#3620: Bacaan atau Doa Ketika Melihat Hujan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah di sana terdapat bacaan khas ketika melihat hujan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa hujan merupakan sebahagian daripada rahmat Allah SWT yang diturunkan kepada para hamba-Nya. Lebih-lebih lagi, air hujan di dalamnya mengandungi keberkatan yang dijadikan oleh Allah SWT untuknya. Firman Allah SWT:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا فَأَنبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ

Maksudnya: “Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.

(Surah Qaf: 9)

Sebahagian ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa maksudnya, Allah SWT menurunkan hujan dari awan, yang membawa banyak kebaikan dan keberkatan; kemudian dengan air hujan itu Dia tumbuhkan kebun-kebun yang subur, biji-bijian yang dapat dituai, dan pokok kurma yang menjulang tinggi dan buahnya bertimbun-timbun di atas satu sama lain. Pelbagai perkara yang baik ini Allah SWT tanamkan (jadikan) sebagai rezeki para hamba-Nya, agar mereka dapat memanfaatkannya. Selain daripada itu, Allah SWT juga tumbuhkan tanah yang tandus dengan air yang diberkati itu, sehingga ia menjadi hijau dan subur. Demikianlah Allah SWT akan mengeluarkan manusia dari kubur mereka dalam keadaan hidup. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1563).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, benar di sana terdapat bacaan atau doa khusus ketika seseorang melihat turunya hujan. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى الـمَطَرَ، قَالَ: اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila melihat hujan, Baginda berdoa: “اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا” (Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat).”

Riwayat al-Bukhari (1032)

Dalam riwayat yang lain, Aisyah R.Anha berkata:

فَإِنْ مُطِرَ قَالَ‏: اللَّهُمَّ صَيِّبًا هَنِيئًا

Maksudnya:Sekiranya diturunkan hujan, Baginda berdoa: ‘Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.’

Riwayat al-Nasa’i (1523)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, digalakkan (sunat) untuk membaca doa ketika turunnya hujan dan afdhalnya (sebaik-baiknya) adalah dengan doa ini kerana ia termasuk dalam doa-doa yang thabit untuk dibaca pada tempat ini — yakni ketika hujan. Seterusnya, beliau menyebutkan, lafaz al-Sayyib (الصَّيِّبُ) merujuk kepada hujan yang turun dengan banyaknya. Manakala al-Nafi‘ (النَافِعُ) pula bermaksud memberi manfaat kepada para hamba (manusia) dan negeri (tanah) dengan kesuburan dan kehidupan.

Menurut al-Tibi, doa ini mengandungi makna yang baik yang saling melengkapi. Ini kerana al-Sayyib iaitu hujan yang lebat ada kemungkinan ia membawa mudharat atau bahaya, manakala al-Nafi‘ pula telah mengecualikan atau mengeluarkan hujan lebat yang menakutkan atau berbahaya itu daripadanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/93).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami sebutkan semula di sini doa yang boleh atau disunatkan untuk dibaca ketika seseorang melihat hujan turun iaitu:

 اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445