Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah doa al-‘Abbas ketika diminta oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A agar beliau meminta kepada Allah untuk diturunkan hujan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, sebahagian ulama menyatakan, terdapat tiga jenis istisqa’:
Pertama: Solat didirikan secara berjemaah atau secara bersendirian berdasarkan sifat-sifat tertentu yang disyariatkan , dan inilah yang paling sempurna (paling baik).
Kedua: Imam memohon hujan pada hari Jumaat dalam khutbahnya; sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga kerana padanya terdapat satu waktu yang diharapkan padanya doa dimakbulkan. Inilah kategori yang disunatkan (mustahab) secara ijma‘ dan yang menjadi amalan kaum Muslimin.
Ketiga: Doa kaum Muslimin seusai mendirikan solat-solat mereka dan begitu juga ketika mereka sedang bersendirian. Tidak ada khilaf berkenaan keharusan memohon hujan dengan doa tanpa didahulukan dengan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).
Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الـمُطَّلِبِ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا، وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا، قَالَ: فَيُسْقَوْنَ
Maksudnya: “Umar bin al-Khattab R.A ketika mereka ditimpa musim kemarau, beliau meminta hujan dengan perantara al-Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, dengan berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu memohon kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Kini kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Anas berkata: “Lalu diturunkan hujan kepada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1010)
Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan lafaz “اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ” berasal daripada perkataan al-Istisqa’ (الاستسقاء) iaitu perbuatan meminta hujan. Dalam erti kata lain, meminta turunnya hujan ke atas negeri-negeri dan para hamba. Di sini maksudnya ialah Umar bin al-Khattab R.A meminta supaya al-‘Abbas berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Seterusnya, lafaz “نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ” pula bermaksud kami menjadikan doanya sebagai wasilah (perantara) buat kami kepada Engkau (Allah) dalam mengharapkan diturunkan hujan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/88-89).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, selepas al-‘Abbas diminta oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab dan para sahabat R.Anhum untuk berdoa kepada Allah SWT agar mereka diturunkan hujan, beliau pun berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّهُ لَمْ يَنْزِلْ بَلَاءٌ إِلَّا بِذَنْبٍ، وَلَمْ يُكْشَفْ إِلَّا بِتَوْبَةٍ، وَقَدْ تَوَجَّهَ الْقَوْمُ بِي إِلَيْكَ لِمَكَانِي مِنْ نَبِيِّكَ، وَهَذِهِ أَيْدِينَا إِلَيْكَ بِالذُّنُوبِ، وَنَوَاصِينَا إِلَيْكَ بِالتَّوْبَةِ، فَاسْقِنَا الْغَيْثَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya bala bencana tidak akan menimpa kecuali akibat dosa dan ia tidak diangkat (hilang) melainkan dengan taubat. Sesungguhnya orang ramai telah bertawassul denganku kepada-Mu kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu. Inilah tangan-tangan kami menadah kepada-Mu dengan dosa-dosa (yang telah dilakukan dengannya) dan inilah pula ubun-ubun kami yang ingin bertaubat kepada-Mu. Oleh itu, turunkanlah buat kami air hujan.” (Lihat Fath al-Bari oleh al-Hafiz ibn Hajar al- ‘Asqalani, 2/497).[1]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
[1] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani selepas menyebutkan riwayat ini, beliau tidak memberi sebarang komentar mengenainya. Namun, Syeikh al-Albani memberi isyarat akan sabitnya hadith ini dalam al-Tawassul Anwa‘uhu wa Ahkamuhu (hlm. 62).
Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445