Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tidak dapat mencari kerja tetap, bolehkah saya bekerja di tempat yang menjual arak, seperti kedai runcit, pasaraya, atau kedai 24/7 jam.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Wajib sebagai umat Islam untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT dengan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)
Diriwayatkan daripada Abdurrahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ
Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.
Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadith ini sahih li ghairih.
Justeru bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1295)
Syeikh Atiyah al-Saqr ketika ditanya tentang orang yang bekerja di sektor yang membantu penjualan arak beliau menjawab: “Dan orang yang memberi minum arak kepada orang lain mendapat dosa yang sama sepertimana yang telah diberitahu oleh nas hadis. Sama ada dia redha dengan perbuatan tersebut dan orang yang redha dengan maksiat maka akan dihukum dengan hukuman yang sama orang yang melakukannya. Ataupun dia hanya membantu dalam perkara maksiat. Orang yang membantu dalam perkara maksiat maka dia turut serta mendapat dosa disebabkan maksiat tersebut:” (Lihat Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 3/186)
Maka pekerjaan tersebut adalah haram kerana ia membantu dalam pembuatan arak. Di mana ia adalah sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah. Kaedah fiqh menyebut :
كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام
Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”
Berdasarkan kaedah ini maka membantu dalam perkara yang diharamkan oleh Allah adalah dikira sebagai berdosa. Ianya dikuatkan lagi dengan firman Allah:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah al-Maidah: 2)
Namun begitu, jika pendapatan seseorang itu bercampur baur antara haram dan yang halal maka menerima harta yang dia beri adalah tidak haram kerana terdapat ketidakyakinan pemberian itu bersumberkan yang haram. Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah umum fiqh:
اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan
Beliau memasukkan sebagai faedah, huraian Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”. (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, 1/74-75)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulam, kami simpulkan berkenaan bekerja di kedai serbaneka atau kedai-kedai lain yang seumpama dengannya yang terlibat dalam penjualan arak seperti berikut:
- Jika pendapatan yang diperolehi ialah daripada hasil jualan barang-barang yang halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram mengambilnya tetapi makruh.
- Jika pekerja itu terlibat dengan jual beli arak itu contohnya di kaunter, maka hukum perbuatan itu adalah haram sekalipun dengan martabat yang lebih rendah daripada meminumnya. Al-Mulla Ali al-Qari dalam menghuraikan hadith riba berkata: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa tetapi berbeza daripada segi tingkatannya.” (Lihat al-Mirqah al-Mafatih Syarh al-Misykah al-Masabih, 5/916)
- Sebaiknya berusaha dengan sebaik mungkin untuk memisahkan kaunter barangan yang halal dan barangan yang haram, atau mengikut pekerja, dan ini adalah tanggungjawab majikan yang perihatin terhadap kebajikan agama para pekerja Muslim.
- Kami mencadangkan agar carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Benarlah sabda Nabi SAW:
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.
Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)
- Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini dan menjauhkan kita daripada terlibat dengan apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan arak.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445