#3643: Menggunakan Duit Lebihan Pembelian Barang Syarikat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, situasinya saya menguruskan urusan membeli barang untuk pejabat saya,contoh untuk pembelian diberi bajet sebanyak RM300 dan saya telah membeli barang yang diperlukan tapi tidak sampai RM300, jadi adakah duit lebih itu boleh saya gunakan untuk dijadikan sebagai upah isi minyak?untuk pengetahuan Dato’, saya pergi membeli barang pejabat tersebut menggunakan kenderaan sendiri dan diluar waktu pejabat.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”

 (Surah al-Baqarah: 188)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa kesatuan umat Islam serta saling bertanggungjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting. Umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Batil di sini menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya.

Demikian juga sabda Nabi SAW ketika khutbah al-wada’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya :Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertimana haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.

 Riwayat al-Bukhari (6043)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

 Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. ( Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan wang lebihan tersebut tidak boleh digunakan untuk perkara lain, sebelum dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak syarikat. Hal ini kerana pihak syarikat memberikannya untuk tujuan membeli barang pejabat. Oleh itu, jelaskan dahulu kepada bendahari tentang duit lebihan tersebut agar bendahari mengambil cakna terhadap duit tersebut. Kebiasaanya, pembelian di syarikat memerlukan resit pembayaran sebagai bukti urusan keluar masuk duit syarikat. Justeru itu, dapatkanlah izin terlebih dahulu dan jelaskan sebab seperti mengambil upah duit minyak dan sebagainya.

Kami akhiri dengan doa,

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima

Wallahua`lam.

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445