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, dalam permasalahan orang dewasa sebagai anak susuan ini terdapat perselisihan di kalangan ulama’. Ia bertitik tolak daripada sebuah hadith riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

جَاءَتْ سَهْلَةُ بِنْتُ سُهَيْلٍ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنَّ سَالِمًا مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ مَعَنَا فِي بَيْتِنَا، وَقَدْ بَلَغَ مَا يَبْلُغُ الرِّجَالُ.‏ قَالَ: أَرْضِعِيهِ،‏ تَحْرُمِي عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sahlan binti Suhail datang dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Salim, budak kecil yang telah dimerdekakan Abu Hudzaifah, tinggal bersama kami di rumah kami, padahal dia sudah dewasa.’ Baginda bersabda: ‘Susukanlah dia agar engkau menjadi haram dengannya’.”

Riwayat Muslim (1453)

Imam Ibn ‘Abd al-Bar menyebutkan, diperah terlebih dahulu susu tersebut dan diberi minum kepadanya. Adapun perbuatan seorang wanita yang menyuakan payudaranya seperti yang dilakukan kepada bayi, maka ini tidaklah dibenarkan dan tidak halal menurut persepakatan fuqaha’ zaman ini. Perkara ini adalah diharamkan meskipun dia tidak menghisap secara terus dari payudara perempuan tersebut. (Lihat al-Tamhid, 8/257)

Imam Ibn Rusyd al-Hafid menyebutkan, terdapat 2 hadith yang kontradik dalam bab susuan orang dewasa. Pertamanya adalah hadith Salim seperti yang disebutkan di atas, dan yang kedua adalah hadith riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

 دَخَلَ عَلَىَّ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَعِنْدِي رَجُلٌ قَاعِدٌ، فَاشْتَدَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ وَرَأَيْتُ الْغَضَبَ فِي وَجْهِهِ. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ‏.‏ فَقَالَ:‏ انْظُرْنَ إِخْوَتَكُنَّ مِنَ الرَّضَاعَةِ، فَإِنَّمَا الرَّضَاعَةُ مِنَ الْمَجَاعَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemuiku, dan ketika itu di sisiku ada seorang lelaki. Wajah Baginda berubah dan aku nampak raut wajah kemarahan pada wajahnya. Lalu Aisyah berkata: ‘Dia adalah saudara susuanku.’ Baginda pun bersabda:  ‘Perhatikanlah siapa saudara-saudara lelaki kamu, kerana sesungguhnya susuan (yang mengharamkan pernikahan) itu adalah kerana lapar (sehingga susu tersebut dapat mengenyangkan)’.”

Riwayat Muslim (1455)

Mereka yang mentarjihkan hadith kedua ini berpandangan bahawa susuan orang dewasa itu tidak menjadikannya mahram. Hadith Salim itu pula hanya khusus baginya, bahkan semua isteri-isteri Rasulullah SAW berpendapat bahawa ia hanya satu rukhsah untuk Salim. Manakala mereka yang berpegang dengan hadith pertama berkata bahawa susuan orang dewasa itu boleh menjadikannya mahram, dan mereka mengkritik hadith kedua riwayat ‘Aisyah R.Anha ini. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 3/61)

Pandangan yang mengatakan bahawa susuan orang dewasa itu tidak menjadikannya mahram adalah pandangan majoriti fuqaha’. Antara yang menguatkan pandangan ini adalah  hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُحَرِّمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ إِلَّا مَا فَتَقَ الأَمْعَاءَ فِي الثَّدْيِ وَكَانَ قَبْلَ الْفِطَامِ

Maksudnya: “Tidak menjadi mahram dengan susuan melainkan sebab susu yang masuk ke dalam perutnya sebelum anak itu putus susu (berhenti menyusu susu ibu).”

Riwayat al-Tirmizi (1152)

Sedangkan putus susu pula telah thabit berdasarkan nas al-Quran, tempohnya adalah  2 tahun atau kurang, berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Dan juga firman Allah SWT:

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”

(Surah Luqman: 14)

Jumhur fuqaha’ juga mengatakan bahawa hadith Salim R.A itu hanya khusus untuk beliau sahaja. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti ketika menjelaskan sebuah kaedah ada menyebutkan:

إِنَّ قَضَايَا الْأَعْيَانِ لَا تَصْلُحُ دَلِيلًا لِلْعُمُومِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara-perkara yang khusus (tertentu) tidak harus menjadikan dalil untuk umum.”

Beliau berkata, pada asalnya susuan itu hanya untuk bayi sahaja, akan tetapi apabila berlakunya satu kes tertentu yang mana berlakunya susuan orang dewasa, maka diberikan pengecualian hanya untuk kes itu sahaja. Ini sebagaimana kes Salim R.A, apabila dia telah tinggal lama dengan pakciknya Abu Huzaifah R.A sejak dari kecil, sehinggalah dianggap sebagai anak kandung kepada pakciknya sendiri apabila telah dewasa. Maka Rasulullah SAW memberikannya pengecualian sebagai rukhsah yang terkeluar dari hukum asal. (Lihat Syarh Zad al-Mustqni‘, 251/19; Taudhih al-Ahkam Syarh Bulugh al-Maram, 6/10)

Kesimpulan

Berdasarkan penghujahan di atas, kami cenderung memilih pandangan majoriti ulama’ yang mengatakan bahawa susuan orang dewasa itu tidak menjadikannya mahram. Hal ini kerana banyak dalil dan hujjah yang menguatkan bahawa konsep susuan yang boleh menjadikan seseorang itu mahram hanya terpakai untuk bayi yang masih belum putus susu sahaja.

Untuk maklumat lanjut berkenaan susuan ini, saudara boleh merujuk artikel yang telah kami keluarkan bertajuk “Konsep Anak Susuan Menurut Islam”. Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan seharian mengikut syari‘at Allah SWT yang telah ditetapkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445