#3596: Menutup Bahu Ketika Dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menutup bahu bahawa ketika dalam solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ شَىْءٌ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.”

Riwayat Al-Bukhari (359)

Berdasarkan zahir hadith di atas, terdapatnya larangan ke atas perbuatan solat dalam keadaan bahagian bahu terbuka. Dalam hal ini, para ulama’ bersepakat berkenaan pensyariatan menutup bahu ketika solat, tetapi mereka berselisih pendapat berkenaan tentang kewajipan menutupnya ketika solat:

  1. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali adalah wajib menutup salah satu daripada bahunya dalam solat fardhu jika dia mampu melakukan sedemikian. Disebutkan dalam kitab al-Insaf: Yang sahih dalam mazhab bahawa menutup salah satu daripada bahu adalah syarat sah bagi solat fardhu, dan ini merupakan pendapat jumhur mazhab Hanbali. Sebahagian daripada mereka pula berkata: Hal ini kerana ia merupaka kesempurnaan dalam perhiasan, adab yang baik dan sifat malu antaranya dengan Allah SWT.
  2. Kebanyakan Ulama’ dalam mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i berpendapat bahawa tidak diwajibkan menutup bahu ketika solat, tetapi yang wajib ditutup dalam solat adalah aurat, sedangkan bahu bukanlah aurat sebagaimana sebahagian badan yang lain. Selain itu, maksud larangan dalam hadith ini merupakan larangan tanzih (makruh) kerana Rasulullah SAW pernah solat dengan kain yang sama yang mana salah satu hujung kain itu pada sebahagian isterinya yang sedang tidur, wallahu’alam. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/11)

Ibn Qudamah al-Maqdisi mengatakan: Wajib ke atas seseorang yang solat untuk meletakkan sesuatu daripada pakaian di atas bahunya, sekiranya dia mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat Ibn Al-Munzir dan dihikayatkan daripada Abu Ja’far, beliau berpendapat bahawa tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak menutup bahunya. Manakala majoriti para fuqaha pula berpendapat: Yang demikian itu tidak wajib, dan ia bukanlah syarat sah solat. Inilah pendapat Imam Malik, dan Imam al-Syafi’i, kerana kedua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain. (Lihat al-Mughni, 1/618).

Imam Al-Nawawi apabila mensyarahkan hadith ini berkata: Kata para ulama: Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu. Kata beliau lagi: Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman. Jika seseorang itu solat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka solatnya dikira sah berserta hukum makruh. Sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak. Manakala Imam Ahmad dan sebahagian para salaf berpendapat bahawa solatnya tidak sah sekiranya dia mampu meletakkan sesuatu (daripada pakaian) di atas bahunya. Manakala dalam riwayat lain yang juga daripada Imam Ahmad bin Hanbal beliau berpendapat bahawa solatnya adalah sah, akan tetapi berdosa jika dia meninggalkan meletak sesuatu dari pakaian di atas bahunya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/274)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat dengan mendedahkan kedua-dua bahu orang lelaki, hukumnya adalah makruh dan solat tersebut sah. Hayatilah firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat kami ketika berada di setiap masjid.

(Surah Al-A’raaf: 31)

Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan.(Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/256)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445