#3650: Solat di Balkoni Hotel

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika kita solat di balkoni hotel? Misalnya di hotel sekitar Masjidil Haram.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain.”

Riwayat Ahmad (15271). Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arna’ut ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad.

Berdasarkan hadith ini, jelas menunjukkan bahawa ganjaran bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram adalah amat besar berbanding masjid-masjid yang lain.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami menukilkan dari  Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-34 Musim Haji 1439H pada 9 – 11 November 2018 menyebut: Adalah diharuskan solat berjemaah dengan berimam kepada imam Masjidil Haram di surau yang mana hotelnya bersambung dengan dataran atau kawasan Masjidil Haram. Keharusan ini terpakai ketika zahmah qaswa (sangat sesak) seperti waktu kemuncak haji dan solat Jumaat. Walaupun begitu, digalakkan turun untuk solat bersama imam di masjid dan bukanlah solat di hotel.”

Justeru, dapat kita simpulkan di sini bahawa hukumnya harus untuk solat di surau hotel yang mana hotelnya bersambung dengan dataran Masjidil Haram seperti hotel Safwah, Hilton dan Darul Tauhid. Namun, digalakkan untuk turun ke masjid ketika jemaah tidak sesak. Adapun, sekiranya solat di balkoni bilik masing-masing, maka hukumnya tidak sah kerana telah terputus saf.

Semoga pencerahan ini akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan solat berjemaah berimamkan imam Masjidil Haram sedangkan makmum berada di surau hotel seperti Hotel Safwah yang mana kedudukannya bersambung dengan dataran atau kawasan Masjidil Haram.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445