Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hukum mengambil barangan luqatah orang yang mengerjakan haji ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Al-Luqatah mengikut syara’ adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak diketahui hak miliknya”. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 7/69).
Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:
فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ
Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun.”
(Surah al-Qasas: 8)
Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Ibnu Qudamah yang menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).
Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ” اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ”
Maksudnya: “Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”
Riwayat Muslim (1722)
Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”
Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.
Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan harta luqotah yang mempunyai nilai boleh diambil dengan syarat perlu diumumkannya selama setahun bagi mencari pemiliknya. Namun harta luqotah yang dijumpai di tanah haram ulama ada berbeza pandangan dalam keharusan mengambilnya.
Pandangan pertama: Jumhur ulama berpandangan bahawa harus mengambil harta luqatah haji seperti di tempat-tempat yang lain. Pandangan ini merupakan pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan pandangan Imam Ahmad yang masyhur dalam mazhabnya. Mereka berdalilkan dengan umum hadith keharusan mengambil harta luqatah.
Pandangan Kedua : Tidak dibolehkan mengambilnya walaupun bertujuan mengiklankannya kemudian memilikinya. Sekiranya mengambilnya dengan tujuan untuk menyimpannya maka dibolehkan baginya. Ini merupakan pandangan Imam al-Syafi’i dan merupakan pandangan dalam satu riwayat dari mazhab Imam Ahmad. Pandangan ini juga dipilih oleh Ibn Taimiyyah.
Diriwayatkan daripada Abdul Rahman Bin Uthman al-Taimi beliau berkata:
أنَّ النَّبِيَّ -صلى الله عليه وسلم- نَهَى عَنْ لُقَطَةِ الحَاج
Maksudnya: Bahawasanya Nabi SAW melarang dari mengambil barang luqtah haji.
Riwayat Muslim(1724)
Dapat difahami melalui hadith ini bahawa luqatah haji tidak dibolehkan mengambilnya mengikut ijma ulama. Harta luqatah haji ini tidak dikhususkan dalam tanah haram sahaja bahkan termasuk juga setiap tempat yang ada padanya jemaah haji seperti di luar tanah haram sebagai contoh di Arafah, miqat dan dan jalan-jalan yang digunakan untuk melaksanakan haji.(Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/148)
Mereka juga berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تَحِلُّ ساقِطَتُها إلّا لِمُنْشِدٍ
Maksudnya: Tidak halal diambil barang temuannya kecuali bagi orang yang ingin mengumumkan
Riwayat Bukhari (2434)
Dalam isu ini juga Syeikh Ibn Baz dalam fatwanya menyatakan bahawa: Nabi melarang pengambilan harta luqatah haji. Jika seseorang menemui harta luqatah di dalam Haram, hendaklah dia mengumumkan harta tersebut dan tidak boleh memiliki harta itu, kecuali jika harta itu ditemui di luar Haram, seperti di Arafah maka adalah lebih baik untuk mengambil langkah berhati-hati dengan sentiasa mengumumkan harta tersebut kepada orang awam atau memberikannya kepada penguatkuasa yang berwajib. Dalam beberapa hadis yang sahih, Rasulullah melarang pengambilan harta luqatah haji. Oleh itu, larangan ini meluas kepada harta luqatah haji di dalam dan di luar Haram. Oleh itu, adalah wajar untuk selalu mengenalpasti harta tersebut atau memberikannya kepada pihak berkuasa sehingga pemiliknya dapat menjumpainya.[1]
Justeru kami berpandangan sekiranya harta yang dijumpai tersebut di tanah haram maka tidak dibolehkan baginya mengambilnya . Namun sekiranya harta tersebut di luar tanah haram maka dibolehkan baginya mengambilnya dan hendaklah diwarwarkan harta tersebut selama setahun kepada khalayak ramai. Sebagai mengambil langkah yang selamat kami nasihati supaya tidak mengambilnya dan menyerahkan harta tersebut kepada penguatkuasa di Mekah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam
[1] Lihat : https://binbaz.org.sa/fatwas/30952/%D9%– Diakses pada 18 Oktober 2023
Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445