Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah terjumpa iklan servis “nose threadlift” di beberapa spa. Saya diberitahu juru spa akan meletakkan benang di bawah kulit hidung dan hidung akan berubah rupa menjadi mancung. Benang itu juga boleh bertahan hingga 2 tahun di bawah kulit. Memandangkan ramai yang nampak berminat, bolehkah pihak Dr Zul memberi penjelasan dan hukum untuk servis “nose threadlift“. Terima kasih Dato’.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
Surah al-Nur (31)
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu.
Berkenaan isu ini, kami telah jawab secara terperinci pada artikel sebelum ini:
#1071 Tanam Benang di Muka (Thread Lift)[1]
Menjawab persoalan di atas kami nyatakan apa-apa pembedahan bagi tujuan kecantikan semata-mata adalah haram hukumnya. Hal ini kerana ia telah mengubah ciptaan Allah SWT sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4886)
Namun, sekiranya pembedahan tersebut bagi tujuan rawatan seperti penyakit, kecacatan kekal, kedutan dimuka lebih nampak tua berbanding umurnya dan seumpamanya (misalnya umur 25 tetapi kelihatan 39), serta rawatan tersebut tidak memudaratkan penerima rawatan, maka ia diharuskan. Begitu juga, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan. Ingatlah Allah SWT telah berfirman:
وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا
Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”
(Surah al-Nisa’: 119)
Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. ( Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] https://maktabahalbakri.com/1071-tanam-benang-di-muka-thread-lift/#_ftnref8
Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445