#3600: Dua Kaki Wanita Dalam Solat, Adakah Aurat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya terdapat dua pendapat di dalam permasalahan ini, iaitu:

  • Pertama: Kaki wanita itu bukanlah aurat. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Hanafi dan ia juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafi’e dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
  • Kedua: Kaki wanita itu adalah aurat. Ini adalah pendapat jumhur para ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan ianya juga adalah pendapat mazhab Hanbali.

Pandangan jumhur yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat berdasarkan sebuah hadith riwayat Umm Salamah R.Anha yang mana pernah bertanyakan kepada Rasulullah SAW:

أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ عَلَيْهَا إِزَارٌ قَالَ ‏ ‏ إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

Maksudnya: Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan). Jawab Nabi SAW: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki”.

Riwayat Abu Dawud (640)

Al-Khattabi menyebutkan: “Khabar ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari tubuh badannya”. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/180)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan: “Imam Malik, al-Auza’ie dan al-Syafi’i berkata bahawa keseluruhan wanita itu adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan, dan apa selainnya wajib ditutup di dalam solat” (Lihat al-Mughni, 1/431)

Adapun pendapat yang menyatakan bahawa kaki wanita itu bukan aurat kerana kedua kaki secara kebiasaannya akan terdedah dalam melakukan sesuatu tugasan dan sebagainya. Adapun hadith Umm Salamah R.Anha yang menjadi dalil mengatakan bahawa kaki wanita itu aurat dijawab dengan mengatakan bahawa hadith tersebut adalah mauquf semata-mata. Ini dapat difahami melalui komentar al-Imam Abu Dawud Rahimahullah sendiri di akhir hadith tersebut yang mengatakan bahawa ramai yang meriwayatkannya tidak menyebut nama Nabi SAW sebaliknya meriwayatkan terus daripada Umm Salamah R.Anha. Disebabkan oleh itu, Syeikh Nasiruddin Al-Albani menghukum hadith tersebut sebagai dhoif (lemah) kerana ianya adalah riwayat yang mauquf (terhenti pada Sahabat).

Pendapat yang menyatakan kaki wanita ini bukan aurat  juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab Hanafi. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan Syafi’eyyah dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Hal ini seperti mana yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abidin al-Hanafi yang mana menyebutkan: “Sesungguhnya kedua kaki itu bukanlah aurat pada pendapat yang muktamad.” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/369)

Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan juga di dalam kitabnya, al-Majmu’: “Abu Hanifah, al-Thauri dan al-Muzani berpendapat bahawa kaki wanita itu juga bukanlah aurat” (Lihat al-Majmu’, 3/169)

Ibn Qudamah juga menyebutkan: “Abu Hanifah berkata bahawa kedua kaki bukanlah aurat kerana keduanya adalah sesuatu yang pada kebiasaannya terzahir (terlihat) seperti muka…” (Lihat al-Mughni, 1/430-431]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat, berhati-hati dan keluar dari khilaf. Hal ini sebagaimana kaedah fiqhiyyah yang menyatakan:

الخُرُوج مِنَ الْخِلَاف مُسْتَحَب

Maksudnya: “Keluar dari khilaf itu amat dituntut.”

Oleh itu, tidak sah sekiranya seorang wanita itu solat jika terdedah bahagian kakinya melainkan ditutup dengan kain yang labuh ataupun dengan memakai sarung kaki.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445