#3608: Menjual Beli Harta Wakaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya hukum jual beli harta wakaf. Bolehkah harta wakaf dijual beli ? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Lihat: Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Lihat: al-Takrifat al-Fiqhiyyah, 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat  Al-Mughni, 12/175)

Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Lihat: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran:92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat reda Allah SWT dan RasulNya. ( Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496 )

Menjawab bagi persoalan di atas kami kata dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan:

Pandangan pertama: Dibolehkan menjual beli harta wakaf. Yang demikian merupakan pandangan Imam Abu Hanfiah. Beliau berpendapat bahawa jual beli wakaf adalah sah, dan boleh ditarik kembali kecuali dengan keputusan hakim atau mengikatnya dengan kematian. Contohnya seperti beliau mengatakan: ‘Apabila saya mati, maka rumah saya wakaf kepada si fulan.’

Pendapat ini berbeza dengan pandangan sahabat-sahabat Imam Abu Hanifah. Abu Yusuf berkata: “Jika Abu Hanifah mengetahui hadis Umar, dia akan mengikutinya dan mengubah pendapatnya mengenai jual beli wakaf.”

Pandangan Kedua: Tidak dibolehkan menjual harta wakaf. Yang demiian merupakan pandangan daripada Imam al-Syafi’e dan Maliki. Mereka berdalilkan umum hadith yang diriwayatkan daripada ِAbdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا غَيْرَ أَنَّهُ لَا يُبَاعُ أَصْلُهَا

Maksudnya: “Jika kamu mahu kamu mahu kamu pelharalah pohon-pohonnya dan sedekahkan hasilnya. Maka Umar menyedekahkannya dimana beliau tidak menjual pohonya.”

Riwayat Bukhari(2737)

Telah dinyatakan dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu tidak harus Istibdal masjid yang rosak ke tempat yang lain. Dan harta wakaf ini merupakan hak milik Allah SWT tidak boleh ditukar ganti, ini merupakan pendapat yang asah dalam mazhab ini. Adapun pendapat berlawanan dengan asah mengharuskan jual beli sekiranya harta itu tidak dapat memberi manfaat dan menjualnya merupakan perkara yang lebih utama. Dan jual beli itu mestilah dengan bertujuan untuk membangunkannya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 44/200-201)

Pandangan Ketiga: Boleh dijual sekiranya manfaat harta wakaf itu telah rosak atau hilang. Ini merupakan pandangan mazhab Imam Ahmad.

Imam al-Mardawi berkata di dalam kitabnya, sekiranya barang wakaf itu tidak dapat memberi manfaat maka diharuskan untuk istibdal dengan barang yang sama nilai. Begitu juga dengan masjid, diharuskan untuk menukar ganti dengan tujuan pembinaannya semula dan maslahah umum (Lihat al-Insaf fi Makrifah al-Rajih min al-Khilaf, 7/101)

Dalam isu ini Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan: “Wakaf Gantian (wakaf ibdal) ialah bermaksud menukar harta wakaf dengan harta yang lain melalui jualan atau belian atau sebagainya dengan tujuan mengekalkan harta wakaf adalah diharuskan mengikut taqlid pendapat Imam Abu Hanifah”. (Lihat Kompilasi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKI 2016, hlm. 55)

Telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahwa : Mengikut pengamalan di Arab Saudi harta wakaf boleh dijual beli setelah mendapat kebenaran daripada mahkamah. (Lihat  Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/107 )

Sebagai kesimpulannya kami katakan tidak dibolehkan untuk membuat pertukaran jual beli dengan harta wakaf melainkan sekiranya harta tersebut tidak dapat dimanfaatkan  lagi  dan pertukaran itu hendaklah ditukar dengan harta yang lain yang dapat  memberi manfaat kepada kepentingan umum. Sebaiknya dalam hal ini rujuklah kepada badan-badan berautoriti yang menguruskan harta-harta wakaf.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445