#3601: Solat Di Malam Gelap dan Tersalah Kiblat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bermusafir dan berhenti di pertengahan jalan yang gelab, tetiba didapati ketika waktu cerah saya tersalah kiblat, adakah solat sah saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)

Firman Allah SWT:

فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya:Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapakanlah wajahmu ke arah itu.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Ibn Kathir berkata: “Walaubagaimanapun, persoalan mengadap kiblat kearah Baitul-Maqdis iaitu kiblat ahli kitab dari kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca yang membuat kaum Yahudi menjadikan alasan untuk menolak kemasukkan mereka ke dalam agama Islam. Mereka telah menyebarkan da’yah mereka di Madinah bahawa amalan Muhammad dan para pengikutnya mengadap kearah kiblat mereka di dalam solat itu menunjukkan bahawa agama mereka adalah agama yang benar dan kiblat mereka yang sebenar dan merekalah yang asal. Oleh itu lebih baik kepada Muhammad dan para pengikutnya kembali kepada agama mereka sahaja bukannya menyeru mereka masuk ke dalam agama Islam. Dalam waktu yang sama persoalan ini menjadi satu persoalan yang sulit kepada kaum Muslimin Arab yang telah terbiasa di zaman jahiliyyah memuliakan Baitullah dan menjadikannya kiblat mereka, dan persoalan ini bertambah sulit lagi setelah mereka mendengar kaum yahudi berbangga-bangga dengan kiblat Baitul-Maqdis dan menggunakannya sebagai hujjah ke atas mereka. Rasulullah SAW seringkali mengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah dan menunggu arahannya yang menyukakannya. Kemudian turunlah ayat Al-Quran yang memperkenan hasrat yang berkecamuk di dalam dada Rasulullah SAW.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/139)

Allah SWT juga berfirman:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya.

(Surah al-Baqarah: 150)

Ibn Kathir juga menyebutkan bahawa ayat tersebut itulah arahan Allah kepada Rasulullah SAW. supaya beginda menghadap mukanya ke arah Masjid al-Haram kemana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghadap muka mereka ke arahnya di mana sahaja mereka berada. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/152)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah”

Riwayat al-Bukhari (6667) dan Muslim (397)

Solat Di Malam Yang Gelap dan Tersalah Kiblat

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada ‘Amir bin Rabi’ah R.A, katanya:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ، فَأَشْكَلَتْ عَلَيْنَا الْقِبْلَةُ، فَصَلَّيْنَا، فَلَمَّا طَلَعَتِ الشَّمْسُ إِذَا نَحْنُ صَلَّيْنَا إِلَى غَيْرِ الْقِبْلَةِ، فَنَزَلَتْ: «فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maksudnya: “Kami bersama Nabi SAW dalam satu malam yang gelap, dan arah Qiblat menjadi kabur bagi kami. Jadi, kami melaksanakan solat. Apabila matahari terbit, kami menyedari bahawa kami telah solat menghadap arah yang bukan Qiblat. Kemudian, ayat ini diturunkan: ‘Maka (sahaja) ke mana jua kamu menghadap, sesungguhnya wajah Allah ada di situ.'” [Surah al-Baqarah: 115]

Riwayat al-Tirmizi (345)

Para ulama’ berbeza pandangan dan pendapat dalam soal ini. Terdapat dua pendapat:

  • Pendapat Pertama: menurut Mazhab Syafi’e berpendapat solat yang telah dilakukan menghadap kearah kiblat yang salah, wajib qadha semula solat yang telah dilakukan.
  • Pendapat kedua: pula berpendapat tidak perlu qadha solat yang telah dilakukan jika ternyata salah kiblat yang dituju. Ianya menurut salah satu qaul mazhab Syafi’iyyah, pendapat mazhab Hanafiyyah dan mazhab Malikiyyah.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: “Jika seseorang telah menunaikan solat kemudian yakin bahawa dia telah melakukan kesalahan dalam arah kiblat, terdapat dua pendapat: Pendapat pertama adalah dia wajib mengulang semula solatnya. Ini kerana dia telah meyakini kesalahannya dalam perkara yang selalunya dijamin seperti dalam pengadilan dan dia tidak boleh mengabaikan apa yang telah berlaku, seperti seorang hakim yang memberikan keputusan kemudian mendapati naskah hukum berbeza daripada keputusannya. Pendapat kedua adalah dia tidak wajib mengulang semula solatnya kerana kiblat bukanlah perkara yang pasti dan boleh dianggap secara ijtihad dan ia seumpama jika dia tidak yakin dengan kesalahan. Jika seseorang solat menghadap ke arah tertentu, kemudian melihat kiblat di sebelah kanan atau kiri, dia tidak perlu mengulang semula solatnya kerana kesalahan dalam arah kanan atau kiri tidak dapat dipastikan, dan oleh itu, solatnya tidak menjadi batal dengan ijtihad.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/144)

Imam al-Nawawi berkata: Sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/158)

Beliau berkata lagi: Salah satu pendapat dalam mazhab Syafi’iyyah menyebut bahawa tidak perlu menqadha’kan solat kerana adalah harus untuk berijtihad untuk menentukan arah kiblat solat dan solat apabila yakin arah yang dituju itu tidak salah. Manakala arah kiblat juga tidak diketahui ketepatannya secara hakiki, maka ia berbalik kepada kaedah ‘ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/222, 225)

Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah pula daripada al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar: Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib keatasnya mengulangi shalat yang telah dilakukan. (Lihat al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/47)

Munla Khusru al-Hanafi dalam kitabnya menyebutkan: Seseorang itu tidak perlu mengulangi solat jika didapati kiblatnya salah setelah dia berijtihad untuk menentukan kiblat tersebut. Hal ini kerana Allah SWT tidak mentaklifkan seseorang untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara hakiki. (Lihat Durar al-Hukkam Syarh Ghurar al-Ahkam, 1/61)

Menurut Mazhab Malikiyyah pula, sesiapa yang solat kemudian tahu kiblatnya salah sesiapa yang solat kemudian jelas salah kiblatnya, mestilah mengulangi solatnya dalam waktu tersebut (pendapat masyhur). Jika seseorang melakukan solat menghadap suatu arah kiblat menurut ijtihadnya sendiri, kemudian didapati salah kiblatnya maka mengikut alamat zahir, baginya perlu diulang solat dalam waktu tersebut. Sekiranya tidak terdapat alamat yang zahir maka tidak perlu diulang solatnya. (Lihat al-Qawanin al-Fiqhiyyah, 1/42)

Manakala menurut Mazhab Hanabilah, Imam Ibn Qudamah berpendapat dalam Al-Mughni bahawa apabila seseorang itu solat ke suatu arah berdasarkan ijtihadnya, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblatnya salah, maka tidak perlu diulang solatnya. (Lihat al-Mughni, 1/325)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kami memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat yang tersalah kiblat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan.

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Sekiranya dimusykilkan berkenaan arah kiblat bagi musafir kemudian dia solat dan selepas itu mendapati yang kiblatnya salah, maka solat itu adalah sah sama ada dia mengetahui ketika dalam waktu solat tersebut atau selepasnya… Para ulama’ berkata: Sesiapa yang dekat dengan kaabah dan mampu untuk melihatnya, maka menjadi fardhu baginya untuk menghadap kaabah, manakala bagi mereka yang jauh dengannya, maka kefardhuannya adalah menghadap arahnya sahaja. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, al-Syeikh Abdullah Al-Bassam, 2/16)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445