#3630: Doa Rasulullah Minta Turun Hujan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada dengar, terdapat doa khusus bagi minta hujan atau istisqa’ yang dibaca oleh Rasulullah SAW. Bolehkah sebutkannya dan terangkan maknanya secara ringkas? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan istisqa’. Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat.

Secara umumnya, sebahagian ulama menyatakan, terdapat tiga jenis istisqa’:

Pertama: Solat didirikan secara berjemaah atau secara bersendirian berdasarkan sifat-sifat tertentu yang disyariatkan , dan inilah yang paling sempurna (paling baik).

Kedua: Imam memohon hujan pada hari Jumaat dalam khutbahnya; sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga kerana padanya terdapat satu waktu yang diharapkan padanya doa dimakbulkan. Inilah kategori yang disunatkan (mustahab) secara ijma‘ dan yang menjadi amalan kaum Muslimin.

Ketiga: Doa kaum Muslimin seusai mendirikan solat-solat mereka dan begitu juga ketika mereka sedang bersendirian. Tidak ada khilaf berkenaan keharusan memohon hujan dengan doa tanpa didahulukan dengan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Sa‘d R.A bahawa:

 أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَعَا فِي الاسْتِسْقَاءِ: اللَّهُمَّ جَلِّلْنَا سَحَابًا كَثِيفًا قَصِيفًا دَلُوقًا ضَحُوكًا، تُمْطِرُنَا مِنْهُ رَذَاذًا قِطْقِطًا سَجْلًا، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Nabi SAW berdoa ketika istisqa’ (memohon hujan): ‘Ya Allah, ratakanlah bagi kami awan yang tebal, guruh yang kuat bunyi guruhnya, yang cepat curahannya, yang banyak kilatnya. Engkau turunkan kepada kami dari awan itu hujan sikit, hujan yang renyai-renyai dan hujan yang banyak, wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia.’”

Riwayat Abu ‘Awwanah dalam mustakhrajnya (2514)

Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan, hadith di atas dinilai sebagai dha‘if jiddan (tersangat lemah). Akan tetapi padanya terdapat jalur yang pelbagai dengan lafaz-lafaz yang berbeza dan hampir (serupa).

Kemudian beliau menyebutkan bahawa ini adalah di antara doa-doa yang mathur yang sesuai untuk dibaca ketika memohon diturunkan hujan. Oleh itu, sewajarnya ia dibaca di dalam solat istisqa’, di dalam khutbah Jumaat dan pada bila-bila masa, ketika mana adanya sebab iaitu kemarau dan kekeringan yang panjang sehingga memudaratkan orang ramai.

Seterusnya, disifatkan hujan yang diminta daripada Allah SWT sebagai menyeluruh dan meliputi seluruh permukaan bumi, bukan hanya di tempat-tempat tertentu. Awan itu pula tebal (mengandungi air) saling bertindih antara satu sama lain, padanya juga ada bunyi guruh yang kuat dan kilat yang banyak di samping cepat dan deras curahannya. Sekalipun begitu, hujan juga mesti turun dengan cara lembut dan mudah mengalir, maka ia turun dari langit dalam bentuk hujan yang kecil (sedikit) supaya tumbuhan tidak rosak dan bangunan tidak runtuh. Kemudian, memohon kepada Allah SWT atau bertawassul kepada-Nya melalui perantaraan sifat keagungan-Nya dan juga kemurahan-Nya adalah termasuk dalam sebaik-baik wasilah (perantara). Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW:

 أَلِظُّوا بِيَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya: “Berdoalah kamu dengan menyebut: ‘يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ’ (Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”

Riwayat al-Tirmizi (3525)

Selain itu, hujan disifatkan dengan sifat-sifat dan ciri-ciri ini yang memperlihatkan perbezaan di antaranya satu sama lain menunjukkan kepada ketinggian kefasihan (fasahah) dan retorik (balaghah) bahasa Arab, sedangkan Allah SWT mampu dan berkuasa untuk menghimpunkan sifat-sifat dan ciri-ciri itu dalam satu benda yang sama. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/98-99).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami sebutkan semula di sini doa yang dikatakan dibaca oleh Rasulullah SAW bagi memohon hujan iaitu:

 اللَّهُمَّ جَلِّلْنَا سَحَابًا كَثِيفًا قَصِيفًا دَلُوقًا ضَحُوكًا، تُمْطِرُنَا مِنْهُ رَذَاذًا قِطْقِطًا سَجْلًا، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, umumkanlah bagi kami awan yang tebal, guruh yang kuat bunyi guruhnya, yang cepat curahannya, yang banyak kilatnya. Engkau turunkan kepada kami dari awan itu hujan sikit, hujan yang renyai-renyai dan hujan yang banyak, wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445