#3604: Abang Menjadi Wali Ketika Ayahnya Masih Hidup

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke jadi wali tapi tak ikut turutan contoh saya jadi wali nikah untuk adik perempuan saya sedangkan Ayah saya masih ada.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:

فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ

Maksudnya: Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya.

(Surah Al-Baqarah: 232)

Daripada Ma’qil bin Yasar R.A, beliau meriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan dirinya. Dia berkata:

زَوَّجْتُ أُخْتًا لِي مِنْ رَجُلٍ فَطَلَّقَهَا، حَتَّى إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُـهَا جَاءَ يَـخْطُبُهَا، فَقُلْتُ لَهُ: زَوَّجْتُكَ وَفَرَشْتُكَ وَأَكْرَمْتُكَ، فَطَلَّقْتَهَا، ثُمَّ جِئْتَ تَخْطُبُهَا؟ لاَ وَاللَّهِ لاَ تَعُودُ إِلَيْكَ أَبَدًا، وَكَانَ رَجُلًا لاَ بَأْسَ بِهِ، وَكَانَتِ الْمَرْأَةُ تُرِيدُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ، فَأَنْزَلَ اللهُ هَذِهِ الآيَةَ: {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ}، فَقُلْتُ: الآنَ أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: فَزَوَّجَهَا إِيَّاهُ.

Maksudnya: “Aku menikahkan saudara perempuanku dengan seorang lelaki, lalu lelaki itu menceraikannya, hingga ketika ‘iddahnya telah berakhir, dia datang untuk meminangnya. Aku berkata kepadanya: “Aku menikahkanmu, menyiapkan tempat tidurmu, dan memuliakanmu, namun engkau menceraikannya, dan kemudian engkau datang meminangnya? Tidak, demi Allah, dia tidak akan kembali lagi kepadamu buat selama-lamanya.” Sedangkan lelaki itu tidak ada keburukan padanya (baik orangnya) dan si perempuan juga ingin kembali kepadanya. Lalu Allah menurunkan ayat ini: ): {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ} (Maksudnya: “Janganlah kamu menahan mereka daripada berkahwin.”) [Surah al-Baqarah: 232] Aku berkata: “Sekarang aku akan melakukannya wahai Rasulullah.” Dia berkata: “Aku pun menikahkan saudara perempuanku itu dengan lelaki tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5130) dan al-Tirmizi (2981)

Imam al-Syafi’i berkata: “Ayat ini dengan jelas menunjukkan petunjuk dalam Kitab Allah bahawa seorang wanita tidak ada kebebasan untuk menikahkan diri sendiri, dan hadith ini juga menjadi dalil bahawa perkahwinan mesti dilakukan dengan persetujuan wali bagi suami dan isteri” (Lihat Ahkam al-Quran li al-Syafi’i, 1/174)

Begitu juga, dalam hadith yang lain, sabda Nabi SAW:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا، فَإِنْ اشْتَجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka berselisih maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”

Riwayat al-Tarmizi (399)

Imam al-Syirazi berkata: Sekiranya tidak ada wali, kerana wali itu (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu dan tidak boleh wali yang seterusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali hakim mengahwinkan perempuan itu yang menggantikan tempat wali nasab, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerana ada keuzuran daripada wali nasab maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali). (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafie, 2/429)

Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/253)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1710: Bapa Berkeras Tidak Mahu Menjadi Wali Nikah Anak[1]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh bagi seorang abang menikahkan adiknya dalam keadaan ayahnya masih hidup. Sekiranya si ayah enggan menikahkan anaknya walhal bakal menantunya itu sekufu dan soleh, maka ia sudah dikira menzalimi hak si anak untuk mendirikan rumahtangga.

Justeru, dalam hal ini mengikut pendapat dalam mazhab al-Syafi’i dan pengamalan dalam negara kita, sekiranya wali enggan untuk menikahkan anak perempuannya, maka hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim.

Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Wali yang enggan untuk mengahwinkan anaknya tanpa ada alasan yang dibenarkan oleh syarak, selepas mendapat perintah mahkamah namun dia enggan juga, maka wali hakim boleh menjadi wali kepada perempuan tersebut. Ini berdasarkan Seksyen 13 (b), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang mana telah menyebutkan:

Kami doakan agar urusan perkahwinan adik saudara dipermudahkan segala ujian adik saudari untuk berkahwin dan dapat ditempuh dengan jayanya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

[1] https://maktabahalbakri.com/1710-bapa-berkeras-tidak-mahu-menjadi-wali-nikah-anak/

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445