#3648: Kedudukan Tangan Ketika Doa Minta Hujan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah kedudukan tangan ketika doa minta hujan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24).

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247)[1]

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, berkenaan istisqa’. Ringkasnya, istisqa’ adalah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat.

Secara umumnya, sebahagian ulama menyatakan, terdapat tiga jenis istisqa’:

Pertama: Solat didirikan secara berjemaah atau secara bersendirian berdasarkan sifat-sifat tertentu yang disyariatkan , dan inilah yang paling sempurna (paling baik).

Kedua: Imam memohon hujan pada hari Jumaat dalam khutbahnya; sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga kerana padanya terdapat satu waktu yang diharapkan padanya doa dimakbulkan. Inilah kategori yang disunatkan (mustahab) secara ijma‘ dan yang menjadi amalan kaum Muslimin.

Ketiga: Doa kaum Muslimin seusai mendirikan solat-solat mereka dan begitu juga ketika mereka sedang bersendirian. Tidak ada khilaf berkenaan keharusan memohon hujan dengan doa tanpa didahulukan dengan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Seterusnya, di antara hal atau perkara yang termasuk dalam adab bagi mendapatkan kemustajaban doa adalah dengan mengangkat tangan semasa berdoa. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu kepada hamba-Nya sekiranya hamba-Nya itu mengangkat kedua tangan kepada-Nya lalu Dia membiarkan ia pulang dengan tangan kosong.

Riwayat Abu Daud (1488)

Hadith ini menjadi dalil utama dalam menjelaskan galakan untuk mengangkat kedua tangan semasa berdoa. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa perbuatan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan semasa berdoa adalah mustahab (disunatkan). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/433).

Bahkan Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith berkenaan kisah semut mengangkat kaki-kakinya ketika berdoa istisqa’,[2] beliau menyatakan, hadith itu menunjukkan bahawa disunatkan untuk mengangkat kedua tangan ketika sedang berdoa. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/101).

Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Anas R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW berdoa memohon hujan dengan menunjuk belakang tangannya ke arah langit.

Riwayat Muslim (896)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, sebahagian ulama memahami hadith bahawa doa bagi mengangkat kemudaratan adalah dengan belakang tapak tangannya (ke arah atas). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/105). Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas bahawa sebahagian ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) dan selain mereka menyatakan, sunnah di dalam setiap doa bagi mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya adalah dengan mengangkat kedua tangan dan menjadikan bahagian belakang (luar) kedua tapak tangannya ke arah langit. Namun, apabila seseorang itu berdoa untuk meminta dan mendapatkan sesuatu maka dia menjadikan bahagian dalam kedua tapak tangannya ke arah langit. (Para ashab al-Syafi‘i) berhujahkan dengan hadith ini. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/494)

Manakala ada sebahagian ulama lagi seperti Syeikh al-Islam memilih pendapat bahawa bahagian dalam kedua tapak tangan hendaklah ke arah langit. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/105). Begitu juga al-Mulla Ali al-Qari turut menyebutkan, apabila kamu meminta sesuatu kepada Allah iaitu doa untuk mendatangkan manfaat atau menolak sebarang kemudaratan maka mintalah kepada-Nya dengan (mengangkat) bahagian dalam tangan kamu. Iaitu berserta dengan mengangkat keduanya ke arah langit. Ini kerana begitulah keadaan seseorang yang meminta dan menuntut serta menunggu untuk mengambil (apa yang diminta) maka keadaan ini diraikan secara mutlak. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 4/1532).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa perkara ini adalah luas dan termasuk dalam perkara khilaf. Namun, kami berpendapat bahawa kedudukan tangan ketika doa istisqa’ adalah dengan bahagian belakang (luar) dua tapak tangan ke arah langit (iaitu ke atas) sebagaimana ia ditunjukkan melalui nas yang sahih (seperti yang kami telah sebutkan di atas).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

[1] Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

[2] Rasulullah SAW bersabda:

خَرَجَ سُلَيْمَانُ عَلَيْهِ السَّلَامُ يَسْتَسْقِي، فَرَأَى نَمْلَةً مُسْتَلْقِيَةً عَلَى ظَهْرِهَا رَافِعَةً قَوَائِمَهَا إِلَى السَّمَاءِ تَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنَّا خَلْقٌ مِنْ خَلْقِكَ، لَيْسَ بِنَا غِنًى عَنْ سُقْيَاكَ، فَقَالَ: ارْجِعُوا لَقَدْ سُقِيتُمْ بِدَعْوَةِ غَيْرِكُمْ

Maksudnya: “Nabi Sulaiman A.S keluar untuk meminta hujan. Lalu Baginda melihat seekor semut yang terlentang di atas belakangnya, ia mengangkat kaki-kakinya (yang banyak untuk berdoa) ke arah langit, kemudian berkata: ‘Ya Allah, kami adalah makhluk ciptaan-Mu dan kami sangat memerlukan kepada hujan-Mu.’ Maka Nabi Sulaiman berkata: ‘Kembalilah kerana sesungguhnya kamu telah diturunkan hujan disebabkan oleh doa selain kamu.’

Riwayat al-Hakim (4731)

 

 

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445