#363 Memakan Daging Memerang

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging memerang atau dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai otter? Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Definisi memerang dan habitatnya

Memerang atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai otter ialah Mamalia karnivor yang kebanyakannya akuatik (seperti genus Lutra atau Enhydra) daripada keluarga weasel yang biasanya mempunyai kaki berselaput dan berkuku serta berbulu coklat gelap.[1]

Secara umumnya, memerang akan mula memburu pada awal pagi dan lewat petang. Tetapi ada juga yang memburu pada waktu malam. Makanan utama memerang ialah ikan. Namun, mereka tidak cerewet dalam memilih makanan. Mereka akan makan apa sahaja yang ditemui agar dapat terus hidup seperti invertebrate (haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang), burung, katak, ketam, udang krai (crayfish) dan haiwan yang lebih kecil (daripada mereka). Mereka juga memakan cicak dan selainnya yang ditemui di darat, sekiranya perlu.[2] Malah, sebahagian spesies memerang telah dikenal pasti tidak lagi menangkap ikan — yakni meninggalkannya — semata-mata mahu memburu arnab.[3]

Memerang laut dapat kekal berada di dalam air lebih dari 5 minit dalam satu masa. Walau bagaimanapun, memerang sungai dapat menahan nafasnya semasa berada di dalam air sehingga 8 minit.[4]

Haiwan yang hidup dua alam

Mengenai hal ini, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menukilkan, ulama mazhab Hanafi dan Syafi‘i berpendapat bahawa tidak halal memakan haiwan dua alam kerana dianggap sebagai jijik dan kotor. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566)

Walau bagaimanapun, mengenai hal ini, Imam al-Nawawi ada menyimpulkan dengan menyatakan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad ialah semua haiwan di laut, bangkainya adalah halal — yakni untuk dimakan — kecuali katak. Lalu dapat difahami apa yang disebutkan oleh ulama-ulama mazhab Syafi‘i atau sebahagian daripada mereka mengenai keharaman penyu, ular dan nasnas adalah yang berada di dalam air selain air laut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33)

Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman tersebut seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain.

Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549)

Hukum makan daging memerang

Mengenai perkara ini, kebanyakan ulama berpendapat memerang haram dimakan kerana termasuk dalam kategori haiwan dua alam sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya. (Lihat Matla‘ al-Badrain, (susunan PMWP), 2/25)

Kemudian timbul persoalan, adakah benar memerang tergolong dalam kategori haiwan dua alam? Apabila dilihat kepada fakta dan habitatnya, memerang bukanlah tergolong dalam haiwan dua alam kerana ia tidak dapat hidup lama di dalam air. Oleh itu, yang lebih tepat ialah memerang merupakan haiwan mamalia yang hidup di darat tetapi mampu memburu di dalam air serta dapat menyelam di dalamnya dalam satu tempoh yang terhad.

Sekalipun begitu, kami tetap berpendapat bahawa daging memerang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan buas yang mempunyai taring yang kuat bagi memburu mangsanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”

Riwayat Muslim (1932)

Imam al-Syafi‘i menjelaskan lagi perkara ini dengan menyebutkan bahawa haiwan bertaring yang haram dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya. (Lihat al-Umm, 2/272)

Oleh sebab itu, jika terdapat haiwan lain yang juga memiliki taring tetapi tidak termasuk dalam larangan ini kerana taringnya adalah lemah dan tidak digunakan bagi memburu haiwan lain sebagai makanan. Justeru, sekalipun memerang tidak termasuk dalam kategori haiwan dua alam tetapi ia tetap haram untuk dimakan kerana termasuk dalam kategori haiwan buas yang mempunyai taring yang kuat bagi memburu mangsanya.

Lebih-lebih lagi, memerang juga termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. Jadual Pertama (seksyen 3), Bahagian 2 telah menyatakan bahawa haiwan daripada keluarga Mustelidae seperti Lontra Canadensis (River Otter), Lutra (Otters) dan lain-lain adalah termasuk dalam spesies hidupan liar lain yang dilindungi. (Lihat Akta 716, hlm. 106)

Begitu juga, di dalam Jadual Kedua (seksyen 3) iaitu Hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, telah memasukkan sejumlah besar haiwan daripada keluarga ini seperti memerang kecil (Aonyx cinerea), memerang utara (lutra lutra), memerang hidung berbulu (lutra sumatrana), dan lain-lain. (Lihat Akta 716, hlm. 145)

Oleh sebab itu, tidak boleh sewenang-wenangnya memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub di dalam akta berkenaan.

Dalam isu ini, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri dalam hal-hal yang makruf (baik).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa memerang adalah haiwan yang haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang bertaring dan menggunakan taringnya bagi memburu haiwan lain sebagai makanan utamanya.

Selain itu, memerang juga merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 kerana ia termasuk dalam hidupan yang semakin pupus dan terancam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1]Lihat Merriam-Webster Dictionary, https://www.merriam-webster.com/dictionary/otter.

[2]Lihat Otter-World, https://www.otter-world.com/otter-feeding/. Lihat juga, Seaworld Parks & Entertainment, https://seaworld.org/animals/all-about/otters/diet/.

[3] Lihat Discover Wildlife, https://www.discoverwildlife.com/animal-facts/mammals/otters-of-the-world/.

[4]Lihat 12 Facts about Otters for Sea Otter Awareness Week, https://www.doi.gov/blog/12-facts-about-otters-sea-otter-awareness-week.