#3627: Menghadap Kiblat atau Arah Kiblat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika kita berada di luar masjid al-Haram, adakah kita menghadap kiblat atau arah kiblat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)

Firman Allah SWT:

فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapakanlah wajahmu ke arah itu.

(Surah al-Baqarah: 144)

Ibn Kathir berkata: “Walaubagaimanapun, persoalan mengadap kiblat kearah Baitul-Maqdis iaitu kiblat ahli kitab dari kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca yang membuat kaum Yahudi menjadikan alasan untuk menolak kemasukkan mereka ke dalam agama Islam. Mereka telah menyebarkan da’yah mereka di Madinah bahawa amalan Muhammad dan para pengikutnya mengadap kearah kiblat mereka di dalam solat itu menunjukkan bahawa agama mereka adalah agama yang benar dan kiblat mereka yang sebenar dan merekalah yang asal. Oleh itu lebih baik kepada Muhammad dan para pengikutnya kembali kepada agama mereka sahaja bukannya menyeru mereka masuk ke dalam agama Islam. Dalam waktu yang sama persoalan ini menjadi satu persoalan yang sulit kepada kaum Muslimin Arab yang telah terbiasa di zaman jahiliyyah memuliakan Baitullah dan menjadikannya kiblat mereka, dan persoalan ini bertambah sulit lagi setelah mereka mendengar kaum yahudi berbangga-bangga dengan kiblat Baitul-Maqdis dan menggunakannya sebagai hujjah ke atas mereka. Rasulullah SAW seringkali mengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah dan menunggu arahannya yang menyukakannya. Kemudian turunlah ayat Al-Quran yang memperkenan hasrat yang berkecamuk di dalam dada Rasulullah SAW.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/139)

Allah SWT juga berfirman:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya.

(Surah al-Baqarah: 150)

Ibn Kathir juga menyebutkan bahawa ayat tersebut itulah arahan Allah kepada Rasulullah SAW. supaya beginda menghadap mukanya ke arah Masjid al-Haram kemana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghadap muka mereka ke arahnya di mana sahaja mereka berada. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/152)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah”

Riwayat al-Bukhari (6667) dan Muslim (397)

Menghadap Kiblat atau Arah Kiblat

Berkenaan menghadap kiblat atau arah kiblat, terdapat dua keadaan dalam hal ini:

Keadaan Pertama : Orang yang solat tersebut berada di depan Ka’bah atau mampu melihat Ka’bah secara langsung. Dalam keadaan seperti ini, maka dia harus menghadap terus ke Ka’bah. Jika dia tidak menghadap kepada bangunan Ka’bah dan tersasar walaupun sedikit, maka solatnya tidak sah.

Ibnu Qudamah berkata : “Kemudian jika seseorang melihat Ka’bah secara terus, maka wajib baginya ketika solat untuk menghadap terus ke bangunan Ka’bah, kami tidak mengetahui adanya perselisihan antara para ulama dalam masalah ini. Ibnu ‘Aqil berkata: “Jika sebahagian arahnya tersasar dari bangunan Ka’bah, maka solatnya tidak sah’.” (Lihat al-Mughni, 1/ 456 )

Keadaan Kedua : Orang yang tidak berada di depan Ka’bah dan tidak boleh melihat Ka’bah secara langsung.

Dalam keadaan kedua ini, para ulama berbeza pendapat adakah mesti mengenai bangunan Ka’bah atau cukup menghadap ke arahnya sahaja:

  • Pendapat Pertama : Orang yang tidak boleh melihat Ka’bah secara langsung, dia mesti tetap menghadap ke Ka’bah, serta tidak boleh tersasar sedikitpun.  Ini adalah pendapat sebahagian ulama . Mereka berdalil dengan firman Allah SWT:

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: “Dan di mana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya.”

 (Surah al-Baqarah: 144)

  • Pendapat Kedua : Orang yang berada jauh dari Makkah, cukup baginya menghadap ke arah Ka’bah. Ini adalah pendapat Majoriti Ulama’ dari kalangan  Hanafiyah, Malikiyah dan Hanabilah.

Ibnu al-Arabi berkata: Dalam firman Allah SWT “Dan di mana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya,” Allah SWT ingin memberitahu bahawa sesiapa sahaja yang berada jauh dari Ka’bah, maka hendaklah dia menghadap ke arahnya sahaja, bukan bangunannya, kerana sangat susah menghadap ke bangunannya, bahkan itu tidak mungkin boleh dilaksanakan kecuali bagi orang yang melihatnya secara langsung.  (Lihat Ahkam al-Quran, 1/ 64)

Al-San’ani berkata: Ayat “وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ” menunjukkan bahawa cukup menghadap arah Kiblat sahaja, kerana untuk menghadap ke bangunan Ka’bah, tidaklah boleh dilakukan oleh setiap orang yang melakukan solat di setiap tempat. (Lihat Subul al-Salam, 1/ 251)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ

Maksudnya: “Arah antara timur dan barat adalah qiblat.”

Riwayat al-Tirmizi (344) dan Ibn Majah. Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini hasan sahih

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Arah mempunyai empat bahagian, arah utara bertentangan dengan arah selatan, manakala timur bertentangan dengan arah barat. Maka arah antara timur dan barat adalah 180 darjah. Maka luas 180 darjah ini adalah kiblat bagi mereka yang tidak melihat Ka’bah, dan ini adalah kadarnya daripada selain arahnya. Hadith ini menjadi dalil bahawa wajib bagi mereka yang tidak dapat melihat Ka’bah untuk menghadap arahnya, dan bukannya bangunannya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa antara dua arah itu adalah kiblat, dan arah itu sudah cukup menghadapnya”. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/17)

Al-Lajnah al-Daimah dalam menyatakan: “Hadith ini ditujukan kepada penduduk Madinah dan sekitarnya yang berada di utara Ka’bah atau mereka yang berada di selatan Ka’bah. Yang nyata dalam hadith ini bahawa antara timur dan barat adalah Kiblat.  Adapun yang berada di barat atau timur Ka’bah, maka kiblatnya adalah antara utara dan selatan.“ (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 6/ 313 )

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya seseorang itu berada di hadapan Ka’bah dan dapat melihat Ka’bah secara langsung, maka dia wajib menghadap ke arah Ka’bah secara terus ketika solat dan tidak boleh tersasar. Manakala bagi mereka yang berada jauh dari Ka’bah dan tidak dapat melihatnya, maka sudah cukup untuk dia menghadap arah sahaja.

Para ulama’ berkata: Sesiapa yang dekat dengan kaabah dan mampu untuk melihatnya, maka menjadi fardhu baginya untuk menghadap kaabah, manakala bagi mereka yang jauh dengannya, maka kefardhuannya adalah menghadap arahnya sahaja. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/16)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445