#3612: Sifat Rasulullah SAW Ketika Menerima Hadiah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah  Rasulullah SAW lakukan apabila diberi hadiah? Mohon penjelasan. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa: 4)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam Islam, pemberian hadiah sangat digalakkan kerana tindakan memberi dan menerima hadiah adalah satu sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Selain itu, tindakan ini bukan sahaja dapat memberi kegembiraan kepada penerima dan pemberi, malah ia dapat mempereratkan lagi  hubungan persaudaraan  serta kasih sayang di kalangan umat Islam. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Nas ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya, sebagai contoh, nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)

Rasulullah SAW merupakan ikutan  ummah sepanjang zaman.ِ Antara sifat Rasulullah SAW ketika Baginda menerima hadiah Baginda akan membalasnya kembali dengan memberikan hadiah yang lebih baik atau lebih banyak. Yang demikian menunjukkan ketinggian dan kemuliaan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Yang demikian juga juga boleh dililhat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Umm al-Mu’minin  ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ يَقْبَلُ الهَدِيَّةَ ويُثِيبُ عَلَيْها

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”

Riwayat Bukhari(2585)

Dapat difahami melalui hadith ini bahawa menerima hadiah adalah suatu tindakan yang disyariatkan dalam Islam. Ini menandakan keredhaan hati terhadap orang yang memberikan hadiah, dan dapat  memperkukuhkan lagi  hubungan yang baik serta kasih sayang antara mereka. Sebaliknya, jika hadiah tersebut ditolak, ia mungkin  mematahkan hati pemberi, merosakkan hubungan, melemahkan diri sendiri, dan membawa kepada kesan yang negatif.

Begitu juga hadith ini menunjukkan tentang pensyariatan membalas balik hadiah yang diberikan sesuai dengan situasi dan kedudukan bahkan Rasulullah SAW membalas hadiah yang diberikan itu dengan lebih banyak dan lebih baik. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh Al-Maram, 5/121)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah  SAW bersabda:

 مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berbuat kebaikan kepada kalian maka balaslah,”

Riwayat Abu Dawud(1672) dan al-Nasai (2567)

Sebagai kesimpulannya, kami ingin nyatakan bahawa Rasulullah SAW, apabila menerima hadiah, Baginda menunjukkan akhlak yang baik dengan membalas hadiah yang diberikan kepada pemberi sebagai tanda penghargaan. Baginda  membalasnya dengan hadiah yang lebih banyak dan lebih baik. Tindakan ini mencerminkan akhlak yang terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW disamping Baginda amat menekankan pentingnya menjalin hubungan baik dan penuh kasih sayang sesama muslim.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا.

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

Wallahua’lam

 

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445