Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Semasa PKP dahulu, adik-adik saya pernah berniaga biskut hasil tangan sendiri. Perlukah mereka membayar cukai, atau zakat berdasarkan jualan mereka dahulu, walaupun tidak menguntungkan? Jika perlu, bagaimana perlu kira dan bayar. Mereka juga tidak lagi menyimpan sebarang rekod, resit, atau penyata untung rugi jualan ketika itu. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
(Surah al-Baqarah: 267)
Ayat di atas merupakan antara dalil yang menunjukkan kepada kewajipan zakat perniagaan. Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata daripada Mujahid bahawa yang dimaksudkan pada ayat ini ialah zakat pada harta perniagaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/697) Imam al-Tabari dan Imam al-Mawardi juga menukilkan pendapat yang sama seperti di atas iaitu zakat pada harta yang diniagakan. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran, 5/558 dan Tafsir al-Mawardi, 1/342) Syeikh al-Maraghi menyebut, dermakanlah harta kamu yang baik daripada hasil perdagangan dan pertanian kamu, sama ada biji-bijian, buah-buahan mahupun lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/612)
Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, bahawa:
كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يأمُرُنا أن نُخْرِجَ الزَّكاةَ مِمَّا نعدُّهُ للبَيعِ
Maksudnya: “Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.”
Riwayat Abu Daud (1562). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Imam al-Saharanfuri menyebut yang dimaksudkan dengan sedekah dalam hadith ini ialah zakat wajib daripada harta yang diniagakan. (Lihat Bazl al-Majhud, 6/317)
Kewajiban berzakat ke atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:
- Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.
- Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/27)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya suatu perniagaan itu mencapai syarat, nisab dan haulnya, maka wajib baginya keluarkan zakat darinya. Namun, sekiranya tidak mencukupi nisab dan haul, maka tidaklah perlu baginya membayar zakat. Oleh itu, dalam isu anda, jika ia mencukupi nisab dan haul, maka perlu bagi adik-adik anda membayar zakat perniagaan. Adapun berkenaan cukai, ia perlu dirujuk kepada badan berautoriti iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah SWT bahagiakan hidup kita dan meluaskan hidup kita termasuk melunaskan pinjaman atau hutang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Dawud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)
Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445