#3593: Mengambil Kembali Hadiah Yang Telah Diberikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh ke tidak mengambil balik hadiah yang telah diberikan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa: 4)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan amalan memberi hadiah merupakan amalan yang dianjurkan dalam islam. Ini kerana dengan memberi hadiah akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bahkan menambahkan lagi kasih sayang antara pemberi dan penerima hadiah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Dalam isu ini kami katakan perbuatan mengambil balik hadiah yang telah diberikan adalah tidak dibolehkan melainkan pemberian ayah kepada anaknya. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn Umar R.Anhum bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يَحِلُّ للرَّجُلِ أن يُعطِيَ العَطيَّةَ فيرجِعَ فيها، إلّا الوالدَ فيما يُعْطي ولَدَه

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang lelaki memberikan suatu pemberian kemudian diminta kembali, kecuali bapa terhadap suatu yang diberikan kepada anaknya.

Riwayat Abu Dawud(3539), Tarmizi(2132) dan al-Nasai(3703)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah seperti berikut:

  • Diharamkan mengambil kembali pemberian atau sedekah. Yang demikian kerana ia merupakan sikap yang terkeji di mana menunjukkan hatinya melekat pada apa yang diberikannya dan pemberian itu bukan dari kemurahan hati
  • Hadith ini menunjukkan bahawa ia merupakan sikap yang menjijikkan serta tercela yang merupakan puncak kekejian, kehinaan, dan kerendahan akhlak.
  • Jumhur ulama telah mengecualikan ibu bapa daripada mengambil kembali hadiah yang telah diberikan kepada anaknya. Oleh itu, beliau berhak untuk mengambil kembali hadiah tersebut dan ia tidak melibatkan tindakan yang tercela. Harta milik ayah dan anak adalah satu, seolah-olah dia telah memindahkan hartanya dari satu tempat ke tempat lain. (Lihat Taudih al-Ahkam, hlm.5/118)

Selain itu  diriwayatkan  daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الْعَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالْعَائِدِ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: “Yang mengambil semula apa dihibahkannya adalah seperti menjilat semula muntahnya.”

Riwayat al-Bukhari (2621) Ibn Majah (2385)

Syeikh  Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: “Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah/hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184)

Sebagai kesimpulannya kami katakan hadiah atau pemberian yang telah diberikan tidak boleh mengambilnya kembali kerana ia melambangkan akhlak yang terkeji serta tercela sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith di atas kecuali dalam situasi di mana seorang bapa  mengambil kembali pemberian yang telah diberikan kepada anaknya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445