Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang berkahwin dengan saudara sesusuannya? Contohnya, Fatimah menyusukan bayi lelaki bernama Ahmad, dan selepas itu dia menyusukan bayi perempuan bernama Aminah. Kedua-duanya tiada hubungan dengan Fatimah tetapi hanya menjadi anak susuan, adakah keduanya boleh berkahwin? Begitu juga, Ahmad dan Aminah bukanlah adik beradik seibu sebapa atau seibu atau sebapa.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Menjawab persoalan di atas, Ahmad dan Aminah merupakan adik beradik susuan kerana mereka berdua menyusu dari seorang wanita yang sama. Dan hukumnya adalah haram bagi mereka yang ada pertalian susuan untuk berkahwin sesama mereka. Ini telah jelas seperti firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan untuk berkahwin dengan) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 23)
Hal ini kerana saudara sesusuan itu dianggap seperti adik-beradik kandung dari ibu yang sama. Ini seperti yang disebutkan dalam dalam riwayat Ibn ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
Maksudnya: “Apa yang diharamkan oleh disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan.”
Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)
Sekiranya Ahmad dan Aminah berkahwin sesama mereka, maka perkahwinan tersebut hendaklah difasakhkan oleh hakim. Ini sepertimana dalam hadith ‘Uqbah bin al-Harith R.A yang berikut:
أَنَّهُ تَزَوَّجَ ابْنَةً لِأَبِي إِهَابِ بْنِ عَزَيْزٍ فَأَتَتْهُ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ: إِنِّي قَدْ أَرْضَعْتُ عُقْبَةَ وَالَّتِي تَزَوَّجَ، فَقَالَ لَهَا عُقْبَةُ: مَا أَعْلَمُ أَنَّكِ أَرْضَعْتِنِي، وَلاَ أَخْبَرْتِنِي، فَرَكِبَ إِلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ بِالمَدِينَةِ فَسَأَلَهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: كَيْفَ وَقَدْ قِيلَ. فَفَارَقَهَا عُقْبَةُ، وَنَكَحَتْ زَوْجًا غَيْرَهُ
Maksudnya: “Dia telah menikahi anak perempuan Abu Ihab bin ‘Aziz. Kemudian datang seorang wanita lalu berkata: “Aku telah menyusukan ‘Uqbah dan wanita yang dinikahinya.” ‘Uqbah berkata: “Aku tidak mengetahui bahawa kamu pernah menyusuiku, dan kamu tidak pernah memberitahuku.” Lalu ‘Uqbah pun pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah lalu bertanya kepada Baginda. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Bagaimana kamu akan bersama wanita itu, sedangkan telah dikatakan tentangnya (susuan itu)!’ Maka ‘Uqbah menceraikan wanita tersebut dan perempuan itu kemudian menikahi orang lain.”
Riwayat al-Bukhari (88)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan kalam Ibn al-Qayyim, katanya: “Jika seorang wanita itu bersaksi bahawa dia telah menyusukan seorang lelaki dan isterinya, maka wajib ke atas lelaki tersebut berdasarkan hujjah syara‘ untuk menjauhi isterinya, dan dia mesti menceraikannya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada ‘Uqbah bin al-Harith R.A:
دَعْهَا عَنْكَ
Maksudnya: “Jauhkan dia (isterimu) daripada mendekatimu.”
Ibn al-Qayyim berkata lagi: “Jika wanita itu sudah mengakui, tidak ada orang lain yang boleh mengeluarkan fatwa selain dari diceraikan mereka.”
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam juga menukilkan kalam al-San‘ani, katanya: “Hukum (pengakuan dalam bab susuan) ini lebih khusus dari umum bab lain yang memerlukan penyaksian, dan hukum ini diambil kira pada perkara yang melibatkan aurat wanita. Maka cukup dengan penyaksian seorang wanita sahaja. Sebabnya lelaki jarang sekali bersaksi untuk susuan ini, jadi terdapat keperluan yang darurat untuk diambil kira pengakuan tersebut.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/28-29)
Imam al-Syaukani berkata, hakikatnya adalah beramal dengan kata-kata ibu susuan tersebut. (Lihat Nail al-Autar, 6/379)
Natijahnya, kedua-dua adik-beradik atau saudara sesusuan tidak boleh berkahwin kerana mereka mengambil hukum mahram. Jika telah termeterainya akad perkahwinan antara keduanya, wajib ke atas pemimpin atau hakim memisahkan mereka.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445