#3645: Semut Berdoa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah sabit bahawa semut berdoa memohon hujan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, istisqa’ atau memohon hujan diturunkan adalah termasuk dalam syariat umat terdahulu. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ فَقُلْنَا اضْرِب بِّعَصَاكَ الْحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ ۖ كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu,” (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): ‘Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.’

(Surah al-Baqarah: 60)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar bahawasanya semut berdoa memohon hujan. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَرَجَ سُلَيْمَانُ عَلَيْهِ السَّلَامُ يَسْتَسْقِي، فَرَأَى نَمْلَةً مُسْتَلْقِيَةً عَلَى ظَهْرِهَا رَافِعَةً قَوَائِمَهَا إِلَى السَّمَاءِ تَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنَّا خَلْقٌ مِنْ خَلْقِكَ، لَيْسَ بِنَا غِنًى عَنْ سُقْيَاكَ، فَقَالَ: ارْجِعُوا لَقَدْ سُقِيتُمْ بِدَعْوَةِ غَيْرِكُمْ

Maksudnya: “Nabi Sulaiman A.S keluar untuk meminta hujan. Lalu Baginda melihat seekor semut yang terlentang di atas belakangnya, ia mengangkat kaki-kakinya (yang banyak untuk berdoa) ke arah langit, kemudian berkata: ‘Ya Allah, kami adalah makhluk ciptaan-Mu dan kami sangat memerlukan kepada hujan-Mu.’ Maka Nabi Sulaiman berkata: ‘Kembalilah kerana sesungguhnya kamu telah diturunkan hujan disebabkan oleh doa selain kamu.’

Riwayat al-Hakim (4731)[1]

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ma‘mar, daripada al-Zuhri bahawa:

أَنَّ سُلَيْمَانَ بْنَ دَاوُدَ خَرَجَ هُوَ وَأَصْحَابُهُ يَسْتَسْقُونَ، فَرَأَى نَمْلَةً قَائِمَةً رَافِعَةً إِحْدَى قَوَائِمَهَا تَسْتَسْقِي، فَقَالَ لِأَصْحَابِهِ: ارْجِعُوا فَقَدْ سُقِيتُمْ، إِنَّ هَذِهِ النَّمْلَةَ اسْتَسْقَتْ فَاسْتُجِيبَ لَهَا

Maksudnya: “Nabi Sulaiman bin Daud keluar bersama sahabat-sahabatnya untuk memohon hujan, lalu Baginda melihat seekor semut berdiri sambil mengangkat salah satu kaki-kakinya untuk berdoa memohon hujan. Maka Baginda berkata kepada sahabat-sahabatnya: ‘Kembalilah kerana sesungguhnya kamu telah diturunkan hujan. Sesungguhnya semut ini telah memohon hujan dan dikabulkan doanya itu.’

Riwayat al-Tabarani dalam al-Du‘a’ (967) dan ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (4921)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, semua makhluk (termasuklah haiwan) secara fitrahnya mengenal Allah SWT dan diberi ilham bahawasanya tidak ada yang dapat memberi manfaat mahupun memberi mudharat kepada mereka melainkan dengan kehendak atau izin Tuhan mereka — yakni Allah SWT. Oleh sebab itu, segala keperluan mereka diserahkan kepada Allah  dan mereka mengangkat ketinggian dan kekurangan mereka kepada-Nya.

Selain itu, haiwan-haiwan juga telah ditentukan fitrahnya untuk mengenali Allah SWT dan diilhamkan untuk mentaati-Nya. Firman Allah SWT:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Maksudnya: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

(Surah al-Isra’: 44)

Begitu juga tawassul dan juga doa ini, di mana kedua-duanya telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada semut tersebut bagi memohon hajatnya kepada Tuhannya mengandungi suatu pengiktirafan bahawasanya tidak ada Pencipta mahupun Pemberi rezeki melainkan hanya Allah SWT. Oleh sebab itu, semut itu menunjukkan keperluan dan ketergantungannya kepada-Nya, dan memohon pertolongan dan rezeki daripada-Nya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/100-101).

Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

قَرَصَتْ نَمْلَةٌ نَبِيًّا مِنَ الأَنْبِيَاءِ، فَأَمَرَ بِقَرْيَةِ النَّمْلِ، فَأُحْرِقَتْ، فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ: أَنْ قَرَصَتْكَ نَمْلَةٌ أَحْرَقْتَ أُمَّةً مِنَ الأُمَمِ تُسَبِّحُ

Maksudnya: “Seekor semut menggigit salah seorang nabi dari nabi-nabi terdahulu, lalu Nabi itu memerintahkan agar membakar sarang semut-semut itu. Lalu Allah mewahyukan kepadanya: ‘Engkau digigit oleh seekor semut tetapi engkau telah membakar satu umat dalam kalangan umat-umat yang bertasbih (kepada Allah).’

Riwayat al-Bukhari (3019) dan Muslim (2241)

Bahkan semut salah satu makhluk yang sangat berjasa kepada kita, di mana mereka sentiasa mendoakan kita ketika sedang belajar dan mengajar. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ عزَّ وجلَّ وملائِكتَهُ، وأهلَ السَّمَوَاتِ والأرْضِ، حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا، وَحَتَّى الحُوتَ، ليُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla, para malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi sampai pun semut di sarangnya dan ikan di lautan turut mendoakan kebaikan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

Riwayat al-Tirmizi (2685); al-Tabarani (7911, 7912); Ibn Syahin dalam al-Targhib fi Fadha’il al-A‘mal (216) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai dha‘if. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/100).

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445