Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah bayi yang berusia 2 tahun syamsiyyah, apabila disusukan akan menjadi anak susuan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami nyatakan terlebih dahulu perkiraan tahun yang masyhur ada dua iaitu tahun syamsiyyah, ia bergantung kepada matahari atau pada masa kini dipanggil tahun Masihi. Sedangkan tahun yang kedua dikenali tahun qamariyyah yang dinisbahkan kepada bulan. Ini adalah tahun takwim Islam yang setiap bulan hanya 29 atau 30 hari sahaja. Jsuteru, terdapat perbezaan bilangan hari antara tahun syamsiyyah (365 hari) dan qamariyyah (354 hari) di mana tahun syamsiyyah lebih daripada tahun qamariyyah.
Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah: 233)
Dan juga firman Allah SWT:
وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ
Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”
(Surah Luqman: 14)
Ayat ini menunjukkan bahawa had umur fitam (فِطَامٌ) atau putus susu adalah dua tahun. Kriteria ini juga digunakan untuk meletakkan had maksimum umur untuk menjadikan mahram akibat penyusuan.
Ini bertepatan dengan athar yang warid daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:
لَا رَضَاعَ إِلَّا فِي اَلْحَوْلَيْنِ
Maksudnya: “Tidak mengambil hukum susuan kecuali dalam lingkungan umur dua tahun.”
Riwayat al-Daruqutni (4740)
Imam al-Nawawi mengatakan bahawa diambil kira 2 tahun itu mengikut kiraan anak-anak bulan (Qamariyyah). (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/7)
Menurut fuqaha’ Mazhab Syafi‘i, Mazhab Maliki dan Mazhab Hanbali, susuan hanya menjadikan seseorang mahram dalam tempoh 2 tahun qamariyyah sahaja. Jika lebih sedikit dari tempoh tersebut, maka dia sudah dikira seperti susuan dewasa yang tidak menjadikan seseorang mahram.
Imam al-Syafi‘i menerangkan bahawa syara‘ menggunakan kiraan bulan qamariyyah atau hilaliyyah dalam penentuan hukum syara‘. Ini kerana kiraan bulan mengikut hilal itu lebih ma‘ruf dalam kalangan manusia, khususnya masyarakat sewaktu diturunkan wahyu berbanding sistem kiraan lain, termasuklah dalam pengiraan tahun bagi penyusuan. Beliau menguatkan konsep kiraan ini dengan firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: ‘(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji’.”
(Surah al-Baqarah: 189)
Mereka juga berhujjah dengan hadith riwayat daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:
دَخَلَ عَلَىَّ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَعِنْدِي رَجُلٌ قَاعِدٌ، فَاشْتَدَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ وَرَأَيْتُ الْغَضَبَ فِي وَجْهِهِ. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ. فَقَالَ: انْظُرْنَ إِخْوَتَكُنَّ مِنَ الرَّضَاعَةِ، فَإِنَّمَا الرَّضَاعَةُ مِنَ الْمَجَاعَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemuiku, dan ketika itu di sisiku ada seorang lelaki. Wajah Baginda berubah dan aku nampak raut wajah kemarahan pada wajahnya. Lalu Aisyah berkata: ‘Dia adalah saudara susuanku.’ Baginda pun bersabda: ‘Perhatikanlah siapa saudara-saudara lelaki kamu, kerana sesungguhnya susuan (yang mengharamkan pernikahan) itu adalah kerana lapar (sehingga susu tersebut dapat mengenyangkan)’.”
Riwayat Muslim (1455)
Imam al-Nawawi menyebutkan, maksud (الْمَجَاعَةِ) itu adalah seperti yang disebutkan dalam hadith Ibn Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا رَضاعَ إلّا ما شَدَّ العَظْمَ، وأَنبَتَ اللَّحْمَ
Maksudnya: “Tidak dikira susuan kecuali susu yang membentuk tulang dan menumbuhkan daging”
Riwayat Abu Dawud (2059) dan Ahmad (4114)
Dan Hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُحَرِّمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ إِلَّا مَا فَتَقَ الأَمْعَاءَ فِي الثَّدْيِ وَكَانَ قَبْلَ الْفِطَامِ
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram dengan susuan melainkan sebab susu yang masuk ke dalam perutnya sebelum anak itu putus susu (berhenti menyusu susu ibu).”
Riwayat al-Tirmizi (1152)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa susuan yang dilakukan ketika anak tersebut berusia 2 tahun syamsiyyah tidak dikira sebagai anak susuan yang mengambil hukum mahram kerana telah melebihi umur 2 tahun qamariyyah.
Beginilah persepakatan ulama’ dalam menentukan sebarang ibadah yang terikat dengan waktu, maka ia perlu mengikut berdasarkan kalendar bulan (qamariyyah) dan bukannya kalendar matahari (syamsiyyah), sama ada masihi atau selainnya.
Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan seharian mengikut syari‘at Allah SWT yang telah ditetapkan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445