#3641: Hikmah Memberi Hadiah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hikmah dalam pemberian hadiah. Mohon pencerahan daripada Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa: 4)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan amalan memberi hadiah merupakan amalan yang amat dianjurkan dalam islam.  Amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah menerima hadiah daripada sahabat dan Baginda juga membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada  Umm al-Mu’minin  ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ يَقْبَلُ الهَدِيَّةَ ويُثِيبُ عَلَيْها

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”

Riwayat Bukhari(2585)

Sesuatu amalan atau perbauatan tidak disyariatkan melainkan terdapat padanya hikmah kebaikan. Antara hikmah amalan memberi hadiah adalah seperti berikut:

  • Mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Nas ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya, sebagai contoh, nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)

Al-’Allamah Amir al-Sana’ni dalam kitabnya al-Tanwir  Syarh Jami’ al-Saghir menyebutkan bahawa: “Ini kerana pemberian hadiah, ia dapat dicapai seperti apa yang dikehendaki oleh Allah SWT daripada kelembutan hati dan salin cenderung antara satu sama lain. (Lihat al-Tanwir  Syarh Jami’ al-Saghir, 1/381  )

  • Menghilangkan Hasad Dengki

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 تهادَوْا فإنَّ الهديَّةَ تسُلُّ السَّخيمةَ

Maksudnya: Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Sesungguhnya dengan pemberian hadiah itu dapat menghilangkan hasad dengki.

Riwayat al-Bazzar(1937)

Hadith ini menunjukkan bahawa pemberian hadiah boleh menghilangkan kedengkian dan permusuhan antara individu yang bermusuh-musuhan, dan membawa kebahagiaan serta kasih sayang dalam diri penerima hadiah. Oleh itu, salah satu manfaatnya adalah membawa kasih sayang dan menghapuskan permusuhan. Itu sudah cukup sebagai manfaatnya, kerana itulah tujuan Islam dalam pendekatannya untuk membawa kebaikan dan mencegah kejahatan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/128)

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-Hujurat:10)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 800)

  • Menghilangkan Sifat Kebencian Hati

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَهادَوْا؛ فإنَّ الهَديَّةَ تُذهِبُ وَغَرَ الصَّدرِ

Maksudnya: Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah dapat menghilangkan kebencian hati.

Riwayat Tarmizi(2130) dan Ahmad(925). Hadith ini dinilai sebagai Hasan oleh Syuaib Arnauth dalam Takhrij al-Musnad (9250)

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyatakan bahawa memberi hadiah mempunyai banyak manfaat dan hikmah. Ia tidak hanya mampu membangkitkan kasih sayang dan memperkuat tali persaudaraan, tetapi juga mampu menghapuskan sifat kebencian dan iri dalam hati. Oleh itu, mari kita amalkan amalan memberi hadiah, bagi mengikut sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا.

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

Wallahua’lam

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445