Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai luqatah. Boleh jelaskan kepada saya apa itu barang luqatah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ” اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ”
Maksudnya: “Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”
Riwayat Muslim (1722)
Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”
Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan harta yang tercicir ini disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Al-Luqatah. Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan maksud Al-Luqatah di sisi syarak di dalam kitabnya: Daripada Ibnu Qudamah Al-Hanbali Al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).
Selain itu Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “Al-Luqatah mengikut Syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya”. (Lihat al-Fiqh Al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 7/69).
Telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram bahawa harta luqotah terbahagi kepada empat:
- Apa yang tidak dianggap sebagai suatu yang penting oleh kebanyakan orang seperti cemeti, roti, dan duit yang sedikit. Ia boleh dimiliki tanpa perlu diumumkan pada khalayak ramai. Sekiranya pemiliknya ditemui sebelum digunakan atau dihabiskan, hendaklah diberikannya kepada pemiliknya.
- Haiwan-haiwan yang termasuk dalam kategori haiwan buruan yang tidak boleh dikejar oleh haiwan pemangsa kecil seperti unta, kijang, dan burung, dianggap sebagai haram dan tidak boleh diburu, sama ada disebabkan oleh kekuatan mereka seperti unta, kemahiran mereka dalam berlari seperti kijang, atau kemampuan mereka untuk terbang, maka buruan ini diharamkan untuk ditangkap dan diambil.
- Mengambil barang luqatah adalah haram melainkan bagi sesiapa yang ingin mengiklankannya sepanjang masa. Yang demikian berdasarkan hadith yang menyatakan bahawa: Tidak boleh mengambil barang luqatah melainkan hendak mengumunkannya.
- Selain daripada yang disebutkan di atas daripada harta yang hilang dari pemiliknya sama ada haiwan, duit, barang-barangan maka dibolehkan untuk mengambilnya dan hendaklah diumumkannya di khalayak ramai. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/134)
Manakala Syeikh Mustafa Bugha mengklasifikasikan harta al-Luqatah kepada dua bahagian:
- Harta al-Luqatah (haiwan) iaitu menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu.
- Harta al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan mengambil barang itu dan menjaganya. Ia juga tertakluk kepada hukum syariat samada wajib ataupun tidak. Berkenaan dengan harta al-Luqatah selain haiwan, Nabi S.A.W pernah ditanya berkenaan dengannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani berkata bahawa Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W :
فَقَالَ”اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ”
Maksudnya: “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.
Riwayat Muslim (1722)
Harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya. Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Syaukani di dalam kitabnya bahawa Saidina Ali RA berjumpa dengan Rasullullah S.A.W bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya. Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak 3 kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah kesemuanya. (Lihat Nayl al-Autar, 5/404)
Namun barangan yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan tidak harus mengumumkannya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:
رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ
Maksudnya: Rasullullah S.A.W memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya
Riwayat Abu Dawud (1212)
Sebagai kesimpulannya kami nyatakan bahawa ‘luqatah’ merujuk kepada barangan yang dijumpai di jalan, sama ada mempunyai nilai atau tidak, dan pemiliknya tidak diketahui. Sekiranya barangan yang dijumpai tersebut memiliki nilai, maka individu yang menjumpainya hendaklah mengumumkannya kepada orang ramai. Dalam era teknologi masa kini, maklumat boleh disebar melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, dan lain-lain.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445