#3622: Berkahwin Dengan Anak Saudara Susuan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibolehkan berkahwin dengan anak saudara susuan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan ini, kami katakan sebagaimana yang telah jelas tentang hukum susuan yang menyebabkan seseorang itu menjadi mahram, iaitu dengan 5 kali susuan yang mengenyangkan dan mestilah masih belum putus susu.

Ini jelas berdasarkan Ini berdasarkan hadith yang warid daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ.‏ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Ayat al-Quran yang turun adalah sepuluh kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram. Kemudian ia dimansukhkan dengan lima kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah SAW wafat, ayat tersebut (tentang lima kali susuan yang tertentu) masih dibaca sebagai ayat al-Quran.”

Riwayat Muslim (1452)

Ini dikuatkan dengan riwayat daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya:

جَاءَتْ سَهْلَةُ بِنْتُ سُهَيْلٍ. فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنَّ سَالِمًا مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ مَعَنَا فِي بَيْتِنَا، وَقَدْ بَلَغَ مَا يَبْلُغُ اَلرِّجَالُ. قَالَ: أَرْضِعِيهِ، تَحْرُمِي عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sahlah Binti Suhail datang dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Salim, budak kecil yang telah dimerdekakan Abu Huzaifah, tinggal bersama kami di rumah kami, padahal sekarang dia sudah dewasa.’ Baginda bersabda: ‘Susukanlah dia agar engkau menjadi haram dengannya’.”

Riwayat Muslim (1453)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْضِعِيهِ خَمْسَ رَضَعَاتٍ، فَكَانَ بِمَنْزِلَةِ وَلَدِهِ مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Susukanlah dia dengan 5 kali susuan, sesungguhnya dia akan menjadi seperti anak kandungnya dengan susuan itu.”

Riwayat Abu Dawud (2061), al-Nasa’ie (3223) dan Ahmad (25650)

Apabila seorang wanita itu mempunyai pertalian ibu susuan dengan seseorang, orang tersebut dianggap sebagai mahram sepertimana mahram dengan nasab. Ini seperti yang disebutkan dalam dalam riwayat Ibn ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Apa yang diharamkan oleh disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Oleh yang demikian, haram bagi mereka yang ada  pertalian susuan untuk berkahwin sesama mereka. Ini telah jelas seperti firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Dan (diharamkan untuk berkahwin dengan) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, ia mungkin bertitik tolak dari hadith riwayat Ibn ‘Abbas R.A, Baginda SAW bersabda mengenai anak perempuan Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Beliau tidak halal bagiku (untuk aku kahwini). Haram kerana susuan apa yang haram kerana nasab. Beliau adalah anak saudara susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Pada hakikatnya, Saidina Hamzah R.A merupakan bapa saudara Baginda SAW, maka anak kepada Saidina Hamzah R.A adalah sepupu Rasulullah SAW. Dan hukum asal berkahwin dengan sepupu adalah dibenarkan dalam Islam. Ini disebutkan dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ

Maksudnya: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu.”

(Surah al-Ahzab: 50)

Syeikh  ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di mengatakan, mafhum ayat di atas bahawa tidak boleh berkahwin dengan kaum kerabat selain dari 4 wanita yang disebutkan di atas. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 669)

Akan tetapi, oleh kerana Saidina Hamzah R.A merupakan saudara sesusuan Rasulullah SAW, maka anak kepada Saidina Hamzah R.A dikira anak saudara susuan kepada Rasulullah SAW. Sekiranya sepupu kita itu juga merupakan anak saudara sesusuan kita, maka hukum berkahwin dengannya adalah dilarang kerana dia telah dianggap sebagai mahram kita. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith Ibn ‘Abbas R.A di atas.

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, Rasulullah SAW menyebutkan penghalang yang menyebabkan Baginda tidak boleh berkahwin dengan sepupunya anak kepada Saidina Hamzah R.A, yang juga merupakan saudara sesusuan Baginda SAW. Maka jadilah anak perempuan Hamzah itu anak saudara sesusuan yang haram untuk dikahwini. Dan yang menyusukan kedua mereka adalah Thuwaibah maula Abu Lahab. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/19)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445