#3610: Penubuhan Bank Susu Ibu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah bank susu ibu bertepatan dengan hukum syara‘?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara fitrah dan lumrahnya, bayi yang lahir itu tidak dapat untuk menerima nutrien dari makanan dan minuman lain melainkan susu ibu. Oleh yang demikian, apabila timbulnya permasalahan yang berkait dengan kekurangan susu ibu, sama ada kerana ibu kandungnya tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi atau telah meninggal dunia ketika melahirkan. Maka dilontarkan satu cadangan penubuhan bank susu yang dilihat dapat memberikan satu lagi bentuk perkhidmatan rawatan terutamanya kepada bayi-bayi yang memerlukan. Hal ini kerana khasiat dalam susu ibu amat tinggi dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana alternatif perubatan masa kini.

Terkadang-kadang, bayi yang lahir pra-matang juga berisiko menghidadp penyakit necrotising enterocolitis (NEC) atau masalah usus. Berdasarkan kajian, antara kaedah rawatan terbaik bagi mengurangkan masalah ini adalah dengan pengambilan susu ibu.[1](Lihat Penubuhan Bank Susu Ibu di Malaysia: Satu Analisis Hukum, hlm. 171)

Menjawab persoalan yang diutarakan, penubuhan bank susu ibu ini telah mendapat kritikan ramai ilmuwan Islam di serata dunia. Bahkan di Malaysia sendiri, beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa berkenaan penubuhan bank susu ibu ini seiring dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Mereka menyimpulkan bahawa penubuhan bank susu ibu adalah tidak dibenarkan atas sebab-sebab yang berikut:

  • Bertepatan dengan maqasid syari‘ah, iaitu menjaga keturunan atau nasab dari sebarang kemudharatan.
  • Bank susu amat berkait rapat dengan isu menjadi mahram dengan susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
  • Bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.
  • Keperluan penubuhannya tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam.

Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Ini berdasarkan sebuah athar yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

لَا رِضَاعَ إِلَّا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْمَ

Maksudnya: “Hukum penyusuan tidak berlaku, melainkan yang dapat menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”

Riwayat Abu Dawud (2059)[2]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 24 Ogos 2017 juga telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke – 97 berkenaan Hukum Penubuhan Bank Susu.[3]

Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mewartakan satu fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 berkenaan bank susu ibu ini pada 27 Disember 2012. Mereka menyimpulkan bahawa hukum penubuhan bank susu ibu adalah tidak diharuskan kerana:

  1. Penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.
  2. Keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam.[4]

Majma‘ al-Fiqh al-Islami telah mengeluarkan satu keputusan berkaitan penubuhan bank susu ibu ini. Mereka yang bersidang pada 22 hingga 28 Disember 1985 memutuskan, hukum penubuhan bank susu ibu adalah tidak diharuskan dan juga haram mendapatkan susuan dari bank susu tersebut. Mereka berhujjah dengan 3 sebab yang berikut

  • Bank susu adalah percubaan yang dijalankan oleh negara-negara Barat, dan kemudian dengan eksperimen itu munculnya beberapa kelemahan teknikal dan saintifik, jadi penelitian terhadapnya berkurangan.
  • Islam menganggap penyusuan sebagai pertalian yang serupa dengan nasab, mengharamkan apa yang dilarang oleh nasab mengikut persepakatan umat Islam. Salah satu Maqasid Syari‘ah adalah untuk memelihara keturunan, dan bank susu membawa kepada percampuran atau syak wasangka.
  • Hubungan sosial dalam dunia Islam menyediakan bayi yang baru lahir pra-matang atau kurang berat badan, atau yang memerlukan susu manusia, hanya berlaku dalam kes-kes khusus dengan penyusuan badan yang diperlukannya sahaja, maka tidak ada keperluan menggantikan penyusuan secara terus dengan bank susu.[5]

Di samping fatwa larangan penubuhan bank susu ibu ini, badan-badan fatwa di Malaysia telah memberikan jalan keluar bagi masalah kekurangan susu ibu ini. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu, mempunyai penyakit kronik atau berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.[6]

Terdapat juga ilmuan Islam terkemuka yang membenarkan penubuhan bank susu ibu ini, seperti  Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Ketika mengulas secara panjang lebar tentang isu ini, beliau berkata, memang benar terdapat beberapa kebaikan dengan penubuhan ini, antaranya dapat membantu mereka yang memerlukan seperti bayi pra-matang, ibu-ibu yang mendermakan susu akan memperoleh ganjaran atas kebaikan mereka, dan lain-lain lagi dari perkara yang baik dan terpuji dari penubuhan bank ini.

Akan tetapi, yang menjadi perbincangan utamanya adalah bayi yang menyusu itu nanti kelak akan membesar menjadi seorang dewasa juga, dan berkemungkinan akan berkahwin dengan salah seorang anak dari ibu-ibu yang mendermakan susu itu dalam keadaan dia tidak tahu bahawa mereka adik-beradik susuan.

Maka 2 isi penting yang perlu diterangkan:

  1. Hakikat sebenar susuan itu yang boleh menjadikan seseorang itu mahram.

Beliau berpendapat, yang wajib bagi muslim itu adalah berpada dengan lafaz syara‘ dalam masalah susuan ini. Dan lafaz-lafaz nas syara‘ seperti al-Irdha‘ (الإِرْضَاعُ), al-Ridha‘ (الرِّضَاعُ) dan al-Radha‘ah (الرَّضَاعَةُ), kesemuanya membawa maksud menyuakan payudara dan menyedut susu terus darinya. Dan ia tidak bermaksud sekadar memberi minum dengan apa cara sekalipun. Ini juga pandangan yang dibawakan oleh Ibn Hazm al-Zahiri.

  1. Hukum berlakunya syak pada susuan.

Beliau mengatakan, jika berlakunya syak dengan percampuran antara susu seorang wanita dengan wanita yang lain, maka tidak menjadi mahram dengan susuan tersebut. Dinukilkan daripada Ibn Qudamah al-Maqdisi, apabila berlaku syak pada susu yang bercampur, atau bilangan susuan sama ada sempurna atau tidak, maka tidak menjadikan seseorang itu mahram kerana kembali kepada hukum asal, iaitu bukan mahram. Hukum asal adalah sesuatu yang diyakini, manakala hukum menjadi mahram pula adalah hukum yang berlaku syak padanya. Sedangkan kaedah ada menyebutkan:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Begini juga yang disebutkan oleh Ibn Maudud al-Musili di dalam kitabnya al-Ikhtiyar.  Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyimpulkan bahawa tidak ada halangan untuk menubuhkan bank susu ibu ini selagimana maslahah syara‘ yang muktabar dapat dilaksanakan.

Beliau juga bahkan memberikan tausiyah seraya berkata, kaedah yang menyuruh untuk ambil jalan berhati-hati dan keluar dari khilaf adalah sesuai untuk dipraktikkan bagi individu sahaja. Adapun masalah yang melibatkan umum masyarakat, maka yang lebih aula bagi para mufti untuk memilih jalan yang memudahkan dan tidak menyukarkan awam, tanpa terkeluar dari kerangka hukum syara‘ dan kaedah-kaedah yang thabit. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 2/259; al-Mughni, 8/172; al-Ikhtiyar, 3/120)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, kami lebih cenderung kepada larangan menubuhkan bank susu ibu, selari dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan jabatan-jabatan mufti di Malaysia, sekiranya belum ada keperluan yang benar-benar mendesak dan adanya kemudahan untuk mencari penderma susu di saat-saat yang memerlukan. Hal ini bagi mengelakkan timbulnya masalah yang lebih besar terkait dengan kekeliruan atau syak pada mereka yang berpegang kuat dengan pendapat majoriti fuqaha’.

Dalam masa yang sama, jika suatu masa akan datang, penubuhan bank susu ibu ini menjadi keperluan yang mendesak, sistem yang betul-betul teratur perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi memastikan penubuhan bank susu ini dapat berjalan seiring dengan ketetapan syara‘. Kami mencadangkan:

  • Pengambilan susu dari bank susu ibu hanya khusus untuk bayi baru lahir yang memerlukan susu ibu sahaja.
  • Tidak mencampurkan antara susu seorang wanita dengan wanita yang lain.
  • Merekodkan data peribadi penderma dan data peribadi bayi yang menerima susu tersebut.
  • Memastikan bilangan susuan yang diambil itu menepati hukum susuan menurut syara‘ atau tidak.
    • Jika cukup 5 kali susuan yang mengenyangkan, maka dia dikira anak susuan kepada penderma susu itu.
    • Jika tidak cukup bilangan susuan, maka dia tidak dikira anak susuan kepada penderma susu itu.
  • Mengeluarkan dokumen yang merekodkan bahawa bayi tersebut telah menerima susu dari penderma yang khusus, agar dia dapat mengenali keluarga ibu susuannya apabila telah meningkat usia.

Semoga pencerahan dan cadangan yang kami kemukakan ini dapat membuka ruang perbincangan yang lebih luas, serta kefahaman agama yang lebih baik kepada semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://necsociety.org/2019/01/28/i-gave-my-baby-breast-milk-why-did-she-develop-nec/#:~:text=Breast%20milk%20has%20been%20scientifically,How%3F. Diakses pada 17 Oktober 2023.

[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10287. Diakses pada 17 Oktober 2023.

[3] Lihat https://muftins.gov.my/fatwa/penubuhan-bank-susu/. Diakses pada 17 Oktober 2023.

[4] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/213-hukum-menubuhkan-bank-susu-di-malaysia. Diakses pada 17 Oktober 2023.

[5] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/1584.html. Diakses pada 17 Oktober 2023.

[6] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10287. Diakses pada 17 Oktober 2023.

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445